| Adakah perkataan "memeribadikan" betul dari segi tatabahasa?. Atau sepatutnya perkataan yang betul adalah "Memperibadikan"?. Apitan Memper...kan, Men..kan adalah yang biasa saya dengar dan gunakan. Walaupun apitan meN-…-kan juga menerima kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k, dan s, tapi adakah perkataan "Memeribadikan" adalah betul?. | Jawapan: Perkataan yang betul ialah memperibadikan yang tergolong di bawah apitan kata kerja meN-…-kan yang membawa maksud benefaktif atau manfaat yang pembentukannya memerlukan dua objek. Lazimnya, apitan meN-…-kan menerima objek tepat yang tidak bernyawa. Contoh ayat: “Pembelajaran berautonomi membolehkan pelajar memperibadikan agenda pembelajarannya berdasarkan kekuatan akademik dan minatnya.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 190 hingga 207. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
| bagaimana saya ingin membezakan penggunaan imbuhan diper- dan diper-kan contoh; jalan itu diperbesar atau jalan itu diperbesarkan, memper- dan memper-kan contoh ayat pihak tentera telah memperkuatkan kubu pertahanan atau memperkuat kubu pertahanan, pe-an dan per-an contoh ayat, pelantikan dan perlantikan, ada yang mengatakan per-untuk menunjukkan proses perkara itu dilakukan. 2. bagaimana untuk membezakan perkataan yang menggunakan imbuhan per- an dan pe-an. jika pihak tuan boleh menunjukkan proses /formula untuk membezakan penggunaan per-an dan pe-an, ramai yang keliru termasuk saya. | 1. Awalan diper- dan apitan diper-...-kan ialah bentuk pasif bagi kata kerja memper- dan memper-...-kan. Awalan mempeR- pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR-. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177 - 183. Apitan memper-...-kan Hanya golongan kata nama dan kata kerja yang boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Kata adjektif tidak boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Apitan memper-...-kan akan menghasilkan kata kerja pasif diper-...-kan. Rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208 - 211. 2. Apitan pe-...-an dan peR-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Apitan peR-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat, seperti perkampungan dan perhentian. Apitan peR-...-an membentuk kata nama yang membawa abstrak, Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewa, halaman 126 - 129.
| Tatabahasa | 30.03.2014 |
| Apakah cara penulisan yang betul bagi FGV Holdings dalam surat rasmi kerajaan? Adakah perlu untuk di(italic) kan atau seperti biasa sahaja; FGV Holdings Bhd? Terima kasih. | Saudara tidak perlu menulis dalam bentuk huruf condong kerana FGV Holdings Berhad merupakan nama khas. | Tatabahasa | 01.11.2023 |
| Salam sejahtera! Yang mana satu betul: nak kan atau nakkan. Ayat contoh "saya nak kan/nakkan awak". Conteks dipetik dari segi penulisan dialog. Terima kasih! | Ejaan yang biasa digunakan ialah "nakkan". “Saya nakkan awak” adalah konteks dialog dalam situasi tidak rasmi. Perkataan “nakkan” kependekan daripada “hendakkan/hendak akan”. | Ejaan | 03.11.2021 |
| Saya mahukan kepastian mengenai penutup surat rasmi. Biasa kita lihat "Segala kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih". Ayat di atas ialah ayat songsang. Jika ditukar menjadi ayat biasa dalam bentuk ayat aktif akan menjadi "Saya mendahului dengan ucapan terima kasih segala kerjasama daripada pihak tuan". Susunan ayat ini tidak gramatis kerana tergantung. Sepatutnya ditulis begini mengikut pemahaman saya. Susunan ayat biasa "Saya mendahulukan ucapan terima kasih atas kerjasama daripada pihak tuan". Susunan ayat songsang "Atas kerjasama yang diberikan saya dahulukan ucapan terima kasih". kalau "didahului dengan", kata kerja aktifnya ialah mendahului. sepatutnya mendahulukan. Apa pandangan DBP tentang perkara ini? | Tuan/puan yang budiman, Apitan di-…-kan ialah bentuk pasif bagi meN-…-kan. Ciri apitan ini dan maknanya sama seperti yang terkandung dalam imbuhan meN-…-kan. Contoh: mendahulukan (aktif) - didahulukan (pasif) menyatakan (aktif) - dinyatakan (pasif) Seperti di-…-kan, apitan di-…-i ialah bentuk pasif bagi kata kerja aktif meN-…-i, contohnya: mendahului (aktif) - didahului (pasif) mengotori (aktif) - dikotori (pasif) Oleh itu, ayat yang betul yang lazim digunakan ialah: i. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih. ii. Perhatian dan kerjasama tuan dalam hal ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. | Lain-lain | 10.10.2018 |
| Salam, Kebelakangan ini saya perhatikan pihak media tidak lagi menggunakan imbuhan 'kan' dalam laporan mereka. Saya tertanya-tanya adakah penggunaan 'kan' sudah tidak diamalkan lagi. Contoh laporan: 1) Sebuah badan khas ditubuh. (Utusan Malaysia: 10/11/10) (Bukankah sepatutnya: sebuah badan khas ditubuhkan) 2) Penganggur dipenjara. (TV3) (Bukankan sepatutnya penganggur dipenjarakan) Harap pihak DBP dapat perjelaskan. Sekian, terima kasih. | Saudara, Mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu yang baku dan rasmi, imbuhan meN...kan masih terpakai seperti dalam perkataan menubuhkan/ditubuhkan, memenjarakan/dipenjarakan. Walau bagaimanapun, adakalanya pihak pengguna bahasa tidak begitu teliti atau terlepas perhatian tentang perkara ini kerana terlalu biasa dengan apa yang diamalkan terutamanya dalam bahasa percakapan. | Lain-lain | 10.11.2010 |
| karangan contoh terbaik ngan contoh karangan terbaik? yang mana satu betul? sebab rumah contoh kan bukan contoh rumah, betul? jadi sepatutnya gunakan karangan contoh ?tapi dah biasa gunakan contoh karangan... jadi? | Frasa "rumah contoh" adalah betul mengikut hukum D-M (diterangkan dan menerangkan) sama seperti rumah agam dan rumah baharu. "Contoh karangan terbaik" pula membentuk ayat yang lengkap, "contoh karangan" - frasa nama dan "terbaik" - adjektif. Walau bagaimanapun tidak salah untuk kita mengatakan karangan contoh terbaik kerana pola ayat itu tetap betul. | Tatabahasa | 11.07.2011 |
| 1) BOLEHKAH KATA SISIPAN BERADA SELEPAS KATA KERJA? 2) BOLEHKAH KATA MAJMUK DIRAPATKAN APABILA MENERIMA IMBUHAN APITAN? 3) BERIKAN CARA UNTUK MENGGUNAKAN IMBUHAN MEMPER- DAN MEMPER-KAN DENGAN BETUL | 1. Proses sisipan boleh berlaku dalam kata dasar yang terdiri daripada kata adjektif, kata nama atau kata kerja (bukan selepas kata kerja). 2. Kata majmuk boleh dirapatkan apabila menerima apitan atau imbuhan di awal dan akhir perkataan tersebut, contohnya: urus niaga - mengurusniagakan. 3. Dalam bahasa Melayu awalan memper- ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan per-. Namun demikian, dalam ayat aktif, per- tidak boleh wujud tanpa awalan men- kecuali dalam ayat perintah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177-180. Manakala apitan memper-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-kan ini bersifat transitif, iaitu memerlukan objek untuk melengkapkan maksud/ayatnya. untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 208-211. | Tatabahasa | 14.04.2009 |
| saya ingin pewajaran pihak tuan/puan tentang imbuhan awalan memper- dalam bahasa melayu. seperti yang kita tahu, imbuhan awalan adalah terdiri daripada meN-,beR-,peN- dan sebagainya. iaitu imbuhan yang diawal atau didepan kata dasar. walau bagaimanapun, dalam bahasa melayu muncul imbuhan kompleks atau asmah menamakannya sebagai imbuhan pembahagi. imbuhan ini dalam sesetengah buku memberi contoh seperti men-kan, men-i, ber-kan,ke-an dan sebagainya.jika dilihat ia seakan-akan imbuhan apitan. dalam hal ini, yang menimbulkan masalahnya ialah berkenaan imbuhan kompleks. berdasarkan makluman yang saya ada, imbuhan kompleks adalah sejenis imbuhan yang terdiri daripada dua dan atau tiga imbuhan yang berlaku secara berperingkat. contohnya imbuhan memper- dilihat sebagai salah satu bentuk imbuhan kompleks tetapi tidak dinyatakan oleh penahu sebagai bentuk yang kompleks. sedangkan ia mempunyai ciri-ciri imbuhan yang kompleks. berdasarkan senario tatabahasa ini, saya ingin bertanya mengenai imbuhan beR- yang mempunyai variasi iaitu berke-an, berseke-an, berpen- dan banyak lagi yang merujuk kepada (berkemahiran, bersekedudukan, berpendapat). imbuhan beR- ini berdasarkan pendapat saya adalah kompleks. oleh itu saya amat mengharapkan pewajaran dari pihak yang berkenaan mengenai masalah ini iaitu tentang imbuhan memper- dengan ber- yang mempunyai bentuk yang kompleks.dan apakah yang membezakan kedua-dua jenis imbuhan ini? | Imbuhan BeR- membentuk kata kerja. Perkataan yg menerima awalan ini menjadi kata kerja yg bersifat tidak transitif sama ada yg memerlukan pelengkap atau yg tidak memerlukan pelengkap. Pada dasarnya, terdapat satu bentuk awalan beR- yakni beR- yg digabungkan dengan semua kata dasar (Rujuk dalam TataBahasa Dewan hlm 161-hlm 176). Manakala awalan mempeR- juga pembentuk kata kerja yg wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif (Rujuk dalam Tatabahasa Dewan hlm 177- 183) Terima kasih. | Tatabahasa | 16.09.2008 |
| Di sini, saya nak tanya tentang tatabahasa. 1. kuatkuasa-----kuat kuasa penguatkuasa-----penguat kuasa penguatkuasaan-----penguat kuasaan 2. pemuda-pemuda-----pemuda-pemudi 3. pusat beli-belah-----pusat-pusat beli-belah pusat membeli-belah-----pusat-pusat membeli-belah 4. sementelahan sementelahan itu 5. justeru, justeru itu, 6. ....kita akan dapat..... .... akan kita dapat..... 7.....saya akan mendapat.... .......akan saya mendapat.... .......saya akan dapat.... .....akan saya dapat..... ....saya perlu..... .....perlu saya...... 8. anti dadah antidadah Kelab Anti Dadah Kelab Antidadah Kelab AntiDadah Kelab Anti-Dadah Kelab Anti-dadah Kelab anti-dadah Kelab anti-Dadah Kelab anti dadah Program Anti Dadah Program Antidadah Program AntiDadah Program Anti-Dadah Program Anti-dadah Program anti-dadah Program anti-Dadah Program anti dadah Kempen Antidadah Kempen anti-Dadah ...*.dan sebagainya......... 9. kita haruslah.... kita seharuslah.... kita seharusnya..... seharusnya kita........ harus kita........ haruslah kita.......... 10. keistimewaan alam semulajadi keistimewaan alam semula jadi 11. mempertingkatkan mempertingkat 12. memperbaiki memperbaik 13. perkataan yang bersifat "memper...kan" , "memper...", "memper....i". | 1. Kuat kuasa, penguat kuasa, pegawai penguat kuasa, penguatkuasaan. 2. Pemuda, pemudi serta pemuda dan pemudi. 3. Pusat beli-belah, pusat-pusat beli-belah. 4. Sementelah dan sementelahan. 5. Justeru. 6. ... kita akan dapat ... 7. ... saya akan mendapat ... dan ... saya perlu ... 8. Antidadah, Kelab Antidadah, Program Antidadah, Kempen Antidadah 9. Kita haruslah dan kita seharusnya 10. Keistimewaan alam semula jadi 11. Mempertingkatkan 12. Memperbaik 13. Apitan memper...kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208. Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper-...-i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 211. Awalan memper- biasa juga dirujuk sebagai awalan per-. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 177. | Tatabahasa | 29.10.2012 |