Cantik kembang bunga melati, Tumbuh sebatang di tepi kota, Hilang tumbuh patah berganti, Adat pusaka terpelihara juga. Pergi ke pulau menggali ubi, Singgah ke beting dilayar juga, Sepuluh kali kita berbudi, Kalau miskin terbung jua. Pijak galah sambil berlari, Rupanya hujung sudah patah, Banyakkan usaha pada diri, Masa diri muda dan mentah. Jika masak pisang setandan, Mari disimpan dalam kereta, Jika ada tuah di badan, Kaca kupegang jadi permata. Kajang tuan kajang berlipat, Kajang saya mengkuang layu, Dagang tuan dagang bertempat, Dagang saya sidagang lalu. Anak Cina bertimbang madat, Dari Makasar langsung ke Deli, Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli. apa tajuknya? dan siapa yang tulis? | Jenis puisi yang di atas ialah puisi Melayu Tradisional yang dikenali sebagai PANTUN. Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang diwarisi oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Oleh itu, pantun tidak mempunyai pencipta yang khusus, kerana ia bersifat warisan. Secara keseluruhan pula, pantun di atas bertemakan budi dan adat bangsa Melayu. | Lain-lain | 23.06.2008 |
Salam sejahtera. 1. Adakah ayat ini betul? Semoga puan akan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi di masa akan datang. 2. Saya tidak dapat cari perkataan "menghadang" dan "bola lisut" dalam Kamus Dewan, adakah perkataan ini masih wujud? Terima kasih. | 1. Semoga puan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi pada masa akan datang. 2. Dalam data kami tiada perkataan menghadang tetapi mempunyai perkataan menghalang, iaitu menahan sesuatu supaya tidak dapat bergerak, mengalir dll: Beting pasir itu ~ air mengalir ke laut. 2 tidak membenarkan seseorang melakukan sesuatu; menahan; menegah; melarang: Maka hulubalang Melaka itu pun dihalang oleh Bendahara, tiada diberinya melawan. 3 menutupi atau melindungi: Jerebu ~ pemandangan kami. Perkataan bola lisut masih digunakan selain perkataan sofbal. | Tatabahasa | 08.10.2013 |