Tuan yang bijaksana, Adakah perkataan "sekalipun" tergolong dalam kata sendi? Partikel "pun" pada "sekalipun" mesti dieja rapat. Bagaimana pula sekiranya ia menunjukkan bilangan. Contohnya: Sekalipun Abdul Rahman tidak merungut. (membawa maksud Abdul Rahman tidak pernah merungut) Dalam ayat di atas, adakah partikel pun perlu dirapatkan juga? | Ada dua cara menulis partikel pun. 1) Kata pun berfungsi sebagai kata tugas yang bererti juga ditulis terpisah daripada kata yang ada di sampingnya. Contohnya: i) Jika dia pergi, saya pun pergi. ii) Jangankan dua kali, sekali pun engkau belum pernah datang ke mari. 2) Ada beberapa perkataan yang ditetapkan ejaannya supaya ditulis serangkai dengan partikel pun, antaranya: adapun, andaipun, biarpun, kendatipun, mahupun, sekalipun, walaupun, ataupun, bagaimanapun, kalaupun, lagipun, meskipun, sungguhpun. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk panduan. Berdasarkan maksud ayat yang dinyatakan, ejaan sekali pun dieja terpisah. | Tatabahasa | 22.04.2013 |
Tuan yang bijaksana. Dalam buku tatabahasa ada tertulis, kata sendi "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Frasa yang mengikuti kata sendi "tentang" menjadi hal yang diperlakukan. Kata sendi "terhadap" pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu seperti manusia, haiwan, atau benda. Oleh hal yang demikian, adakah penggunaan kata sendi "tentang" dalam ayat di bawah ini salah: 1. Kami sudah menguji orang yang terdahulu daripada mereka. Nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta. | Penggunaan "tentang" dalam ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
Tuan yang bijaksana, Ejaan yang manakah yang betul: a)Gua Hira' b) Gua Hirak c) Gua Hira? | Ejaan yang betul ialah Gua Hira - merujuk contoh penggunaannya dalam pangkalan data kami. | Ejaan | 09.03.2012 |
Tuan yang bijaksana: Dalam menulis judul buku, kata sendi dan kata hubung mestilah menggunakan huruf kecil. Bagaimana pula dengan kata pemeri seperti ialah dan adalah? Perlukah kata pemeri menggunakan huruf kecil juga? Contoh tajuk buku : Alexander adalah Zulqarnain. | Sama seperti penggunaan kata sendi nama, kata pemeri juga ditulis dengan huruf kecil dalam konteks yang tersebut. | Tatabahasa | 12.02.2012 |
APAKAH PERBEZAAN ANTARA BIJAK DENGAN BIJAKSANA??? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bijak bermaksud pandai, cerdik. Bijaksana pula bermakna berakal budi, arif, pandai. Untuk keterangan lanjut dan mnegetahui makna perkataan sila rujuk Kamus Dewan. | Makna | 03.09.2008 |
Apakah makna perkataan berikut dalam Inggeris: 1. Ikram 2. Bijaksana Terima Kasih | 1. Makna, ikram - penghormatan, , honour, reverence.2. bijaksana, wise, intelligent, learned, clever,sagacious. | Makna | 05.03.2007 |
apakah yang dimaksudkan dengan berkerjasama,berdikari gigih,tekun,amanah,bijaksana dan ikhlas | Bekerjasama ialah bekerja (berbuat sesuatu) bersama-sama atau dengancara saling membantu, bergotong-royong. Berdikari ialah tidak mengharapkan orang lain untuk menolong. Gigih ialah keras hati, tegar hati, patuh kepada pendirian sendiri. Tekun ialah rajin dan usaha, bersungguh-sungguh. Amanaha ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang. Bijaksana ialah berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati. Ikhlas ialah hati suci, tidak menipu dan tidak berpura-pura. | Makna | 16.03.2008 |
Mohon tuan yang bijaksana semak ayat yang manakah menggunakan tanda baca yang betul?: (1) a) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "mungkin dia diperangkap." b) "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung. "Mungkin dia diperangkap." | Selepas tanda petikan, mulakan dengan huruf besar. "Maaf, saya tidak bersetuju," kata Salleh sebelum menyambung, "Mungkin dia diperangkap." Saudara boleh merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ketiga terbitan DBP untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara penulisan tanda baca dan sebagainya. Buku ini merupakan antara rujukan yang perlu bagi seorang penulis dan editor. | Lain-lain | 24.11.2011 |
Mohon penjelasan daripada tuan yang bijaksana. Saya pernah diberitahu bahawa tidak boleh ada tiga imbuhan bagi satu perkataan. Contohnya : Mempergunakan, memperlekehkan dan sebagainya. Benarkah begitu dan apa rasionalnya? | Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. Untuk kata adjektif hanya memper- digunakan. Contohnya: memperbesar, memperindah, memperkemas. | Tatabahasa | 17.02.2012 |
Mohon jasa baik tuan yang bijaksana semak penggunaan tanda petik dalam ayat ini. Betulkah begini?: Abu Darda menjawab, "Duhai anakku, engkau memang sudah solat jenazah seperti gerakan yang dilakukan para imam, tetapi engkau belum menjalankannya secara benar. Semasa solat, adakah engkau merenungkan, 'Akulah yang berbaring di keranda itu, dan solat ini bagi mensolatkan aku?' Apakah engkau berkata kepada dirimu sendiri, 'Akulah yang mereka pisahkan daripada hartaku'?" | Abu Darda menjawab, "Duhai anakku, engkau memang sudah solat jenazah seperti gerakan yang dilakukan para imam, tetapi engkau belum menjalankannya secara benar. Semasa solat, adakah engkau merenungkan, 'Akulah yang berbaring di keranda itu, dan solat ini bagi mensolatkan aku?' Apakah engkau berkata kepada dirimu sendiri, 'Akulah yang mereka pisahkan daripada hartaku?'" | Ejaan | 02.11.2011 |