1.Bolehkah kita guna dua kata ganda dalam satu ayat yang sama? (Dulu saya ada dengar tak boleh) Terima kasih. | Sila kemukakan soalan yang lebih jelas kerana maksud serta konsep soalan tidak difahami. | Tatabahasa | 27.05.2021 |
Apakah adjektif yang sesuai untuk minuman yang bagusnya rasa? Bolehkah saya menggunakan perkataan sedap, enak, lazat untuk adjektif bagi rasa minuman yang bagus? Atau tidak boleh? Terima kasih. | Kata adjektif yang sesuai untuk minuman ialah manis, tawar, sedap atau pahit bergantung pada kesesuaian makna dan konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 232. | Lain-lain | 15.02.2024 |
Salam, Mohon penjelasan tentang kekeliruan penggunaan perkataan 'terpaling'. Ada 2 jawapan kontradik dalam laman DBP (pertanyaan/aduan). Jawapan pada 7/9/2014 adalah salah, manakala jawapan pada 21/7/2015 pula boleh. Terima kasih. | Penggunaan terpaling tidak boleh digunakan secara serentak kerana ter- dan paling tergolong dalam penanda darjah penghabisan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 244. | Tatabahasa | 11.03.2025 |
Minta pencerahan: 1. Adakah penggunaan "bertujuan untuk" lewah? 2. (a) Malaysia sebuah negara yang berdaulat. (b) Malaysia ialah sebuah negara yang berdaulat. (c) Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat. Adakah semua ayat a, b dan c betul? Hanya berbeza dari segi (a) perlu berhenti seketika sebelum melafazkan "sebuah"? 3. Burung itu hinggap [ di atau pada ] dahan pokok. Banyak jawapan untuk pertanyaan Khidmat Nasihat tidak selaras. Minta kaji semula dan kemas kinikan jika boleh. Terima kasih. | 1. Frasa "bertujuan untuk" dianggap lewah kerana "bertujuan" ialah kata kerja tak transitif berpelengkap dan tidak perlu diikuti oleh kata sendi nama "untuk". Contohnya: Taklimat ini bertujuan memaklumkan peserta tentang objektif yang hendak dicapai. 2. (a) Malaysia sebuah negara yang berdaulat. (b) Malaysia ialah sebuah negara yang berdaulat. (c) Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat. Adakah semua ayat a, b dan c betul? Ketiga-tiga ayat ini betul. 3. Ayat yang betul ialah "Burung itu hinggap pada dahan pokok". Maklumat dalam Khidmat Nasihat Bahasa akan dikemas kini dari semasa ke semasa. | Tatabahasa | 04.09.2024 |
saya ingin bertanya, bolehkah pihak DBP senaraikan kelemahan dan kelebihan tulisan Rumi dan Jawi yang terkandung di dalam Memorandum ASAS 50 1954? Sekiranya tidak boleh, boleh pihak DBP cadangkan ke mana soalan ini harus ditujukan agar diperolehi jawapan? Terima kasih | Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) diwujudkan di Singapura pada tahun 1950. Tujuan penubuhannya adalah untuk meluaskan dan meninggikan mutu sastera Melayu, melindungi hak-hak dan kepentingan para penulis dan membuat pembaharuan dalam sastera Melayu. Walau bagaimanapun, kami tidak ada maklumat berkenaan kelemahan dan kelebihan tulisan Rumi dan Jawi dalam Memorandum ASAS 50 1954. Mungkin tuan boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui carian di Internet atau sumber-sumber yang boleh dipercayai. | Lain-lain | 01.09.2021 |
Salam sejahtera, Sebagai warga pendidik, saya ingin bertanya tentang penggunaan kata bantu dapat dan boleh. Dapat dan boleh membawa maksud keupayaan. Kata bantu boleh juga digunakan untuk mendapat keinginan. Sila berikan nasihat tentang ayat berikut:~ Soalan Peperiksaan kertas Model PT3- "Anak saya berusia empat tahun itu sudah boleh menunggang basikal," kata Pak Ali kepada Pak ABu. Pilihan yang ada A. Sudah mahu menunggang basikal B. Dapat sudah menunggang basikal C. sudah dapat menunggang basikal D. Sudah boleh menunggang basikal Jawapan yang disediakan dalam buku kertas model PT3 untuk soalan ini ialah sudah dapat menunggang basikal.Perjelasan: Frasa kerja sudah boleh menunggang salah kerana penggunaan kata bantu boleh sepatutnya menjadi dapat yang bermaksud berupaya menunggang basikal. Persoalannya ialah boleh dan dapat sebenarnya boleh digunakan untuk menunjukkan keupayaan dan kebolehan. Adakah jawapan yang diberikan itu betul . Apakah jawapan yang lebih tepat? Sila berikan nasihat. Terima kasih. | Kedua-dua perkataan dapat dan boleh bermaksud berkeupayaan atau berpeluang untuk melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, pemilihan perkataan yang tepat bergantung pada konteks ayat. Sehubungan dengan itu, ayat yang betul ialah Anak saya yang berusia empat tahun itu sudah boleh menunggang basikal | Tatabahasa | 16.11.2021 |
Hi, boleh kah DBP tolong kita translasikan Safety Data Sheet dari bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia? Jika boleh, macam mana kita boleh dapatkan perkhidmatan ini dari DBP? Terima Kasih. | Cadangan kami terjemahan dalam bahasa Melayu untuk perkataan bahasa Inggeris Safety Data Sheet ialah Lembaran Data Keselamatan. Untuk makluman tuan DBP tidak menyediakan perkhidmatan terjemahan. Untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut, tuan boleh hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-92262506 atau e-mel terjemah1@gmail.com. | Makna | 07.10.2022 |
Salam. Bagi penggunaan apitan diper...kan, yang manakah yang betul. 1. Pecahan itu mestilah boleh dipermudahkan. 2. Pecahan itu mestilah boleh dipermudah. Terima kasih. Aznani | Jawapan yang betul ialah Pecahan itu mestilah boleh dipermudah. | Tatabahasa | 30.09.2021 |
Hi, boleh saya tahu adakah perkataan "sarapan" memerlukan "pagi" atau "sarapan" sahaja pun boleh digunakan? Seterusnya, boleh saya tahu jika kita mempunyai istilah untuk "late-night snack". Terima kasih! | Frasa yang betul ialah "sarapan". Cadangan terjemahan untuk "late night snack" ialah "snek lewat malam". Cadangan terjemahan ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya. | Istilah | 15.08.2024 |
Salam, sat gi yang bermaksud sebentar lagi boleh dijumpai di dalam Glosari Dialek Pulau Pinang. Saya ingin tahu jika perkataan "gi", singkatan bagi perkataan "lagi" boleh diterima? Terima kasih. | Singkatan "gi" bagi perkataan "lagi" boleh diterima dalam dialek Pulau Pinang. | Lain-lain | 10.06.2020 |