Berkenaan istilah "janji temu" dan "temu janji", benarkah pemahaman kami seperti berikut: 1. Janji temu: sudah ada perjanjian untuk bertemu 2. Temu janji: proses permohonan untuk menetapkan perjanjian untuk bertemu (contoh dalam kes untuk bertemu dengan pegawai tinggi kerajaan, belum ada tarikh untuk bertemu) | 1. Benar untuk makna "janji temu", iaitu janji untuk bertemu. 2. Tidak benar untuk makna "temu janji". Masih belum terakam kata dan makna untuk "temu janji" dalam kamus terbitan DBP. 3. Proses permohonan untuk menetapkan perjanjian untuk bertemu juga bermaksud proses "janji temu". 4. "Bertemu" dan kemudiannya "berjanji" juga bukan "temu janji". | Makna | 04.04.2023 |
Salam. Menurut pemahaman saya, apabila seorang rakyat bertemu dengan raja/sultan, rakyat tersebut akan menggunakan kata ganti nama 'patik'. Bagaimana pula jika sekumpulan rakyat yang bertemu seorang raja/sultan, apakah mereka menggunakan kata ganti nama 'kami' ? Terima kasih. | Untuk makluman, data bagi kata ganti nama diri yang merujuk sekumpulan rakyat yang bertemu dengan seorang raja/sultan, tidak terdapat dalam simpanan kami. Sungguhpun begitu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "patik" bermaksud hamba, iaitu saya (dipakai sewaktu bercakap kepada raja-raja). Berdasarkan maksud tersebut, maka kami mencadangkan penggunaan "patik-patik" bagi menujukkan konteks melebihi seorang (ramai) yang bertemu dengan raja. | Lain-lain | 14.12.2015 |
Saya bertemu akan Rashdan semasa dalam perjalanan pulang dari perpustakaan sebentar tadi. Adakah ayat ini gramatis? | Ayat yang lebih tepat ialah Saya bertemu Rashdan dalam perjalanan pulang dari perpustakaan sebentar tadi. | Tatabahasa | 28.10.2018 |
Bolehkan pihak DBP memberikan definisi lengkap berkenaan "Hari Bertemu Pelanggan" atau "Hari Bersama Pelanggan" Terima kasih. | Berdasarkan carian kami, "Hari Bertemu Pelanggan" ialah aktiviti yang dilaksanakan sebagai salah satu usaha sesebuah organisasi atau syarikat untuk mendekati pelanggan dan memberikan ruang kepada pelanggan untuk mengetahui maklumat terkini tentang perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Pada hari tersebut juga, pihak yang melaksanakan aktiviti ini boleh mendapatkan maklum balas, cadangan dan aduan daripada pelanggan bagi meningkatkan prestasi organisasi atau syarikat mereka. | Lain-lain | 01.01.2023 |
Adakah perkataan temujanji tidak lagi digunapakai? Sebaliknya perkataan janji temu yang harus digunakan? Kerana janji dahulu baru bertemu kemudian. Adakah rapat atau jarang? (Janji temu atau Janjitemu) Terima kasih | Janji temu ejaan yang betul. Alasannya. seseorang akan janji dahulu sebelum bertemu. Tidak mungkin seseorang akan bertemu dahulu kemudian berjanji.T.kasih. | Ejaan | 30.09.2019 |
apakah perbezaan penggunaan (–) contoh: pro–Barat prokemerdekaan | pro ialah awalan asing, apabila bertemu dengan kata nama am hendaklah disambungkan dan apabila bertemu dengan kata nama khas perlu dibubuh tanda sempang. | Ejaan | 15.05.2015 |
Imbuhan peN....menjadi penge....apabila bertemu dengan perkataan satu suku kata. Contoh; cat> pengecat, had>pengehad, kod> pengekod, tut> pengetut. Bagaimana pula dengan pengelibatan....sedangkan KELIBAT tiga suku kata dan tiada kata GELIBAT dalam BM. Terima kasih | Imbuhan peN...menjadi penge...apabila bertemu dengan perkataan yang berawalan k, p, t, dan s, termasuk dengan perkataan kelibat menjadi pengelibatan. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
Mengikut formula, tanda sempang (-) perlu diletakkan dalam situasi huruf kecil bertemu dngan huruf besar. Bagaimanakah tulisan yang tepat bagi perkataan ini: ke-Melayuan atau kemelayuan. Ini kerana `M' pada perkataan Melayu itu nama khas. 2. Bagaimana pula dengan awalan `pro' seperti `pro-Amerika' atau `proamerika'? | Salam sejahtera, Tuan, 1. Ejaan yang betul ialah kemelayuan. 2. Pro ialah awalan asing, apabila bertemu dengan kata nama am hendaklah disambungkan dan apabila bertemu dengan kata nama khas perlu dibubuh tanda sempang. Ejaan yang betul ialah "pro-Amerika" Sekian, terima kasih.
| Tatabahasa | 20.12.2017 |
Salam sejahtera Nama:Raudhah 'Aqeela Zamiruddin Soalan:antara temu janji dan janji temu mana yang betul.berikan alasanya | Janji temu yang betul. Alasannya. seseorang akan janji dahulu sebelum bertemu. Tidak mungkin seseorang akan bertemu dahulu kemudian berjanji.T.kasih. | Lain-lain | 01.08.2008 |
Adakah ayat-ayat di bawah ini betul dari segi tatabahasa? 1. Kedua ibu bapanya sudah makan. 2. Peluang bertemu semula gurunya amat nipis. Apakah prosedur meletakkan tanda sempang dalam kata ganda? 1. Anak-anak 2. Adik beradik 3. | 1. Kedua-dua ibu bapanya sudah makan. 2. Peluang bertemu dengan gurunya semula amat tipis. Tanda sempang digunakan untuk menyambungkan unsur-unsur kata ulang, cth. anak-anak, gotong-royong, adik-beradik. | Tatabahasa | 22.03.2008 |