bersama 1. = bersama-sama berserta, bergandingan dgn, serentak dgn: esok harinya Poniem datang ~ anak angkatnya; kami mudik bersama-sama; ~ surat ini anakanda kembarkan wang lima puluh ringgit tuan.. saya kekeliruan dengan bersama dengan anak atau bersama anak ? bersama dengan surat..atau bersama surat...? tq | bersama dengan dan bersama boleh digunakan. | Tatabahasa | 18.09.2011 |
1. Apakah berbezaan antara perkataan bersama dan bersama-sama? Yang manakah frasa yang tepat "bersama-sama rakan-rakan" atau "bersama rakan-rakan" 2. Penggunaan yang tepat bagi perkataan belakangan ini? | 1. Bersama membawa pelbagai maksud, antaranya termasuklah bergandingan dengan, serentak dengan ataupun bersama-sama. Dalam hal ini bersama membawa banyak makna tetapi bersama-sama hanya bermaksud bergandingan dengan. Frasa yang tepat ialah bersama-sama rakan atau bersama dengan rakan. 2. Belakangan ini sama maknanya dengan kebelakangan ini, contoh ayat: Belakangan/kebelakangan ini, banyak anak-anak Melayu yang berminat untuk berniaga. | Tatabahasa | 25.01.2011 |
1. Salam sejahtera. Apakah persamaan dan perbezaan antara perkataan 'bersama' dengan perkataan 'bersama-sama'? 2. Antara ayat berikut, yang manakah yang betul? i) Kita mestilah bertolak ansur demi kepentingan bersama. ii) Kita mestilah bertolak ansur demi kepentingan bersama-sama. | Salam Sejahtera, Jawapan 1: Perbezaan dan persamaan perkataan "bersama" dengan perkataan "bersama-sama" menurut Kamus Dewan Edisi Keempat: bersama 1. = bersama-sama berserta, bergandingan dgn, serentak dgn: esok harinya Poniem datang ~ anak angkatnya; kami mudik bersama-sama; ~ surat ini anakanda kembarkan wang lima puluh ringgit; 2. semuanya sekali, seluruhnya: tempat perundingan itu harus dipersetujui ~ oleh kedua-dua belah pihak; kedua-dua laki isteri itu pun duduk makan ~ dgn penuh selera; 3. utk sesamanya, utk sekaliannya: harta ~; kemakmuran ~; 4. bh melakukan hubungan jenis, bersetubuh: isteri diwajibkan melayani suami apabila dia mahu ~; Jawapan 2: Jawapan yang betul ialah i) Kita mestilah bertolak ansur demi kepentingan bersama. | Tatabahasa | 11.03.2013 |
Mohon penjelasan tuan; 1. Mereka bersama-sama makan makanan itu. 2. Mereka makan makanan itu bersama-sama. 3. Makanan itu mereka makan bersama-sama. Ayat yang mana betul ? | Ayat yang betul ialah: 2. Mereka makan makanan itu bersama-sama; dan 3. Makanan itu mereka makan bersama-sama. | Tatabahasa | 21.02.2012 |
Saya ingin bertanya penggunaan beberapa perkataan dalam ayat: 1. Berbanding atau berbanding dengan (yang manakah tepat) 2. Bersama atau bersama-sama atau bersama-sama dengan( yang manakah tepat) 3. Dia tidak hadir ke sekolah sebab demam atau dia tidak hadir ke sekolah oleh sebab demam. (yang manakah tepat) terima kasih dari Diana | 1. Penggunaan yang betul ialah berbanding dengan. 2. Bersama dan bersama-sama kedua-duanya betul. 3. Dia tidak hadir ke sekolah oleh sebab demam. | Tatabahasa | 22.02.2012 |
Lazimnya orang menggunakan perkataan "bersama" dengan maksud "bersetubuh". Soalan 1: Adakah penggunaannya betul? Salah faham boleh berlaku contohnya apabila seseorang menulis "Sudah setahun saya tidak bersama suami" padahal yang dimaksudkannya ialah dia dan suami duduk berasingan selama setahun. Jika penggunaan perkataan "bersama" dengan maksud "bersetubuh" adalah betul, soalan 2: Manakah yang lebih tepat, "bersama suami" ataupun "bersama dengan suami"? Terima kasih | Merujuk kepada Kamus Dewan, bersama ditakrifkan sebagai berserta, bergandingan dengan atau serentak dengan. Merujuk kepada contoh konteks ayat yang diberikan oleh saudara ini, bersama yang dimaksudkan lebih merujuk kepada proses peluaasan makna. Manakala contoh 2 yang dikemukakan oleh saudara, ayat yang lebih sesuai digunakan ialah "bersama dengan suami". | Lain-lain | 02.10.2007 |
Soalan Pertama Ayat berikut yang manakah betul? 1. Ibu bersama nenek sedang memasak di dapur. 2. Ibu sedang memasak di dapur bersama nenek. 3. Ibu sedang memasak bersama nenek di dapur. Soalan ke dua Yang mana sesuai untuk digunakan :- mengumpul setem atau mengumpulkan setem Hobi Aida mengumpul setem. Hobi Aida mengumpulkan setem. Ini kerana di dalam buku teks BM thn 2 tertulis "mengumpulkan setem" di gambar yg diberikan. Saya agak keliru dengan penggunaan "kan" di sini. Harap dapat jelaskan kepada saya. Terima Kasih | Ketiga-tiga ayat betul. Unsur keterangan dalam ketiga-tiga ayat ini berada di kedudukan yang berlainan. Ayat kedua yang betul ialah: Hobi Aida mengumpulkan setem. Kata kumpul menerima imbuhan meN...kan untuk membentuk kata kerja transitif. Untuk penerangan lanjut tentang penggunaan meN...kan sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 04.03.2009 |
1- Penggunaan perkataan DENGAN & DAN… *Bolehkah perkataan DENGAN & DAN digunakan pada permulaan ayat? 2- Penggunaan justeru *Justeru atau justeru itu…. Yang manakah lebih tepat penggunaannya? 3- Oleh yang demikian • Oleh yang demikian atau oleh hal yang demikian, yang sesuai digunakan? 4- Bersama dan bersama-sama • Saya bersama Ali pada ketika ini. • Saya bersama-sama dengan Ali pada ketika ini *Adakah ayat yang digunakan tersebut betul, dan apakah perbezaan antara kedua-duanya? | 1. Dengan boleh digunakan di permulaan ayat, contohnya: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa ..., manakala dan berfungsi untuk menghubungkan dua klausa atau lebih, oleh itu dan tidak digunakan di permulaan ayat. 2. Penggunaan yang lebih tepat ialah justeru. 3. Penggunaan yang paling sesuai ialah oleh yang demikian. 4. Yang paling tepat ialah bersama dengan atau bersama-sama. | Tatabahasa | 17.04.2009 |
Manakah antara frasa berikut yang betul. 1. berdekatan dengan rumah atau berdekatan rumah 2.bersama-sama dengan ibu atau bersama-sama ibu. Terima kasih. | Frasa yang betul ialah "berdekatan rumah" kerana berdfekatan bermaksud berhampiran dengan; dan "bersama dengan ibu atau bersama-sama ibu". | Tatabahasa | 20.06.2011 |
1) Dalam Kamus Dewan dinyatakan bahawa sebutan 'erat' menggunakan e pepet. Namun, mengapakah komuniti masih menggunakan e taling untuk sebutan erat itu ? Justeru, adakah kita perlu mengikut Kamus Dewan ataupun kebiasaan dalam komuniti? Contoh: Bersukan mampu mempererat hubungan antara satu sama lain. 2) Apakah perbezaan antara 'bersama' dengan 'bersama-sama' ? | 1. Walaupun perkataan ini tidak tergolong dalam homonim (seperti sepak dan sepak), masyarakat wajar menyebutnya seperti dalam pedoman/kamus. 2. Bersama membawa pelbagai maksud, antaranya ialah bergandingan dengan, serentak dengan ataupun bersama-sama. Dalam hal ini bersama membawa banyak makna tetapi bersama-sama hanya bermaksud bergandingan dengan. | Tatabahasa | 01.04.2010 |