tanda ' dalam bahasa Melayu disebut sebagai apa dan untuk apa? Terima kasih | Dalam bahasa Melayu, tanda ‘ disebut sebagai tanda petik tunggal. Tanda ini digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Contohnya, “Amboi! Sejak menjadi ‘orang kaya baharu’, batang hidungnya pun tak nampak,” sindir Hashim. Dalam penulisan teks sastera, tanda petik tunggal ini menunjukkan kata-kata dalam hati atau bisikan hati. Contohnya, ‘Mesti ibu gembira dengan pemberianku ini,’ bisik hati Ayu sebaik-baik sahaja memberikan hadiah ulang tahun kelahiran kepada ibunya. Tanda petik “ ” pula digunakan untuk tujuan tertentu seperti yang berikut: (a) Mengapit cakap ajuk, petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis. Contohnya, “Bila sampai?” tanya Husin. Bagi bahan petikan yang lebih daripada satu para dan petikan itu bersambung, tanda buka petikan ditulis pada permulaan ayat para pertama dan tanda tutup petikan pada akhir ayat para akhir. (b) Mengapit judul rencana, karangan, puisi, atau bab buku yang dipakai dalam ayat. Contohnya, Sajak “Dewi Malam”, karya seorang penyair bukan Melayu, telah dideklamasikan pada malam pembacaan puisi. (c) Mengapit istilah ilmiah atau kata yang mempunyai erti khusus. Contohnya, Amin sedang menyediakan “anatomi” halaman buku ini. | Ejaan | 16.02.2014 |