Cikgu, pilihan frasa di bawah yang manakah adalah betul? 1. bertentangan dengan ajaran Islam 2. bertentangan ajaran Islam 3. bertentang dengan ajaran Islam 4. bertentang ajaran Islam Tolong jelaskan sebab frasa yang betul dan sebab frasa yang salah. Terima kasih atas usaha DBP. | Frasa yang gramatis ialah "bertentangan dengan ajaran Islam". Penggunaan kata sendi nama "dengan" lebih tepat digunakan kerana berfungsi sebagai keterangan cara yang menerangkan ayat induk. Keterangan cara ialah unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku.
| Tatabahasa | 13.05.2014 |
salam, ayat manakah yang betul? 1) Mereka bergerak pada arah yang bertentangan. 2) Mereka bergerak dalam arah yang bertentangan. Terima kasih. | Ayat yang betul: Mereka bergerak pada arah yang bertentangan. | Tatabahasa | 20.10.2021 |
apakah maksud sistem eko-dualisme? | Eko-: awalan asing berkaitan dgn ekologi, mis ekopelancongan. Dualisme: 1. faham yg berasaskan dua prinsip yg saling bertentangan spt antara kebaikan dan kejahatan, dan antara terang dan gelap; 2. keadaan apabila wujud dua sifat yg ketara saling bertentangan pd diri seseorang. | Lain-lain | 01.09.2009 |
rujuk 1. buku teks pendidikan islam ting.1, terbitan dbp 2. carian di http://prpm.dbp.gov.my/ ejaan jawi bagi supaya, budaya dan daya mengekalkan alif terakhir dalam sukukata kvkv. ini bertentangan dengan hukum darlung. mohon penjelasan. terima kasih | Ejaan supaya (سوڤايا) dan budaya (بودايا) ialah kekecualian Hukum Darlung bagi membezakannya dengan ejaan supai dan budai. | Ejaan | 25.04.2019 |
Adakah penggunaan kata nafi ayat di bawah ini betul? 1. Saya bukan tidak lalu makan, cuma sudah kenyang. | Ayat "Saya bukan tidak lalu makan, cuma sudah kenyang" betul. Kata nafi bukan digunakan apabila menafikan frasa yang membawa maksud bertentangan. | Tatabahasa | 15.04.2013 |
1)Apakah kriteria-kriteria yang dititikberatkan ketika pemilihan sesuatu karya untuk diterbitkan? 2)Bagaimanakah caranya pengkarya untuk mengetahui sesuatu karya yang dihantar telah berjaya diterbitkan? 3)Berapakah royalti bagi sesebuah puisi dan cerpen? | 1 Kriteria pemilihan: (i) Isi: Keaslian idea, ketepatan fakta, dan perkara yang ditulis tidak bertentangan dengan agama Islam, undang-undang, kesusilaan, dan kepentingan negara. (ii) Cara Persembahan: Penyusunan idea yang logik, kemas, dan sesuai dengan sasaran (pembaca umum, ahli akademik, kanak-kanak dan remaja). (iii) Bahasa: Penggunaan bahasa yang baik dan istilah yang tepat; ejaan dan tanda baca yang betul serta sesuai dengan sasaran. (iv) Pasaran: Mempunyai potensi pasaran yang luas. 2 Pengurus projek akan memaklumkan kepada penulis melalui surat sama ada karya tersebut wajar diterbitkan ataupun tidak. 3. Kadar royalti untuk kumpulan puisi ataupun cerpen ialah 12%. Dewan Bahasa dan Pustaka akan membayar 50% apabila buku terbit dan 50% lagi berdasarkan jualan buku. | Lain-lain | 28.04.2008 |
Contoh ayat: 1. Saya memotong kereta. Contoh ayat dalam 1 di atas, mungkin membawa maksud memotong kereta kepada beberapa bahagian di bengkel atau memotong kereta di jalan raya.Oleh itu bagaimanakah cara membina ayat yang menjurus kepada memotong beberapa bahagian kereta dan memotong kereta di jalan raya supaya jelas perbezaan.Adakah contoh ayat 1 di atas boleh membawa kedua-dua maksud tersebut. Terima kasih. Jawapan boleh dimasukkan ke dalam e-mel saya dalam kadar yang boleh diuruskan oleh tuan. | Makna setiap perkataan (yang mempunyai beberapa makna) boleh dibezakan mengikut konteks ayat yang digunakan. Jika ayat "Saya memotong kereta" lazimnya dikaitkan dengan makna yang pertama, iaitu mengerat atau membahagi-bahagikan kereta kepada beberapa bahagian. Namun jika ayat "Bas itu memotong beberapa buah kereta sebelum terbabas ke laluan bertentangan", sudah pasti memotong di sini membawa maksud memintas, bukan mengerat. | Tatabahasa | 03.07.2011 |
Namun tidak semua merasa gembira dengan pencapaian tersebut terutamanya Zetti, rakan sekelas Sarah yang turut bertanding. 1)Perlukah tanda koma selepas perkataan namun? 2)Betulkah tanda koma selepas perkataan Zetti? | Tanda koma berfungsi sebagai memisahkan bahagian ayat yang bertentangan fakta daripada ayat induk, iaitu sebelum kata hubung dan memisahkan kata nama atau frasa nama daripada frasa penjelasan yang mengikutinya. Ayat yang tepat ialah “Namun, tidak semua berasa gembira dengan pencapaian tersebut terutamanya Zetti, rakan sekelas Sarah yang turut bertanding.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 109-113. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
saya nak tahu makna dan penggunaan perkataan berikut: 1.Paradoks 2.Resis 3.Dangkal 4.Wahana 5.Manifestasi 6.Wadah 7.Sirna 8.Mencanai 9.Juntai 10.Ugama | 1. Paradoks - sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum: tampak kepada kita suatu paradoks yang mencolok. 2. Resis - perkataan ini tidak ada dalam sumber rujukan kami. 3. Dangkal - tidak faham benar, tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam (tentang sesuatu), atau cetek: saya tidak berani mengatakan yang dia dangkal dalam hal tersebut. 4. Wahana - saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan, atau dicapai): bahasa baku sajalah yang layak menjadi bahasa ilmu utk wahana pemikiran dan untuk pengembangan budaya bangsa. 5. Manifestasi - perbuatan (ucapan dan sebagainya) yang memperlihatkan (menjadikan nyata) sesuatu; watak yg secara lebih giat memanifestasikan rasa kekecewaan 6.Wadah - alat, atau saluran (untuk melakukan atau menyampaikan sesuatu): pihak penganjur berharap seminar sedemikian akan menjadi wadah untuk para pendidik bahasa dan sastera Melayu bertukar-tukar pendapat 7. sirna - hilang, lenyap, musnah 8. Mencanai - membentuk, mengacu, menyesuaikan, menyelaraskan: undang-undang baru ini telah dibuat untuk membolehkan kerajaan mencanai surat khabar supaya bersesuaian dgn demokrasi terpimpin 9. Juntai - bergantung bergerak-gerak atau berayun-ayun: kakinya juntai ke bawah 10. Agama - 1. kepercayaan pd Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan pd yg Maha Kuasa: agama Islam 2. kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain. Sila rujuk Kamus Dewan untuk mendapatkan makna-makna lain bagi setiap entri tersebut. | Makna | 02.08.2009 |
Sebagai editor saya ingin bertanya bagaimana hendak menyunting karya kreatif seperti novel dan cerpen. 1. Apakah aspek-aspek yang perlu dilihat? | Pada prinsipnya, menyunting karya kreatif adalah sama dengan menyunting karya bukan kreatif, iaitu editor perlu mengetahui terlebih dahulu idea keseluruhan sesebuah manuskrip; melihat ketepatan fakta, memastikan tidak ada perkara yang bertentangan dengan agama, undang-undang, moral dan kepentingan negara; penyusunan idea yang logik dan kemas; dan memastikan penggunaan bahasa yang baik, istilah yang tepat, tatabahasa, ejaan yang betul, dan laras bahasa yang sesuai dengan pembaca sasaran. Tugas editor adalah membetulkan sebarang kesalahan yang ada pada manuskrip untuk memastikan komunikasi antara pengarang dengan pembaca dapat berlangsung dengan berkesan. Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan pada penyuntingan karya kreatif seperti novel dan cerpen kerana editor perlu juga melihat logik cerita, plot, teknik yang digunakan oleh pengarang, sudut pandangan, watak dan perwatakan, latar dan gaya bahasa pengarang, Gaya bahasa seorang pengarang amat penting diketahui oleh editor dan ia tidak boleh disunting dengan sewenang-wenangnya kerana ia telah menjadi identiti seseorang pengarang itu dan tidak sama dengan pengarang yang lain. Dalam karya kreatif, aspek poetic license seperti penggunaan bahasa yang figuratif perlu diberi perhatian untuk memperlihatkan gaya bahasa seseorang pengarang itu, dan di sinilah letaknya nilai estetika yang tinggi pada sesebuah karya kreatif. Terima kasih. | Lain-lain | 16.03.2010 |