Tuan/Puan , mohon panduan , "di mana berkenaan " atau " yang mana berkenaan"? | Istilah yang diberikan tidak tepat kerana salah struktur tatabahasa. Istilah yang sesuai ialah "yang berkenaan". | Tatabahasa | 13.12.2015 |
Berkenaan dengan soalan saya yang lepas, Pihak DBP mengatakan bahawa Majlis Graduasi sudah boleh diterima. Adakah maksudnya perkataan tersebut sudah diterima pakai untuk digunakan? Kedua, adakah perkataan graduasi (asalnya graduation - yang bermaksud pelajar yang menerima ijazah) sudah boleh diguna pakai oleh mereka yang menerima SPM dan STPM? | Ya, perkataan tersebut sudah boleh digunakan dan boleh diguna pakai untuk pelajar SPM dan STPM yang sudah tamat pengajian. | Istilah | 02.11.2019 |
Berkenaan dengan bidang Tekonologi Maklumat/Komputer: 1) "Burstable" ialah kaedah mengukur lebar jalur berdasarkan penggunaan puncak, bagi tujuan pengebilan. Kaedah ini juga membolehkan penggunaan melebihi ambang tertentu untuk jangka masa yang singkat tanpa kesan kewangan ke atas pengguna. 2) "Peering" ialah proses apabila dua rangkaian internet menyambung dan menukar trafik. Proses ini membolehkan rangkaian tersebut menghantar trafik secara langsung antara pelanggan masing-masing, tanpa penglibatan pihak ketiga. Saya amat berbesar hati jika pihak DBP dapat mencadangkan istilah yang sesuai bagi "burstable" dan "peering" (jika ada). Terima kasih. | Cadangan kami peering diterjemahkan kepada merangkai padan dan burstable diterjemahkan kepada boleh langkau sekiranya sesuai dengan konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun, kedua-dua terjemahan ini akan diteliti dengan lebih lanjut lagi dan setelah memperoleh jawapan rasmi kami akan meng-e-melkannya kepada pihak tuan. | Lain-lain | 26.05.2019 |
Berkenaan kata ganda,adakah pengandaan kata itu bermaksud menyatakan penambahan kuantiti benda yang dimaksudkan, seperti 1buku-> buku-buku (maksud ada banyak buku) 2 rama-> rama-rama (maksud ??) Minta penjelasan ...terima kasih | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Kata ganda penuh ialah penggandaan seluruh kata dasar jenis kata nama tanpa sebarang perubahan bentuk, contoh : buku-buku dan sekolah-sekolah. Kata ganda separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar, contoh : gegelang, sesiku dan sesumbu. Kata ganda semu termasuk dalam kategori penggandaan penuh dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kata ganda semu ialah perkataan yang asalnya wujud dalam bentuk ganda seperti kanak-kanak, kura-kura, rama-rama dan layang-layang. | Tatabahasa | 09.09.2017 |
Berkenaan dengan perkataan "Setelah" dalam kamus pelajar edisi kedua terbitan dbp perkataan "setelah ialah kata bantu , tetapi dalam buku tatabahasa dewan edisi ketiga perkataan "setelah " ialah kata hubung.yang mana satu lebih tepat? | Kata hubung setelah dalam buku Tatabahasa Dewan adalah lebih tepat digunakan kerana membawa maksud sesudah, sehabis dan selepas. Contoh ayat yang menggunakan kata hubung ialah Kakak menangis di dalam bilik setelah dimarahi oleh ibunya. | Tatabahasa | 21.07.2017 |
Berkenaan perkataan "swafoto". 1) Apa maksud "swa"? 2) perkataan "foto" pula berasal dari perkataan Inggeris "photo". Kenapa DPB tidak memartabatkan Bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan seperti "gambar" atau "wajah"? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. Oleh sebab itu, DBP menerima istilah swafoto sebagai padanan untuk perkataan bahasa Inggeris "selfie". Sekiranya tuan memerlukan maklumat lanjut mengenai cara pembentukan istilah bahasa Melayu, sila rujuk kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 04.01.2017 |
Berkenaan peribahasa "bagai cendawan tumbuh selepas hujan" adakah boleh jika ditambah perkataan "melata /merata" di tengah- tengah prb tersebut ? Contoh - bagai cendawan tumbuh melata selepas hujan | Peribahasa ialah warisan daripada generasi terdahulu. Tidak ada tambah tokok dalam pengambilan peribahasa tersebut. | Tatabahasa | 11.10.2014 |
berkenaan dengan penggunaan -kan dalam perkataan. apakah jenis ayat atau perkataan yang perlu menggunakan imbuhan -kan. contohnya, memberikan... atau memberi? | Perkataan "memberi" dan "memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan "memberi" hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala "memberikan" hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. | Tatabahasa | 19.07.2014 |
Berkenaan terjemahan nota kaki; 1. e.g. Abu Walid al-Baji al-Maliki (d. 474 A.H./1081 A.C.), apakah terjemahan untuk: i. 'd.' (meninggal) ii. 'A.H' (After Hijrah) iii. 'A.C' / 'A.D' (After Christ/Anno Domini) iv. 'p.' (page) v. 'B.C' (Before Christ) Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu yang betul ialah i. m. (mati) ii. TH (Tahun Hijrah) ii. TM (Tahun Masihi) iv. SM (Sebelum Masihi) | Lain-lain | 29.12.2013 |
Berkenaan penggunaan partikel "-lah", adakah penggunaannya wujud untuk penulisan formal? Atau penggunaannya lebih hanya untuk penulisan tidak formal. Terima kasih. | Penggunaan kata penegas lah ialah partikel atau kata tugas yg digunakan untuk menegaskan kata yang mendahuluinya serta terikat dengannya.Penggunaan partikel lah wujud dalam penulisan formal. Contoh; Makanlah kuih itu. Janganlah kamu berasa segan. | Tatabahasa | 10.01.2013 |