Salam sejahtera tuan. Saya faham kata nama sebelum imbuhan ber...an tidak perlu digandakan kerana ber... an bermaksud banyak. Jika perkataan yang berimbuhan ber...an yang membawa erti perbuatan yang dilakukan secara berulangan seperti berkibaran, berkerdipan, bergayutan dan sebagainya. Adakah salah sekiranya kata nama yang digunakan sebelum kata-kata tersebut digandakan? Contoh: 1. a. Bendera itu berkibaran ditiup angin. b. Bendera-bendera itu berkibaran ditiup angin. 2. a. Monyet bergayutan pada dahan pokok. b. Monyet-monyet bergayutan pada dahan pokok. 3. a. Bintang berkerdipan di langit. b. Bintang-bintang berkerdipan di langit. Adakah semua ayat di atas gramatis? Sekian, terima kasih. | Perkataan seperti berkibaran, bergayutan, berkedipan, bergantungan, berkibaran, bertaburan, berterbangan, berguguran, berkejaran dan sebagainya, yakni yang diimbuhkan dengan apitan beR- ... -an membawa maksud 'perbuatan yang menunjukkan jumlah yang banyak’. Oleh itu, perkataan sebelumnya yang berupa benda, orang dan sebagainya tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 05.08.2011 |
Ayat yang berikut adalah salah : Burung-burung berguguran. bagaimanakah dengan ayat-ayat yang berikut: i) bintang-bintang berkerlipan ii) bendera-bendera berkibaran iii) monyet-monyet bergayutan | Frasa yang betul ialah daun berguguran, bintang berkerlipan, bendera berkibaran dan monyet bergayutan. Hal ini demikian kerana penggunaan apitan beR-...-an menghasilkan bentuk kata kerja terbitan yang membawa maksud perbuatan yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Oleh itu, kata nama yang mendahului perbuatan tidak perlu digandakan. | Tatabahasa | 06.09.2012 |
Dalam halaman 201 dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Tiga, dalam contoh ayat 261-266, bolehkah saya ubah ayat kepada ayat yang seperti di bawah ini: 261. LAMPU-LAMPU yang bergantungan di dinding 262. BENDERA-BENDERA warna-warni berkibaran di sepanjang jalan. 263. BINTANG-BINTANG bertaburan di langit. 264. BURUNG-BURUNG layang-layang berterbangan di angkasa. 265. DAUN-DAUN/DEDAUN berguguran di halaman rumah. 266. (Ayat dikekalkan) Kanak-kanak berkejaran di padang sekolah. 1. Jika ayat tersebut tidak boleh diubah seperti yang saya tulis di atas, apakah sebabnya? Boleh berikan keterangan? 2. "Kanak-kanak" bukan kata ganda kerana "kanak-kanak" ialah satu perkataan? 3. "Dedaun" sama dengan "daun-daun"? | Perkataan bergantungan, berkibaran, bertaburan, berterbangan, berguguran dan berkejaran ialah kata kerja terbitan yang terhasil daripada penggunaan apitan beR-...-an yang membawa maksud perbuatan yang menunjukkan jumlah subjek yang banyak. Oleh itu subjek seperti lampu, bendera, bintang, burung layang-layang, daun kering tidak perlu digandakan lagi. Manakala kanak-kanak pula ialah kata ganda semu dan membawa makna yang khusus apabila digandakan dan kata ganda semu bukan penanda jamak. Oleh itu, kanak-kanak betul dan boleh digunakan dalam ayat tersebut.. | Lain-lain | 05.05.2014 |
tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |