munsyi, adakah saling bermaafan, saling berpandangan, saling bertolongan...adalah gramatis? saya kekeliruan kerana be..an bermaksud saling, mengapakah saling bermaafan adalah betul dan saling bermaaf-maafan adalah salah? TK | Perkataan yang betul ialah bermaaf-maafan, berpandangan dan bertolong-tolongan. Contohnya ayat: Ros mengesat air matanya setelah bermaaf-maafan dengan Jamilah. | Tatabahasa | 13.04.2012 |
cerakinkan ayat di bawah menjadi dua ayat; 1. Siswazah yang berpandangan jauh tidak memerlukan gaji yang tinggi. | Sdr. Sol-Sweety, ayat ini boleh dicerakin seperti ini, 1. Siswazah yang berpandangan jauh. 2. Siswazah tidak memerlukan gaji yang tinggi. sekian terima kasih | Lain-lain | 21.04.2008 |
Adakah kelewahan yang berlaku dalam ayat salah dari hukum tatabahasa, atau sekadar tidak digalakkan sahaja penggunaannya? Ini kerana saya berpandangan yang gejala lewah ini berfungsi juga sebagai unsur penegas bagi sesuatu frasa / ayat. Sekian, terima kasih. | Kelewahan tidak salah dari segi tatabahasa tetapi membazir kerana berlebih-lebih. Kelewahan hanya dianggap penegas dalam bahasa lisan/percakapan tetapi tidak dalam bentuk bahasa tulisan yang baku dan standard. | Tatabahasa | 27.08.2007 |
APAKAH DEFINISI SEKOLAH WAWASAN DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH? | Sekolah wawasan dari segi bahasa dan istilah menunjukkan konsep yang berpandangan jauh untuk mencapai objektif tertentu. | Makna | 24.01.2007 |
Baru-baru ini Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pertanyaan saya adalah sama ada penggunaan perkataan "Pencegahan" atau "Anti" atau " Pembanterasan" yang lebih sesuai digunakan memandangkan ada yang berpandangan perkataan "Pencegahan" tidak menggambarkan elemen penguatkuatkuasaan (kurang keras) berbanding perkataan "Anti" atau "Pembanterasan". Pohon juga pandangan pihak tuan sekiranya terdapat perkataan lain yang lebih bersesuaian. Sekian, terima kasih. | Perkataan cegah bermaksud tegah, halang. Pencegahan bermaksud perihal(perbuatan dsb.)mencegah, penegahan, penolakan, pengawalan(pengawasan). Anti bermaksud tidak suka,, awalan asing yang bermaksud tidak menyetujui, melawan, membantah, menentang. Banteras bermaksud membasmi, menghapuskan, memerangi. Perkataan lain yang membawa maksud yang sama ialah menjauhkan, mengelakkan, menyekat, mengekang. Kami percaya pihak yang memilih perkataan pencegahan untuk menamai Suruhanjaya tersebut telah pun meneliti dan mengkaji semua perkataan yang sedia ada secara terperinci. | Makna | 10.06.2008 |
Mohon semak ayat yang mana lebih tepat dan sesuai bagi penggunaan tema berikut: "Kelestarian Komoditi Menjamin Masa Depan" atau "Kelestarian Komoditi Untuk Masa Depan Yang Lebih Terjamin | Untuk makluman saudara lestari bermaksud kekal dan lazimnya digunakan dalam konteks alam sekitar dan perhutanan. Namun begitu penggunaan perkataan lestari boleh diperluaskan kepada bidang yang lain selagi bertepatan dengan maksud "kekal"nya itu. Dalam hal ini kami berpandangan frasa kelestarian komoditi tidak sesuai kerana komoditi sesebuah negara mesti ditingkatkan atau bertambah dari semasa ke semasa dan bukannya dikekalkan. Sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih tepat maknanya. Dalam konteks perkataan yang lain tema yang pertama lebih sesuai kerana lebih ringkas dan mudah diingati
| Tatabahasa | 26.02.2013 |
Merujuk jawapan tuan (6.4.2012) bahawa ayat 'Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul" betul kerana membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan. Walau bagaimanapun hal tersebut tidak mematuhi keterangan dalam Tatabahasa Dewan m/s 280 iaitu ' dengan ' hadir di hadapan frasa/ kata nama, sedangkan 'betul' ialah kata adjektif. Sesuatu perlu dilakukan kepada perkataan betul supaya menjadi kata/frasa nama seperti rajin = rajinnya. saya berpandangan ayat tersebut boleh ditulis " Pilih ayat-ayat yang betul penggunaan perkataan bergarisnya" Mohon pandangan tuan. | Ayat "Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul" betul. Kata "dengan" dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata hubung pancangan keterangan, bukan kata sendi nama. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
Apakah peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan apakah masalah yang timbul di kalangan masyarakat hari ini tentang penggunaan Bahasa Melayu | Memang banyak peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini diterjemah dan dimanifestasikan dalam hala tuju DBP sendiri seperti yang dinyatakan dalam fungsi dan dasarnya. Antaranya menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Masalah dan kekangan yg timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama, golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dsb. T.kasih. | Lain-lain | 12.07.2008 |
Saya ingin menanyakan beberapa soalan berkenaan dengan peranan sebenar DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Apakah DBP betul-betul memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia? Perlukah seorang wakil senator dilantik dalam parlimen bagi memperjuangkan Bahasa Melayu? Mengapa tidak dianjurkan satu perayaan atau hari Bahasa Melayu seluruh Malaysia? Sejauhmanakah Bahasa Melayu membantu dalam perkembangan teknologi masa kini? Sejauhmanakah DBP mempertahankan Bahasa Melayu dalam masyarakat Malaysia umumnya dan orang Melayu khususnya? | Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai badan pembina dan perancang bahasa, sastera dan penerbitan mempunyai peranan sebagai penggerak aktiviti kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan. Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu DBP melaksanakan pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemantauan,pemupukan, penataran, pekhidmatan dan penyebaran. Pelbagai kegiatan dilaksanakan melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara Malaysia. Berbekalkan Ordinan DBP 1959, DBP diberi kuasa autonomi untuk melaksanakan tugas membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan di Malaysia. Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka seperti yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) ialah untuk a) membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; b) untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan; c) untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain; d) untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan; untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan e) untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebuah badan berkanun yang dipertanggungjawabkan membina dan mangembangkan bahasa kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk bahan-bahan berikut : : 1. Peranan DBP lebih tegas dan jelas oleh Awang Sariyan [diwawancara oleh Adnan Abd. Majid] Dewan Masyarakat 01/07/2004 . 2. Permasalahan dalam pembangunan bahasa Melayu sebagai asas pembangunan negara bangsa Malaysia oleh Ismail Dahaman Dewan Bahasa 01/07/2001 . 3. DBP akan terus mainkan peranan Utusan Malaysia 06/01/1988 4. DBP kembangkan peranannya oleh Nor Sedek Ismail Utusan Malaysia 11/11/1994 . 5. Peranan DBP sebagai penasihat bahasa AGHA Utusan Malaysia 01/03/1996 6. Citra : Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia = Citra : Institute of Language and Literature Malaysia Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2003 . 7. CITRA : Dewan Bahasa dan Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 2002 . 8. Citra DBP 40 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 1996. Memang banyak peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu. Ini diterjemah dan dimanifestasikan dalam hala tuju DBP sendiri seperti yang dinyatakan dalam fungsi dan dasarnya. Antaranya menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang ilmu. Masalah dan kekangan yg timbul ialah terdapat golongan yang berpandangan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa yang maju dan bersifat saintifik. Tetapi kita jangan lupa bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu yang dituturkan dan digunakan sebagai bahasa komunikasi oleh golongan pedagang, golongan agama, golongan pemodal di nusantara ini. Bahasa Melayu kini telah dituturkan oleh masyarakat di negara ini sebagai bahasa komunikasi, bahasa perpaduan dsb. T.kasih. | Lain-lain | 25.07.2008 |