'Ledakan Kepimpinan Membentuk Mahasiswa Berwawasan' mohon bantuan untuk semak slogan ini betul atau sebaliknya ?? | Perkataan ledakan tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut kerana ledakan bermaksud letupan atau pertumbuhan yang sangat besar berkaitan dengan penduduk atau teknologi. Lihat maklumat di http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=ledakan&d=1 untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 28.09.2012 |
Adakah perkataan "dan" perlu digunakan terlebih dahulu dalam ayat sebelum perkataan "serta" boleh digunakan? Sebagai contoh, pihak ibu bapa dan pihak sekolah perlu berganding bahu untuk melahirkan generasi muda yang penyayang serta berwawasan. Sekiranya penggunaan kata "dan" dan "serta" ditukar tempat bagi contoh ayat di atas, adakah ayat masih betul? Saya juga ingin mendapatkan penjelasan jika perkataan "serta" boleh berdiri sendiri dalam ayat tanpa kehadiran perkataan "dan" dalam ayat. Terima kasih. | Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, penggunaan yang tepat ialah Pihak ibu bapa dan pihak sekolah perlu berganding bahu untuk melahirkan generasi muda yang penyayang dan berwawasan. Perlu menggunakan "dan" pada kedua-dua frasa tersebut kerana frasanya terpisah dan tidak mengikuti. Perkataan “serta” boleh berdiri sendiri tanpa kehadiran kata “dan” mengikut konteks dan maksud ayat. Kata serta memberi pengertian turut melakukan perkara lain, atau "dan juga". Contohnya, Wanita itu memeluk anaknya serta membelai rambutnya. Contoh lain ialah Jawatankuasa kampung serta masyarakat setempat perlu bekerjasama dalam menangani aktiviti penyeludupan senjata api di kawasan terbabit. | Tatabahasa | 01.06.2021 |
Persatuan Alumni Institut Pertanian Sabah yang baru ditubuhkan ingin mendapat pengesahan mengenai penggunaan bahasa dalam "moto persatuan" dan juga "matlamat persatuan" yang telah dicadangkan. moto persatuan :- " BERWAWASAN, BERWIBAWA DAN BERWAJA" matlamat Persatuan :- 1. menaikan martabad dan imej Institut Pertanian Sabah. 2. meningkatkan taraf hidup sosial & ekonomi bekas-bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. mengujudkan kemuafakatan & usahasama dikalangan bekas-bekas pelajar | Moto yang dikemukakan boleh digunakan. Matlamat : 1. Menaikkan martabat dan imej Institut Pertanian Sabah 2. Meningkatkan taraf hidup sosial dan ekonomi bekas pelajar Institut Pertanian Sabah 3. Mewujudkan semangat kemuafakatan dan usaha sama dalam kalangan bekas pelajar, | Tatabahasa | 27.03.2008 |
Mohon pandangan berkaitan terjemahan yang telah saya buat, adakah ia menepati dalam konteks pendidikan. 5 ISTE STANDARD FOR EDUCATION LEADER (5 Standard ISTE untuk Pemimpin Pendidikan) 1. Equity and Citizenship Advocate = sokongan ekuiti dan warga digital Leaders use technology to increase equity, inclusion, and digital citizenship practices. 2. Visionary Planner = perancang berwawasan Leaders engage others in establishing a vision, strategic plan and ongoing evaluation cycle for transforming learning with technology. 3. Empowering Leader = kepimpinan memperkasa Leaders create a culture where teachers and learners are empowered to use technology in innovative ways to enrich teaching and learning. 4. Systems Designer = merekabentuk sistem penambahbaikan Leaders build teams and systems to implement, sustain and continually improve the use of technology to support learning. 5. Connected Learner = model pembelajaran Leaders model and promote continuous professional learning for themselves and others | Kami mencadangkan padanan terjemahan seperti berikut: 1. Equity and Citizenship Advocate = Penyokong Ekuiti dan Kewarganegaraan atau Pendukung Keadilan Kerakyatan 2. Visionary Planner = Perancang Berwawasan 3. Empowering Leader = Pemimpin Pemerkasaan 4. Systems Designer = Pereka Bentuk Sistem 5. Connected Learner = Pelajar Terhubung atau Pelajar Berkait/Terkait Semua padanan terjemahan ini bergantung pada kesesuaian serta konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang atau laras bahasa. | Istilah | 04.06.2021 |
Apakah perbezaan proaktif dan produktif ? Contoh soalan: Saya akan jadikan pagi ini pagi yang (proaktif/produktif). | Merujuk kamus terbitan terkini DBP, Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020): proaktif adj 1 (berkenaan dengan langkah, tindakan, fikiran dsb) jauh ke hadapan dan lebih baik drp jangkaan bagi menyelesaikan sst masalah, meningkatkan kemajuan dsb dgn cekap dan berkesan: Kerajaan negeri sudah merangka langkah proaktif bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup rakyat.Cara didikan anak-anak haruslah lebih proaktif, sesuai dgn perkembangan zaman. 2 (berkenaan dengan seseorang) mampu berfikir dan bertindak pantas serta jauh ke hadapan bagi menyelesaikan sst masalah, meningkatkan kemajuan dsb: Hanya ketua eksekutif yg benar-benar proaktif dan berwawasan berani membuat perubahan supaya syarikat lebih berdaya maju.Bank perlu lebih proaktif dlm mengambil langkah utk meningkatkan kepercayaan pelanggan mereka. produktif adj 1 (berkenaan dengan seseorang) berupaya atau mampu mengeluarkan hasil yg banyak atau menguntungkan: Golongan peniaga hendaklah lebih produktif dan mencari kaedah pemasaran yg lebih berkesan. Penulis perlu lebih produktif dan kreatif dlm berkarya. 2 (berkenaan dengan sesuatu) berkesan, bermanfaat dsb ke arah menghasilkan sst yg baik, berkualiti dsb: Kursus ini bertujuan utk melahirkan gaya hidup yg sihat dan produktif.Minggu ini merupakan minggu yg produktif. Farooq menyifatkan rundingan itu amat produktif kerana pelbagai syor yg berbeza dibincangkan. 3 (berkenaan dengan wanita, tanaman dsb) berupaya melahirkan anak atau membiak: Dia masih produktif dan telah melahirkan anak yg kelima dlm usia 40-an. Penggunaan dan pemilihan kata adalah bergantung kepada maksud dan konteksnya. Maka, Saya akan menjadikan pagi ini pagi yang produktif. | Makna | 04.06.2023 |