Assalamualaikum dan selamat berpuasa, 1. Perkataan stokin dan stoking, bila dirujuk kepada kamus, ianya membawa pengertian yang sama. 2. Istilah mana yang paling tepat untuk digunakan dan didedahkan kepada murid. Jika ejaan 'stokin' yang betul adakah ejaan ' stoking' itu salah dan sebaliknya. Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan (Bahasa Melayu - Bahasa Melayu) entri perkataan stoking sahaja yang ada dan padanan sock dalam bahasa Melayu ialah stoking. Oleh itu, ejaan stoking yang paling tepat. | Tatabahasa | 26.08.2010 |
1. Penggunaan perkataan PELANJUTAN dan PERLANJUTAN mana yg sepatutnya digunakan untuk kes di mana pegawai memohon perlanjutan/pelanjutan cuti. 2. Penggunaan perkataan PENGISYTIHARAN dan PENGISHTIHARAN mana yang betul untuk kes pengisytiharan/pengisytiharaan harta Selamat Berpuasa + Selamat Hari Raya | 1. lanjut - melanjutkan(perbuatan), pelanjutan(proses melanjutkan). Oleh itu yang betul ialah pegawai memohon pelanjutan cuti. 2. isytihar - mengisytiharkan(perbuatan), pengisytiharan(proses mengisytiharkan. Oleh itu yang betul ialah kes pengisytiharan harta. | Lain-lain | 26.09.2008 |
Salam tuan,adakah ayat dianggap gramatis? 1) Saya teringat akan dia. 2) Saya teringat dia. 3) Saya teringat dengan dia. Untuk ayat ketiga,saya biasa dengar orang sebut,adakah ia betul atau tidak? Mohon pencerahan daripada tuan. Sekian terima kasih dan selamat berpuasa. | Ayat ‘Saya teringat akan dia’ dan ‘Saya teringat dia’ betul dan sesuai digunakan. | Tatabahasa | 05.04.2024 |
Saya ingin mencari makna yang tepat 3 perkataan berikut... 1. Ilmu 2. Iman 3. Amal | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, ilmu bermaksud 1. pengetahuan dlm perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dll; ~ akhirat pengetahuan bkn segala sesuatu sesudah manusia itu mati; ~ kalam salah satu cabang usuluddin; mencari ~ berusaha utk mencari kepandaian dan pengetahuan; menuntut ~ belajar; 2. kajian bkn sesuatu perkara: ~ bumi; ~ masyarakat; ~ terapi cabang perubatan yg berkaitan dgn rawatan penyakit; 3. sampainya diri kpd makna, dan hadirnya makna dlm diri seseorang (dlm konteks agama Islam); ~ padi, makin berisi makin tunduk prb makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat, makin merendahkan diri; menunjukkan ~ kpd orang menetek prb membuat pekerjaan yg sia-sia; Manakala iman bermaksud Ar 1. keyakinan terhadap wujudnya Allah dgn hati, yg dilafazkan dgn kata-kata, dan dilaksanakan dgn amalan: di mukanya, kelihatan sinar takwa dan ~; 2. ketetapan hati, kekuatan batin: walau bagaimana kuat pun godaan syaitan, namun ~nya tidak bergoncang; kurang ~ kurang kuat hatinya, mudah terpengaruh atau tertipu; membawa ~ menyebarkan agama Islam; dan amal bermaksud 1. apa sahaja yg dilakukan, perbuatan, pekerjaan: banyak ~, sedikit bicara; 2. perbuatan baik (yg mendatangkan faedah kpd orang lain): bersedekah ialah satu drpd ~ kebajikan; ~ ibadat perbuatan mengerjakan perkara-perkara yg diwajibkan oleh ajaran agama (spt bersembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, dll); ~ jariah perbuatan yg diredai Allah utk kepentingan atau faedah masyarakat (spt berderma, menolong orang dlm kesusahan, dll), kebajikan kpd orang ramai; | Makna | 18.10.2010 |
Lebaran diertikan Kamus Dewan Perdana hanya untuk Hari Raya Puasa. Kamus Dewan Ke-4 menyertakan Lebaran untuk Hari Raya Haji juga. Adakah Lebaran hanya untuk 1 Syawal? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan Kamus Dewan Perdana maksud lebaran ialah hari yang dimuliakan dan dirayakan oleh umat Islam pada 1 Syawal setiap tahun Hijrah, setelah selesai berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan, dan diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Kata lainnya Aidilfitri, Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri. Jika Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha disebut Lebaran Besar atau Lebaran Haji di Indonesia. | Makna | 05.04.2024 |
Assalamualaikum.Saya ingin mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang penggunaan beberapa jenis kata keterangan seperti 'juga' dan 'lagi'.Harap dapat dijelaskan..Sekian terima kasih | Juga: 1. (digunakan utk menyatakan keadaan yg sama atau serupa) pun: ada ~ orang yg tahu perkara itu; badannya tegap, adiknya ~ demikian; 2. (digunakan selepas kata sifat) agak: gadis itu cantik ~, tetapi tidaklah secantik emaknya; 3. (digunakan utk menunjukkan perulangan) lagi: dulu saya yg menolongnya, sekarang saya ~ yg menolongnya; 4. (digunakan utk menunjukkan perbuatan terus-menerus) terus: walaupun dilarang dia masih ketawa ~; Chia telah mati di situ ~; 5. (digunakan utk menunjukkan tolak ansur) meskipun, walaupun: sesiapa ~ yg datang, saya mengalu-alukannya; 6. (biasanya digunakan selepas kata penghubung tetapi atau atau utk menunjukkan tokokan): kamu bukan sahaja mesti belajar dgn tekun tetapi ~ mesti berbaik-baik antara satu sama lain; 7. (digunakan bersama dgn pun sbg penegas): saya berpuasa, dia pun berpuasa ~; jua. Lagi: 1. tambahan kpd yg sedia ada: lima orang ~ telah dirawat di rumah sakit; musim hujan akan datang kira-kira tengah dua bulan ~; 2. masih (berpanjangan), sedang (berbuat sesuatu dll): adapun Chau Pandan itu, ~ di benua Siam; sekarang pun ada ~ negeri itu di benua Keling; 3. dan, serta, tambahan pula: dia hartawan ~ dermawan; 4. (balik) semula, pula: janganlah ~ dicari hamzah di dunia ini; 5. lebih (baik, elok, dll): mati ~ bagus; 6. kata yg digunakan utk menguatkan atau mengeraskan kata-kata sebelumnya: sekaranglah kita amuk, bila ~!; bilal khatib ~ berdosa, ini pula kita yg jahil; ~ pula dan lagi, lebih-lebih, tambahan pula; | Lain-lain | 26.03.2009 |
Assalammualaikum wbrt. Saya Roshafezal Bin Rosaland, boleh panghil saya Faizal. Saya merupakan seorang ejen hartanah. Baiklah soalan saya apakah definisi tingkat 2 yang sebenar dan sebetulnya? Ada yang berpendapat tingkat satu bermula dari aras pertama, kemudian barulah tingkat 2, ada pula yang menyatakan tingkat 2 adalah aras ketiga selepas aras pertama dan kedua. Dalam bahasa inggeriskan ada istilah Ground Floor maka tingkat satu adalah selepas Ground Floor iaitu aras ke 2. Berbeza pula jika kita nyatakan rumah teres 1 tingkat, rumah teres 2 tingkat. Tiada pula wujud masalah kerana tiada penggunaan Ground Floor di situ. Dalam bahasa inggeris panggil Single Storey untuk rumah 1 tingkat dan Double Story untuk rumah 2 tingkat. Boleh Tuan/Puan bantu beri penjelasan dan war-warkan supaya masyarakat tidak keliru lagi dan tidak wujud salah faham dan ada rujukan yang boleh kita rujuk. Maaf jika rujukan tersebut sudah wujud tapi saya tidak jumpa menerusi carian Google. Terima kasih atas perhatian. Salam Ramadhan dan selamat berpuasa.Wassalam | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 2376, perkataan tingkat bermaksud susunan atau lapisan bangunan, mangkuk, tanah dan lain-lain yang bertindih-tindih atau terletak satu di atas satu yang lain atau; dasar atau lantai di sesuatu ruang bangunan, kompleks beli-belah, hotel dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tidak ada ketetapan khusus dalam penamaan atau penomboran tingkat bagi sesuatu bangunan. Penamaan dan penomboran tersebut bergantung pada konsep sesuatu bangunan atau pemilik bangunan. Pada kebiasaannya, kebanyakan bangunan bermula dengan tingkat/aras bawah, diikuti tingkat satu, tingkat dua dan seterusnya. | Makna | 28.03.2024 |