Salam sejahtera, 1. Murid-murid diminta berjalan menuju ke Blok C. 2. Murid Kumpulan D diminta membuat persembahan senamrobik dalam talian. 3.Kita perlu mengambil Vitamin C setiap hari. * Blok C , blok tulis dalam huruf besar atau kecil termasuk c. *Kumpulan D, kumpulan tulis dalam huruf besar atau kecil. *Vitamin C, vitamin ditulis dalam huruf besar atau kecil? Sila berikan pencerahan.Terima kasih. | Ketiga-tiga perkataan perlu ditulis dengan huruf kecil, iaitu blok C, kumpulan D dan vitamin C kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya. Contohnya kereta, cuaca dan keadilan. Manakala perkataan yang ditulis dengan huruf besar ialah kata nama khas. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Kata nama khas dibahagikan kepada dua kumpulan: (i) Kata nama khas hidup (manusia dan bukan manusia). Contohnya Tun Abdul Razak (manusia) dan Tompok (bukan manusia). (ii) Kata nama khas tak hidup. Contohnya Melayu dan Universiti Putra Malaysia. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 95 - 101. | Tatabahasa | 25.07.2021 |
Ayat majmuk yang hendak dipisahkan ialah 'Bangunan Gedung Raja Abdullah yang dibina berdekatan Sungai Klang terdiri daripada satu blok dua tingkat'. Ayat majmuk ini hendak dipisahakan kepada dua ayat tunggal. Saya tak pasti sama ada ayat majmuk itu sendiri betul atau salah. Terima kasih. | Saudara, Dua ayat tunggal tersebut adalah seperti yang berikut: i. Bangunan Gedung raja Abdullah dibina berdekatan Sungai Klang. ii. Bangunan Gedung Raja Abdullah terdiri daripada satu blok dua tingkat. | Tatabahasa | 09.09.2009 |
Selamat petang. 1.Adakah "batu nadir" boleh digunakan untuk menghuraikan batu yang luar biasa yang jarang didapati? 2.Apakah nama yang sesuai untuk batu-batu aneh yang besar yang digunakan sebagai hiasan di dalam taman bunga? Terima kasih. | - Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, nadir bermaksud:
i. perahu (di Melaka); ii. titik paling rendah bagi sesuatu jasad cakerawala, yang terletak langsung di bawah kaki pemerhati; iii. bahasa Arab: jarang ada atau didapati ganjil. Oleh itu, “batu nadir” sesuai digunakan untuk menghuraikan batu yang luar biasa dan jarang didapati. - Untuk makluman tuan, berdasarkan carian dalam pangkalan data kami, tiada nama khusus yang sesuai digunakan bagi batu-batu aneh yang besar yang digunakan sebagai hiasan di taman bunga. Walau bagaimanapun, batu-batu yang digunakan dalam tujuan landskap kebiasaannya hanya disebut sebagai batu hiasan. Carian dalam pangkalan data kami juga, terdapat istilah batu monumental dalam bidang landskap iaitu blok batu yang luar biasa besarnya seperti batu yang digunakan sebagai batu peringatan, pembinaan air terjun atau mercu tanda. Untuk membantu tuan menyelesaikan hal berkaitan ini, tuan disarankan untuk membuat lebih banyak rujukan di perpustakaan atau boleh merujuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
| Lain-lain | 26.01.2021 |