Apakah terjemahan yang tepat bagi "community farming"? "Community farming" merujuk kepada aktiviti penanaman pokok mengikut spesies tertentu oleh pemilik tanah perseorangan secara berkelompok atau mengikut kawasan. | Kami mencadangkan "community farming" diterjemahkan sebagai "perladangan komuniti" atau "pertanian komuniti". Namun, padanan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 17.06.2022 |
Apakah terjemahan ke dalam Bahasa Melayu yang sesuai bagi istilah 'practice group' yang sering digunakan di firma-firma guaman? | Mengikut Kamus Dewan ‘practice group’ ialah ‘amalan berkelompok’. | Istilah | 20.08.2014 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin bertanyakan berkenaan terjemahan bahasa Melayu bagi istilah "sprite". "Sprite" ini merujuk kepada fenomena elektrik mesosfera yang berlaku di atas awan ribut (kumulunimbus); ia berupa seperti kilat yang berkelompok dan berbentuk seperti lobak, obor-obor atau tiang. Dalam PRPM, ada terjemahan bagi "sprite" (pari-pari, peri atau peperi). Adakah terjemahan yang sama boleh digunakan untuk fenomena ini? Terima kasih. | Melalui semakan di internet, sprite merujuk tiga perkara/makna yang berbeza. Perkara pertama dan kedua (seperti yang tuan maklumi) ada terjemahannya dalam data kami, namun perkara yang ketiga belum ada padanannya. Perkara ini perlu dikemukakan kepada pihak yang berwenang dalam hal ini, iaitu Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP; dan untuk sementara waktu, penggunaan sprite bagi konteks yang tersebut hendaklah diitalikkan ejaannya atau diberi huraiannya dalam bahasa Melayu bagi memahamkan khalayak. | Penyemakan dan penterjemahan | 25.12.2014 |
apakah maksud puak, berpuak? apakah yang menyatukan puak-puak di malaysia? bagaimana puak-puak terjadi? berapakah bilangan puak di dalam masyarakat kita contohnya cina, india dan melayu? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud puak ialah kelompok (orang dll), golongan, kumpulan, pasukan. Berpuak-puak pula ialah bergolongan, berkawan-kawan, berkelompok-kelompok. Soalan lain tidak berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan. Harap maklum. | Makna | 20.11.2007 |
Apakah maksud “berlonggokan”? Adakah perkataan ini sama maksud dengan “berlonggok”? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) kata berlonggokan bermaksud berlonggok dalam jumlah yang banyak atau di sana sini, manakala berlonggok pula bermaksud 1. (berkenaan buah, kain, sampah dsb) berada dalam himpunan yang seakan-akan bukit kecil; 2. (berkenaan orang atau haiwan) berkumpul dan berkelompok di sesuatu tempat; 3. kiasan (berkenaan harta, kerja dsb) banyak jumlahnya. Untuk memperoleh maklamat dalam kata bahasa Melayu, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 07.12.2024 |
1) Apakah definisi kampung tradisional dan ciri-ciri kampung tradisional 2) Apakah definisi bandar metropolitan | 1. Tidak ada definisi khusus untuk kampung tradisional dan ciri kampung tradisional dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat definisi "kampung" dan "tradisional" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. iaitu: i. kampung bermaksud 1. kawasan kediaman (terdiri daripada sekumpulan rumah dll) di luar bandar, desa, dusun 2. kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok 3. (kiasan) tidak moden, agak kolot 4. bukan dihasilkan (dipelihara dll) dengan cara pengurusan moden, terpelihara (terhasil, terjaga, dll) cara kampung ii. tradisional bermaksud berkaitan dengan, bersifat, atau mengikut tradisi, 2. Dalam bidang Geografi, istilah bandar metropolitan bermaksud sesebuah bandar yang terlalu besar atau sebuah kawasan bandar yang diperluas. | Makna | 29.11.2012 |
1.apa definisi bengkel dan makmal? 2.apa beza antara bengkel kemahiran hidup dan makmal sains | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, makmal ialah tempat mengadakan percubaan atau penyelidikan segala sesuatu yg berhubung dgn ilmu sains (fizik, kimia, dll), laboratorium. Bengkel pula ialah tempat membaiki kereta 2. kilang kecil (tempat tukang-tukang bekerja); 3. mesyuarat (perbincangan dsb) secara berkelompok utk mengkaji sesuatu atau bertukar-tukar pendapat (idea dsb) tentang sesuatu. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan. | Makna | 05.08.2008 |
Assalamualaikum Apakah yang membezakan kampung dan perkampungan. Penduduk perkampungan itu @ penduduk kampung itu. Yang mana betul. | Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, perkampungan 1. mengenai (berkaitan dengan) kampung: pegawai ~; 2. kelompok (kumpulan) kampung: daerah ~; mereka dibawa ke kawasan ~ baru; 3. tempat berkampung (berhimpun): sesudah dua hari berjalan kaki, sampailah kami ke ~ bala tentera itu; 4. sekelompok, sekumpulan. Manakala kampung pula bermaksud kawasan kediaman (terdiri daripada sekumpulan rumah dll) di luar bandar, desa, dusun: ~nya terletak kira-kira 12 km dari Kuala Lumpur; 2. kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok: ~ Cina; ~ Melayu; Berdasarkan takrif tersebut, kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud yang sama. Frasa penduduk kampung dan penduduk perkampungan itu boleh digunakan. | Tatabahasa | 16.10.2013 |
Boleh saya tahu perbezaaan kampung dan desa? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020): desa kata nama 1 kawasan kediaman yang terletak jauh dari bandar yang dihuni oleh sekelompok masyarakat dan biasanya terdapat kemudahan seperti masjid, klinik dan sekolah; 2 bahasa klasik daerah, kawasan atau tempat; kampung kata nama 1 kawasan kediaman yang terletak jauh dari bandar, dan biasanya terdiri daripada sekumpulan rumah serta bangunan lain seperti masjid, balai raya dan sekolah: Setelah tamat SPM, aku meninggalkan kampung utk berhijrah ke Kuala Lumpur. 2 kawasan yang terletak dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok: Kampung Jawa yang terletak di tengah-tengah bandar Serian itu dihuni oleh masyarakat Jawa yang berasal dari Pulau Sumatera, Indonesia. 3 Negeri Sembilan kawasan di keliling rumah seseorang atau beberapa buah rumah kepunyaan ahli daripada keluarga yang sama yang biasanya dilingkungi pagar; 4 Minangkabau daerah di desa atau bandar yang lebih kecil daripada negeri tetapi lebih besar daripada dusun, di bawah jagaan seorang ketua yang dipilih oleh penduduk setempat daripada kalangan ketua dusun; Kata adjektif 5 (berkenaan dengan hasil tanaman, ternakan dan sebagainya) dihasilkan dengan cara tradisional, misalnya tanpa penggunaan mesin canggih, bahan kimia dll: kopi kampung; ayam kampung; 6 kiasan (berkenaan dengan pemikiran, gaya hidup dan sebagainya) tidak moden atau ketinggalan zaman: Datuknya masih kampung. Kesimpulannya, desa dan kampung ada persamaan dan perbezaan dari segi pecahan makna. | Makna | 10.07.2024 |
Apakah perkataan yang sesuai untuk digunakan bagi terjemahan "Mass Enablement"? "Mass Enablement" boleh ditakrifkan sebagai pengaktifan sesuatu kaedah secara besar-besaran. Contohnya, pengaktifan penggunaan kad Touch n Go di seluruh tol di Malaysia (dilakukan secara besar-besaran). Saya ada beberapa cadangan untuk terjemahan terma ini: 1. Pengaktifan Secara Besar-Besaran 2. Pengaktifan Secara Massa 3. Pengaktifan Berbesaran 4. Pengaktifan Besar-Besaran 5. Pengaktifan Besaran Harap tuan dapat cadangkan terjemahan yang sesuai bagi "Mass Enablement". Terima kasih. | Kami mencadangkan padanan bagi frasa "Mass Enablement" diterjemahkan sebagai pengaktifan massa (seperti pola mass phenomenon atau fenomena massa dalam bidang Antropologi dan Komunikasi). Namun, terdapat juga padanan lain yang tepat bagi istilah tersebut, iaitu pengaktifan menyeluruh atau pengaktifan berkelompok, bergantung pada konsep dan konteks penggunaannya. | Istilah | 18.01.2020 |