Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Salam sejahtera, Saya ingin memohon penjelasan tuan tentang penggunaan imbuhan me - kan. Bila dan dalam situasi apakah kita boleh menggunakan 'menemui' dan bila pula boleh menggunakan 'menemukan'? Harap tuan dapat membantu saya. | Encik Suhaimi terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Apitan meN-kan boleh mendukung berbagai-bagi makna . Antaranya ialah : i) menyebabkan atau menjadikan ii)melakukan sesuatu untuk seseorang iii)menjadikan sebagai iv) menggunakan sebagai Manakala meN-i digunakan untuk membawa makna: bertindak sebagai ii) menuju ke arah iii) bergerak di atas iv) merasakan v) menyebabkan Jadi dalam ayat menemui ia membawa makna menyebabkan sesuatu ditemui manakala bagi ayat menemukan ia membawa makna melakukan sesuatu untuk orang lain. Untuk maklumat yang lebih jelas sila rujuk buku tatabahasa DBE. terima kasih. | Tatabahasa | 06.07.2009 |
Tuan, Di biasanya diakhiri dengan kan namun adakalanya di tidak diakhiri dengan kan atau i seperti dalam diakhiri. Bila masanya di diakhiri dengan kan atau i dan bila pula ia tidak begitu. Mohon tuan berikan penjelasan. Terima kasih. | Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Contohnya "memberikan" (bentuk aktif) dan "diberikan" (bentuk pasif). Seperti di-...-kan, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "mempelopori" (bentuk aktif) dan "dipelopori" (bentuk pasif). Untuk maklumat lanjut, rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 202 dan 208. | Tatabahasa | 24.05.2011 |
i dan kan bagaimana digunakan dan bila sesuail untuk digunakan | Akhiran -kan digunakan wujud atau digunakan dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan orang kedua (Rencana-rencana itu saya bukukan), dan 2. dalam ayat suruhan (Belikan saya sepasang kasut). Seperti akhiran -kan akhiran -i juga wujud atau digunakan dalam dua bentuk ayat, iaitu 1. dalam ayat pasif bagi orang pertama dan kedua (Perangainya yang baik itu akan kami contohi), dan 2. dalam ayat suruhan (Contohilah teladan yang baik itu). Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, muka surat 183 hingga 190. | Tatabahasa | 21.02.2009 |
Salam sejahtera, apa bezanya "menggunting" dan "mengguntingkan" ? Macam mana kita dapat tahu bila kena tambah "kan" di belakang dalam ayat, bila tak perlu ya? Contoh: Nabilah mengguntingkan kertas.(Adakah ini betul?) Terima kasih kerana menjawab soalan saya. | Perkataan menggunting bermaksud memotong dengan menggunakan gunting dan perkataan mengguntingkan bermaksud menggunting (kain dan lain-lain) untuk dijadikan sesuatu. Contoh, Ahmad menggunting kertas dan Aini mengguntingkan kain untuk dijadikan baju. | Tatabahasa | 21.08.2022 |
boleh tak jelaskan apitan meN-kan & meN-i... dan bila apitan tersebut digunakan.. berikan contoh.. TQVM | Apitan meN-...-i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN-...-kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Dalam hal ini penggunaan apitan meN-...-i dan meN-...-kan akan menentukan objek yang mengikutinya sama ada objek bernyawa atau tidak bernyawa. | Tatabahasa | 27.05.2011 |
penggunaan imbuhan meng...kan,meng...i,di....i,digunakan semasa bila? | Perbezaan penggunaan meN-... -kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya: a) Ali menghadiahkan bunga kepada Siti. b) Ali menghadiahi Siti bunga. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191 dan 201. | Tatabahasa | 12.06.2011 |
Tuan, saya keliru dengan bentuk: 1. ber... + Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... 2. ber... + Tidak Perlu Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... Tuan faham akan soalan saya, kan? :) Bilakah perlu menggunakan bentuk 1, dan bila hendak menggunakan bentuk 2. Tolong! | Barangkali soalan yang tuan ingin kemukakan berkenaan kata kerja transitif. Kata kerja digolongkan kepada dua kumpulan utama: i. kata kerja transitif ii. kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.Cth. Murid sedang membaca buku; saya telah menjawab soalan sdr. Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan. iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Cth. kata kerja tak transitif tanpa pelengkap: semua orang pulang.; adik saya masih tidur. Cth. kata kerja berpelengkap: keadaan bapanya beransur baik.; mereka tinggal di Kampung Paya. Untuk keterangan lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi, terbitan DBP. | Tatabahasa | 29.04.2014 |
"Sebelum ini telah disebut bahawa setiap huruf yang terdapat dalam al-Quran sudah semestinya membawa maksud dan hikmah yang tersendiri". "telah disebut" atau "telah disebutkan" dalam ayat di atas? bagaimana nak tahu bila nak letak imbuhan "kan" atau tidak? Dan secara umumnya, ayat di atas betul atau tidak keseluruhannya? terima kasih. | Kata terbitan disebut adalah betul. Awalan di-... lazimnya membentuk kata kerja pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga; manakala apitan di-...-kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Untuk lebih memahami kedua-dua tajuk ini, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 176 dan 202. Disebut bermaksud dikatakan atau diceritakan. Dalam penulisan ilmiah penggunaan kata diterangkan dan dijelaskan adalah lebih sesuai berbanding dengan kata disebut itu. | Tatabahasa | 11.02.2011 |
Bila nak guna menghadiahkan dan menghadiahi ? | MeN...kan menerima objek tidak bernyawa, manakala meN...i menerima objek bernyawa. Contoh ayat, Ayah menghadiahkan basikal kepada Ali; Ayah menghadiahi Ali basikal. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 207. | Lain-lain | 01.09.2023 |