Salam sejahtera, 1.Kita harus memakai topi keledar supaya kepala kita dilindungi jika kemalangan berlaku / berlaku kemalangan. (kedua-dua boleh diterima?) 2. a.Pak Sani menjirus sayur-mayur. b. Sayur-mayur tumbuh segar. Ayat majmuk : Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu. atau Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya sayur-mayur tumbuh segar. (ayat mana betul?) 3. Saya dan bapa menyapu daun-daun kering / daun kering di bawah pokok. (daun-daun kering atau daun kering?) Sekian, terima kasih. | 1. Kita harus memakai topi keledar supaya kepala kita dilindungi jika kemalangan berlaku / berlaku kemalangan. (kedua-dua boleh diterima?). Kedua-dua ayat tersebut betul 2. a. Pak Sani menjirus sayur-mayur. b. Sayur-mayur tumbuh segar. Ayat majmuk : Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu atau Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya sayur-mayur tumbuh segar. (ayat mana betul?): Jawapan betul ialah 1. Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tidak layu. 2. Pak Sani menjirus sayur-mayur supaya tumbuh segar 3. Saya dan bapa menyapu daun-daun kering/daun kering di bawah pokok. (daun-daun kering atau daun kering?) Jawapan betul ialah Saya dan bapa menyapu daun-daun kering di bawah pokok | Tatabahasa | 10.02.2020 |
Bagaimanakah banjir lumpur itu berlaku? (Soalan) Banjir lumpur itu berlaku kerana hujan turun dengan lebat menyebabkan hakisan tanah berlaku.(jawapan) Persoalannya: bolehkah diterima penggunaan kerana untuk soalan bagaimana. | Soalan bagaimana tidak boleh dijawab dengan jawapan kerana. Bagaimana bermaksud cara. Contoh jawapan yang mungkin boleh diterima ialah menjawab cara banjir itu berlaku. "Banjir itu berlaku dengan teruk sekali. Banyak rumah telah dihanyutkan. | Lain-lain | 23.02.2016 |
Kebakaran itu berlaku akibat daripada puntung rokok. atau Kebakaran itu berlaku adalah akibat puntung rokok. atau Kebakaran itu berlaku akibat puntung rokok. perlu ke guna kata 'daripada' selepas akibat ? | Ayat yang betul ialah 'kebakaran itu berlaku akibat puntung rokok'. Tidak perlu menggunakan kata 'daripada' selepas penggunaan kata 'daripada'. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk rujukan lanjut. Harap maklum. | Tatabahasa | 13.09.2007 |
Apakah yang dimaksudkan dengan konsep penanda wacana? | Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Bagi mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana, maka penanda wacana digunakan. Terdapat lima jenis penanda wacana: penanda penghubung, rujukan,penggantian,leksikal dan elipsis atau pengguguran. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525. | Tatabahasa | 25.02.2012 |
jawapan yang diberi oleh dbp masa bulan mac: Antara kesan tanah runtuh (ialah) berlaku tanah runtuh. "berlaku tanah runtuh" ialah frasa kerja kan? mengapakah guna kata pemeri "ialah"? saya difahamkan lepas kata pemeri "ialah" perlu guna frasa nama. | Mohon maaf. Kata "berlaku" dalam ayat tersebut membawa makna adjektif (sedang berlangsung/terjadi). Ayat yang betul: Antara kesan tanah runtuh adalah berlaku banjir lumpur. | Lain-lain | 17.07.2018 |
Apa beza halangan, cabaran dan masalah? ciri yang utama yang membezakan 3 perkataan tersebut? adakah masalah = sesuatu yang telah berlaku atau sedang berlaku? adakah cabaran = sesuatu yang akan berlaku? adakah halangan = sama seperti cabaran? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud halangan ialah aral, gangguan, rintangan atau tegahan, manakala cabaran menurut Kamus Pelajar Edisis Kedua ialah ajakan untuk berlawan, tantangan atau sesuatu yang mencabar dan maksud masalah ialah sesuatu yang mesti diselesaikan. | Makna | 27.01.2017 |
Ketepatan penggunaan penanda wacana dalam karangan/esei kadang kala mengelirukan. Mohon jasa baik DBP memberikan panduan. tk. | Saudara, Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Ungkapan-ungkapan yang digunakan selain mempunyai makna tersendiri juga berfungsi sebagai pemberi isyarat bagi makna keseluruhan surat rasmi itu. Penanda wacana dibahagikan menurut jenis makna dan kata yang ditimbulkannya seperti penanda rujukan, penanda penyertaan, penanda makluman dsb. Kekeliruan berlaku apabila penulis tidak menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat mengikut konteks dan makna yang hendak disampaikan. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Penggunaan Bahasa dalam Surat Rasmi, Bahasa dalam Komunikasi oleh Asmah Hj. Omar. | Lain-lain | 04.11.2009 |
Salam sejahtera, izinkan saya meluahkan lagi pendapat, memang peminjaman berlaku dalam semua bahasa, berlaku secara meluas dan menjadi kelaziman tetapi kita sebagai pencinta bahasa Melayu perlulah mempertahankan bahasa kita dengan mengurangkan peminjaman bahasa yang melampau sehingga istilah yang sudah sedia ada pun juga dipinjam. Seperti istilah Inggerisnys iaitu "infrastuktur" menggantikan istilah Melayunya iaitu "prasarana", istilah "program" dan "agenda" dalam bahasa Inggeris menggantikan "acara" dalam istilah Melayunya, istilah "koleksi" menggantikan "kumpulan" dan "himpunan" dan lain-lain lagi. Banyak lagi istilah yang sudah ada juga dipinjam dalam bahasa Inggeris. Maafkan jikalau saya katakan itu adalah dinamakan pembaziran bahasa dan salah satu punca terjadinya "bahasa rojak". Bahasa Melayu kaya dengan perkataan dan kosa kata. Jadi, untuk apa dipinjam lagi? jikalau tiada istilah yang sesuai maka ciptalah istilah baru seperti apa yang dilakukan oleh Pendeta Za'ba seorang pejuang bahasa Melayu. Kita perlu menjaga dan mempertahankan kesucian, keaslian dan kejatian bahasa Melayu. Selain itu, kita perlu mencontohi sikap pejuang bahasa Thai, Cina dan Korea yang mempertahankan bahasa mereka daripada serangan istilah asing. Jikalau dibuat kajian dan perbandingan bahasa Cina, Korea dan Thai memang saya cukup kagum kerana istilah-istilah dan kosa kata bahasa mereka lebih banyak daripada istilah dan kosa kata pinjaman. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan bersama-samalah kita berusaha mempopularkan kata asli Melayu yang telah mengungkapkan makna yang terkandung dalam perkataan tersebut. Kami sendiri sentiasa berusaha menggunakan perkataan kegiatan bagi mengungkapkan maksud aktiviti dan iltizam bagi mengungkapkan maksud komitem. Semoga usaha kecil kita ini mendapat perhatian daripada masyarakat di luar sana dan bersama-sama menghayati keindahan bahasa kita. Bahasa kita jati diri bangsa kita. | Lain-lain | 15.11.2015 |
KENAPA BERLAKU KEKECUALIAN HUKUM D-M? APAKAH FAKTOR KEKECUALIAN HUKUM D-M BERLAKU? KESILAPAN UMUM DALAM KEKECUALIAN HUKUM D-M? | Kekecualian peraturan Hukum D-M iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan, boleh berlaku akibat kebiasaan dalam penggunaan terutama pada nama-nama jawatan. Kekecualian dalam bahasa menunjukkan keunikan sesuatu bahasa. Penyusun tatabahasa terdiri daripada kalangan para sarjana bahasa lebih memaklumi hal ini dan telah memutuskan kekecualian perlu ada bagi sebahagian kecil perkataan yang telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 16.01.2013 |
penggunaan "ialah" dan "adalah": 1) Antara kesan berlaku tanah runtuh (ialah/adalah) berlaku banjir lumpur. 2) Maksud perkataan "uzur" (ialah/adalah) tua. | 1) Antara kesan tanah runtuh ialah berlaku banjir lumpur. 2) Maksud perkataan uzur adalah tua. | Tatabahasa | 14.03.2018 |