Betul tak ayat berikut: Perabot dan kerusi meja di dalam bilik rehat ayah tunggang-langgang disebabkan oleh perompak malam tadi. | Ayat ini lebih tepat: Perabot dan kerusi meja di dalam bilik rehat ayah tunggang-langgang kerana perompak malam tadi. | Tatabahasa | 13.08.2020 |
Saya ingin mendapatkan nama yang sesuai untuk menggantikan nama Bilik Jamuan VIP, Bilik Makan Guru, Bilik Gerakan dan Bilik Wawasan. Bilik Gerakan dan Bilik Wawasan di sekolah saya digunakan untuk mengadakan mesyuarat. Jika ada nama yang seerti atau klasik saya berharap mendapat respons daripada DBP.Terima kasih. | Cadangan kami bagi bilik jamuan atau bilik makan guru, boleh digunakan bilik rehat sahaja atau sudut selera. Bagi bilik gerakan dan bilik wawasan boleh digunakan bilik kegiatan, bilik sumbang saran, bilik perbincangan, atau bilik gagasan. Bilik gerakan dan bilik wawasan juga boleh dinamakan sempena nama tokoh terkenal dalam organisasi saudara. | Lain-lain | 08.01.2009 |
1a. Ali membersihkan lantai menggunakan mop sehingga bersih pada waktu rehat. 1b. Ali membersihkan lantai menggunakan mop pada waktu rehat sehingga bersih. 1c. Ali membersihkan lantai sehingga bersih menggunakan mop pada waktu rehat. (atau ketiga-tiga ayat ini pun betul?) 2. Dalam buku teks BM SJKC KSSR Semakan Tahun 2, muka surat 82: Abang memasang kipas angin di dalam bilik.(Gambar menunjukkan abang memekan butang/suis kipas angin yang berdiri.) Apabila kita hendak menyebut "swith on" kipas, perkataan memasang atau membuka lebih sesuai? Atau kedua-dua perkataan ini pun boleh dipakai guna? Bukankah memasang merujuk kepada memasang peralatan di dalam bangunan yang baharu? Kalau tulis membuka kipas angin macam sedang membaiki kipas pula. Atau kita perlu tulis ayat sebegini: Abang menekan butang untuk membuka kipas angin? 3. menekan butang kipas/menekan suis kipas? 4a. Abang pergi ke sekolah.(Ayat yang tidak menyebut abang siapa ini lengkapkah?) Atau kita kena tulis: Abang Ali pergi ke sekolah. 4b. Cikgu mengajar subjek Matematik./ Cikgu Tan mengajar subjek matematik.(Perlu sebut nama cikgu? Nama subjek kata nama khas?) | Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Ketiga-tiga ayat tersebut adalah betul. 2. Abang menghidupkan kipas di dalam bilik. 3. Abang menekan suis kipas. 4. (a) Abang pergi ke sekolah. Abang Ali pergi ke sekolah. Kedua-dua ayat tersebut adalah betul. (b) Cikgu mengajar subjek Matematik. Cikgu Tan mengajar subjek Matematik. Kedua-dua ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 30.07.2021 |
Selamat Sejahtera Tuan Apakah perbezaan antara memasuki dan memasukkan Terima kasih | Kedua-dua perkataan “memasuki” dan “memasukkan” merupakan kata terbitan daripada kata dasar “masuk” yang tergolong dalam golongan kata kerja. Menurut Kamus Dewan Perdana, perkataan “memasuki” bermaksud masuk ke dalam (sesuatu); menuju masuk hingga sampai di (sesuatu tempat); pergi ke dalam, datang ke dalam, mendatangi, menyertai, mengambil bahagian atau mengikuti. Perkataan “memasukkan” pula bersinonim dengan perbuatan mengisikan, membawa masuk atau memuatkan. Secara ringkasnya, “memasuki” menunjukkan perbuatan masuk ke dalam (sesuatu). Contohnya, “Abang memasuki bilik darjah pada waktu rehat.” Perkataan “memasukkan” pula menunjukkan perbuatan mengisikan sesuatu ke dalam sesuatu yang lain. Contohnya, “Abang memasukkan semua buku teks ke dalam beg sekolahnya.” Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my/ dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 1422. | Tatabahasa | 12.05.2024 |