Apakah beza makna (jika ada) antara silih berganti dengan bersilih ganti? Atau adakah salah satu sahaja yang gramatis? [Ruang Khidmat nasihat digunakan secara yakin oleh pengguna seperti saya. Malangnya, terdapat percanggahan jawapan yang amat ketara antara jawapan-jawapan yang diberikan. Tidak tekal.] [Kedua, saya bertanya melalui Khidmat Nasihat ini dengan harapan dimuatnaikkan ke dalam ruang tersebut kerana belum ada "posting"/pertanyaan sedemikian. Hal ini dapat membantu pengguna lain jika dicari menerusi ruang itu kelak.] Sekian, terima kasih. | Kata 'silih berganti' dan 'bersilih ganti' mempunyai makna yang sama, iaitu bergilir-gilir atau berganti-ganti. Kedua-dua kata tersebut betul dan boleh digunakan sebagai pilihan. Untuk makluman saudara, kami berusaha untuk memantapkan jawapan dalam Arkib Khidmat Nasihat Bahasa. Oleh kerana jumlah soalan yang agak besar (mulai September 2006 hingga kini) kami memerlukan masa untuk memurnikannya. | Tatabahasa | 09.02.2011 |
Salam sejahtera, adalah pada konteks tertentu seperti diri seseorang, kata "pada" dan "kepada" boleh digunakan bersilih ganti? Sekian, terima kasih. | 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. Jadi, kata sendi "pada" dan "kepada" boleh digunakan pada manusia/orang mengikut situasi tertentu. | Tatabahasa | 16.05.2020 |
Merujuk Kamus Dewan Edisi keempat m/s 615 & 1795. Adakah kata ` jawapan`dan `jawaban` membawa maksud yang sama dan boleh bersilih ganti pengggunaannya? Begitu juga kata ` kewajipan` dengan `kewajiban`? | Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. Begitu juga dengan perkataan kewajipan. | Istilah | 18.04.2009 |
Salam sejahtera, bagaimana ingin membezakan penggunaan kata "bagi" dan "untuk"? Bagaimana konteks penggunaannya menjadi berbeza? | Kata sendi nama "untuk" dan "bagi" boleh digunakan bersilih ganti jika berada di hadapan kata nama atau frasa nama yang bertujuan untuk menunjukkan sesuatu. Contohnya, “Asrama untuk penuntut UKM sedang dibina.” atau “Asrama bagi penuntut UKM sedang dibina.”. Walau bagaimanapun, jika untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan, kata "untuk" digunakan dan tidak boleh ditukar dengan perkataan "bagi". Contoh, "Hadiah ini untukmu." | Tatabahasa | 07.11.2019 |
bagaimana membezakan penjodoh bilangan cekak dan gemal? Contoh ayat: Lily membeli (secekak/segemal) lidi di pasar pagi. | Berdasarkan makna kata, gemal juga merujuk ukuran berasaskan cekak. Oleh itu, penggunaannya boleh bersilih ganti. | Tatabahasa | 07.03.2019 |
Sila rujuk lampiran. Tq. | Untuk makluman, kesesuaian perkataan kasar dan kesat digunakan berdasarkan maksud konteks ayat yang hendak disampaikan. Jika perkataan kesat dan kasar membawa maksud tidak halus atau tidak licin, kedua-duanya boleh digunakan bersilih ganti. Contoh: Permukaan jalan raya yang kasar atau Permukaan jalan raya yang kesat. Contoh lain: Kulitnya kesat atau Kulitnya kasar. Walau bagaimanapun, jika membawa maksud yang berbeza, tidak boleh digunakan. Contoh: Jahitan tangannya kasar. Perkataan kasar dalam ayat tersebut tidak boleh digantikan dengan perkataan kesat. | Tatabahasa | 28.03.2019 |
Salam sejahtera. Adakah endapan dan enapan, atau "sediment", membawa maksud yang sama dalam bidang geologi? Bolehkah kedua-dua istilah ini digunakan saling bertukar ganti? Terima kasih. | Endapan dan enapan dalam bidang biologi sebagai variasi dan penggunaannya boleh bersilih ganti. | Penyemakan dan penterjemahan | 17.11.2015 |
Adakah perkataan 'silih' boleh digunakan bersendirian atau mesti digunakan bersama perkataan berganti seperti 'silih berganti'? Contoh ayat arahan: Silih dua item yang bersebelahan. Terima kasih. | Perkataan silih tidak boleh berdiri sendiri dan perlu diikuti oleh perkataan lain untuk membentuk makna contohnya, silih berganti, bersilih ganti, silih jadi dan lain-lain. | Tatabahasa | 13.11.2017 |
Soalan 2 Beliau …………daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Mengapakan jawapan adalah A dilucutkan Mengapakan tak boleh B dipecatkan | Jawapan yang betul ialah Beliau “dilucutkan/dipecat” daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan bersilih ganti dalam contoh ayat yang diberikan kerana “pecat” membawa maksud memberhentikan seseorang daripada jawatannya, manakala “lucut” pula bermakna menghentikan atau menarik balik pangkat/kuasa dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perkataan “dipecatkan” tidak boleh digunakan kerana pembentukan kata yang betul ialah “dipecat”. | Tatabahasa | 02.08.2020 |
Siapakah gerangan atau siapakah gerangan yang menyebabkan tuanku kelihatan bermuram durja? Yang mana satukah lebih tepat penggunaan bahasanya? Siapakah atau apakah? Mohon penjelasan. terima kasih | Jika dilihat pada konteks ayat, kedua-dua perkataan boleh digunakan secara bersilih ganti. Hal ini disebabkan kata “gerangan” bermaksud agaknya, rupanya dan barangkali yang merupakan kata yang ditambahkan pada kata tanya untuk menunjukkan masih berasa bimbang atau waswas. | Lain-lain | 14.05.2020 |