Salam. Harap pihak tuan/puan dapat mengesahkan pengejaan perkataan di bawah: - BUDIBICARA / BUDI BICARA - BERTANGGUNGJAWAB / BERTANGGUNG JAWAB - WARGANEGARA / WARGA NEGARA - TATASUSILA / TATA SUSILA - BERPUASHATI / BERPUAS HATI Sekian, terima kasih. | Ejaan yang betul : budi bicara; bertanggungjawab; warganegara; tatasusila; berpuas hati. | Ejaan | 13.11.2009 |
saya masih tidak berpuas hati mengenai jawapan yang di berikan berkaitan soalan saya yang bertarikh 1/04/2010. Adakah pihak dbp membuat perubahan terhadap penggunaan tanda baca koma dalam menghuraikan sesuatu perkara?. contohnya:warna na kegemaran saya ialah biru, merah, kuning dan hitam. saya mendapat jawapan seperti berikut: di rumah saya terdapat kerusi, meja katil dan almari. Jawapan tersebut ternyata jauh berbeza dari yang saya pelajari di sekolah. sila jelaskan. | Saudara Shahfizan, Bagi penyenaraian yang setara atau sama tanda koma tidak digunakan sebelum kata sendi nama dan. Contoh: Warna biru, merah, kuning dan hitam. Saudara boleh merujuk buku Gaya Dewan untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 10.04.2010 |
Maaf, saya masih belum berpuas hati sebab saya temui penggunaan perkataan gambarajah satu perkataan dalam portal DPB (seperti dilampirkan). Adakah boleh digunakan pada hal-hal @ situasi tertentu. Jika boleh, bila? | Ejaan yang betul ialah gambar rajah. Untuk pengetahuan saudara, ejaan gambar rajah dalam portal DBP seperti yang dilampirkan ialah istilah lama dan pada ketika itu ejaan gambar rajah dieja rapat. Setelah sistem ejaan baru diperkenalkan, ejaan yang betulnya ialah dua patah perkataan. | Istilah | 12.12.2008 |
makna kepuasan hati | Menurut Kamus Dewan maksud berpuas; ~ hati berasa puas (kenyang, lega, senang, dll); memuaskan 1. menjadikan (menyebabkan) puas, memberi (memenuhi, menuruti, dll) hingga puas: wang dapat ~ kehendak-kehendak lahir; buah anggur sangat ~ selera saya; 2. memberi kelegaan (kesenangan, kesukaan, dll) kpd, menyenangkan, menyukakan: layanannya ~; ia ingin berbuat sesuatu yg dapat ~ hati ibunya; 3. memadai (harapan, hasrat, dll), menyenangkan: pendapatan drpd hasil padi tahun ini agak ~; Sdr juga boleh mendapatkan kemudahan menggunakan Kamus Dewan secara digital dengan melayari laman DBP. | Lain-lain | 04.03.2008 |
Terima kasih atas jawapan yang telah diberikan. Walau bagaimanapun, saya masih tidak berpuas hati dengan jawapan itu kerana tiada alasan kukuh. Bolehkah pihak DBP memberikan alasan atau sebab kenapa ayat ini betul. 1. Seorang murid tingkatan satu cedera parah selepas kepalanya dilibas kipas kerana berdiri di atas meja. a) Kenapakah perkataan 'dilibas' betul sedangkan kipas siling itu sedang berputar dan ia benda yang tidak hidup. Kalau manusia atau benda hidup barangkali betul sebab 'pelaku' kepada perbuatan itu. b) Jika penggunaan istilah 'libas' itu betul mungkinkah penggunaan istilah 'libasan' atau 'terlibas' lebih sesuai? Mohon penjelasan. Terima kasih :-) | Pendapat tuan boleh diterima kerana dilibas bermakna pelaku melakukan perbuatan melibas. Perkataan lain yang boleh digunakan untuk menggantikan dilibas ialah frasa terkena libasan kipas. Seorang murid tingkatan satu cedera parah selepas kepalanya terkena libasan kipas angin kerana berdiri di atas meja.
| Tatabahasa | 21.07.2013 |
Adakah ayat ini betul. 1. Tetamu jemputan yang menghadiri majlis itu berasa amat berpuas hati. 2. Banyak orang datang berkunjung ke pameran seni itu. 3. Buku rujukan itu mendapat sambutan hangat kerana ditulis dalam dwibahasa. | Ketiga-tiga ayat di atsa adalah betul. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 19.08.2013 |
Terima kasih kerana memberikan jawapan yang cepat untuk soalan saya sebelum ini. Saya amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Berikut ialah soalan-soalan baru daripada saya. Sekali lagi, saya mohon maaf kerana ketika ini saya sebarang buku yang boleh dijadikan rujukan. Sila ambil masa yang yang perlu kerana saya tidaklah tergesa-gesa. | Padanan bahasa Melayu bagi perkataan kingdom ialah kerajaan, alam atau dunia. Penggunaan padanan ini bergantung pada maksud atau konteks penggunaannya. Bagi menjawab soalan saudara tentang penggunaan perkataan ini bagi negara Rusia dan Jerman saudara boleh membuat rujukan dalam buku atau makalah tentang sejarah negara-negara tersebut untuk mendapatkan istilah sebenar yang digunakan. Tentang ejaan nama-nama tempat di luar negara hanya nama yang sudah biasa digunakan dieja dalam bahasa Melayu seperti Jepun, Rusia, Perancis. Selain itu tetap dieja seperti ejaan dalam bahasa Inggeris. Saudara boleh merujuk pihak Wisma Putra untuk maklumat lanjut. Kata ganti nama ia boleh digunakan. Perkataan Perdana Menteri tidak menjadi menteri perdana kerana penggunaan ini merupakan kecualian peraturan D-M. iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama pada nama-nama jawatan. Contoh lain ialah timbalan menteri, naib presiden, ibu pejabat dan pembantu penyelidik. | Lain-lain | 04.07.2008 |
Ini bukan soalan tapi komen terhadap jawapan yang diberikan oleh DBP untuk dua soalan berkenaan peribahasa "mengata dulang paku serpih". Saya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan di mana pihak DBP mengatakan versi yang betul ialah "mengata dulang paku serpih". Versi yang betul ialah "memaku/mengetuk dulang paku serpih/ mengata orang dia yang lebih." Baris pertama dalam pantun dua kerat ini ialah pembayang dan hanya untuk memberi rima kepada baris seterusnya. Maka perkataan "mengata" bukan berada di situ. Dari segi logiknya, mana mungkin kita "mengata" dulang? Satu lagi, ia adalah juga logik apabila memaku dulang, paku akan menjadi serpih. Sila membuat pembetulan di atas jawapan yang diberikan ini. Sekian, terima kasih. | Jawapan Khidmat Nasihat Bahasa merujuk buku Kamus Istimewa Peribahasa Bahasa Melayu, susunan Abdullah Hussain. Mungkin pendapat tuan ada benarnya dan kami boleh menerima setelah ada dapatan/kajian yang mengesahkannya serta dibuat pindaan dalam kamus/buku peribahasa susunan terbaharu. | Lain-lain | 24.02.2012 |
1) Antara perkataan sabung-menyabung dan sambar-menyambar, yang mana satu penggunaannya paling sesuai dalam ayat berikut. - Hari itu hujan turun dengan lebat dan kilat sabung-menyabung/sambar-menyambar. 2) Adakah penggunaan kesat dalam ayat berikut betul? - Kaki Zaki kesat kerana terkena lumpur di paya itu. - Tolong kesat meja yang berhabuk itu dengan segera. - Saya kurang puas kerana meja yang baru dibeli ini kesat. | 1) Hari itu hujan turun dengan lebat dan kilat sabung-menyabung. 2) Kaki Zaki kesat kerana terkena lumpur di paya itu. (Tidak sesuai) Tolong kesat meja yang berhabuk itu dengan segera. (Betul) Saya kurang berpuas hati kerana meja yang baru dibeli ini kesat. (Betul) | Tatabahasa | 18.03.2013 |
Salam sejatera. Saya medapati ramai guru sering menegaskan bahawa perkataan yang indah dan klasik tidak patut digunakan dalam PMR atau SPM tetapi saya berpendapat bahawa pelajar perlu dipupuk untuk mempelajari dan mencintai bahasa melayu demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita bukan merisaukan tanggapan pemeriksa semata-mata . Jika pelajar tidak dapat meggunakan perkataan bahasa melayu yang berkualiti dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menggunakannya lagi selepas alam persekolahan. Rentetan daripada itu, banyak perkataan bahasa melayu tidak akan dikenali oleh rakyat kita sendiri dalam dunia yang semakin meminggirkan tradisi. Pelajar sering dimomokkan dengan tanggapan pemeriksa yang tidak gemar melihat perkataan indah atau klasik justeru menyebabkan mereka tidak ingin mempelajari perkataan baru dan berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki. Jika setiap pelajar perlu menjadikan kamus dbp sebagai rujukan utama, apa salanya jika menggunakan perkataan yang terdapat dalam kamus yang menjadi akar tunjang kepada bahasa melayu? Jika benar perkataan sedemikian tidak wajar digunakan, mengapakah perkataan ini wujud dalam kamus? Jika perkataan bombastik tidak sesuai dalam karangan peperiksaan, bilakah perkataan-perkataan ini sesuai digunakan? Tujuan saya bukan untuk berperang pena tetapi sebagai anak malaysia yang bertanggungjawab saya agak risau akan situasi ini. Saya berharap pihak dbp dapat memberi penjelasan. Sekian. Bahasa Jiwa Bangsa | Penulisan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Kekuatan kosa kata yang baru atau melankolik tidak menjamin penulisan yang baik. | Istilah | 17.08.2010 |