Apa perbezaan antara "benar-benar" dan "betul-betul" dari segi penggunaannya? Apakah perbezaan antara "sebagai" dan "yang merupakan" dari segi penggunaannya? Terima kasih. | "Benar-benar" dan "betul-betul" secara umumnya mempunyai maksud yang bersinonim iaitu 1. sangat benar, sangat betul 2. sungguh-sungguh, 3. sudah sempurna, 4. tepat benar: 5. dgn baik dan sempurna. Walau bagaimanapun perkataan tersebut boleh memberi maksud yang sama dan juga maksud yang berbeza berdasarkan konteks ayat. Contohnya: 1) Saya betul-betul berasa lapar sekarang/ Saya benar-benar berasa lapar sekarang (bermaksud sangat lapar) 2) Dia betul-betul berdiri di hadapan saya (membawa maksud kedudukan yang tepat) 3) Dia benar-benar berdiri di hadapan saya. (membawa maksud jarak yang sangat hampir) 4) Kata-katanya itu benar-benar meninggalkan kesan di hatiku (nilai rasa - sangat terasa) Manakala contoh penggunaan "sebagai" dan "yang merupakan" ialah: 1) Sebagai seorang sahabat, dia sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada Aishah untuk pulih daripada penyakit kanser. 2) Dialah yang merupakan sahabat terbaik yang sentiasa memberi semangat dan dorongan kepada Aishah untuk pulih daripada penyakit kanser. | Tatabahasa | 28.04.2020 |
Salam, yang mana betul: (1) ialah satu-satunya rancangan, atau (2) adalah satu-satunya rancangan? Jika kita anggap "satu-satunya rancangan" sebagai sebuah Frasa Nama, maka (1) betul. Jika kita anggap "satu-satunya" sebagai sebuah Frasa Adjektif, maka (2) betul. Pendapat DBP? | Berdasarkan contoh yang diberikan, “ialah satu-satunya rancangan” ialah frasa nama, manakala binaan frasa adjektif pula kata pemeri “adalah” hanya boleh diikuti oleh frasa sendi nama dan frasa adjektif yang bersifat huraian sahaja. | Tatabahasa | 25.07.2022 |
Penggunaan mana perkataan mana yang betul. antara 1 HINGGA 10 atau antara 1 DAN 10 | Kedua-duanya betul. 1 hingga 10 (1,2,3,...., 10) manakala 1 dan 10 (nombor 1 dan 10 sahaja). Kedua-dua boleh digunakan mengikut kesesuaian konteks ayat yang bersesuaian. | Lain-lain | 25.08.2020 |
Ayat manakah yang betul? 1. Suatu hari nanti, saya kembali semula ke sini. 2. Satu hari nanti, saya kembali semula ke sini. Apakah perbezaan penggunaan "suatu" dan "satu"? Terima kasih. | Ayat 1 betul. Perbezaannya ialah Suatu hari merujuk kepada hari yang belum pasti atau abstrak. Contohnya, Encik Ali tetap akan kembali ke tanah air suatu hari nanti, manakala Satu hari pula merujuk bilangan hari, seperti hari Isnin, Selasa, Rabu dan seterusnya. | Tatabahasa | 11.08.2020 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: 1. Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Akhiran –kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (I) memberi pengertian kausitif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (II)memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan(membelikan untuk orang lain), masak-masakkan.
| Lain-lain | 20.10.2023 |
Salam tuan. Kedua-dua soalan saya berkaitan dengan ayat tanya. Antara ayat 1,ayat 2 dan ayat 3 di bawah,yang manakah betul? 1. Apakah perlu kamu buat? 2. Apakah yang perlu kamu buat? 3. Apakah yang kamu perlu buat? Antara ayat-ayat di bawah, yang manakah betul? 1. Apakah kamu sedang membuat? 2. Apakah yang kamu sedang membuat? 3. Apakah yang sedang kamu buat? 4.Apakah sedang kamu buat? Sekian,terima kasih. | Ayat yang betul ialah 1. Apakah yang perlu kamu buat? 2. Apakah yang sedang kamu buat? | Lain-lain | 22.01.2023 |
Salam, ayat yang manakah betul? 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Boleh terangkan penggunaan imbuhan akhiran-kan? Terima kasih. | Semua ayat tersebut betul: 1. Tukar/Tukarkan pecahan kepada peratus. 2. Lukis/Lukiskan graf pada ruang jawapan. 3. Tulis/Tuliskan jawapan yang betul. 4. Ramal/Ramalkan isi padu air di dalam bekas. 5. Isi/Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Akhiran –kan juga merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (ii) memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan (membelikan untuk orang lain), masak-masakkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183 - 186.
| Lain-lain | 23.10.2023 |
Ayat manakah yang betul : 1. Saya ingin berkongsi/ mengongsikan / mengongsi pengalaman saya dengan awak. 2. Saya ingin berkongsi/ mengongsikan/ mengongsi dengan awak sebuah cerita. | Ayat yang betul ialah: 1. Saya ingin berkongsi pengalaman saya dengan awak; 2. Saya ingin berkongsi dengan awak sebuah cerita. | Tatabahasa | 01.12.2021 |
1. Betul Imran! Untuk membuat buku skrap ini (bukan) mudah. Kita mesti membuatnya bersama-sama. 2. Betul Imran! Untuk membuat buku skrap ini (tidak) mudah. Kita mesti membuatnya bersama-sama. Ayat mana satu yang betul? Minta penerangan. Terima kasih. | Jika dilihat kepada konteks ayat yang diberikan, kedua-dua perkataan membawa maksud susah atau payah. Sehubungan dengan itu, perkataan "bukan" dan "tidak" boleh digunakan bersilih ganti dalam ayat tersebut. | Makna | 24.04.2020 |
Yang mana betul? 1.Amin bersalaman dengan neneknya. 2.Amin bersalam-salaman dengan neneknya. 3.Amin menyalam neneknya. 4.Amin menyalami neneknya. | Jawapan yang betul ialah 1. Amin bersalaman dengan neneknya. 2. Amin bersalam-salaman dengan neneknya. 4. Amin menyalami neneknya. | Tatabahasa | 18.01.2020 |