| Bolehkah perkataan Inggeris "stele" diterjemahkan kepada "batu bersurat" atau "prasasti" dalam bahasa mudah? | Cadangan padanan bahasa Melayu yang lebih tepat bagi istilah stele ialah batu bersurat. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam bidang tertentu. | Lain-lain | 07.05.2026 |
| Bolehkah saya kata "meninjau ke arah rak buku"? | Meninjau merupakan kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek. Oleh itu, frasa yang betul ialah “meninjau rak buku”. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 157. | Tatabahasa | 02.05.2026 |
| BOLEHKAH MENGUNAKAN AYAT SAYA MENGUNAKAN AYAT PROMOSI KAW-KAW RAYA UNTUK DIGUNAKAN DI DALAM BUNTING INI | Perkataan “kaw-kaw” merupakan bahasa slanga yang bersifat kolokial, iaitu bahasa percakapan atau bahasa basahan dan tidak ada dalam daftar kata bahasa Melayu baku. Untuk makluman tuan, bahasa percakapan tidak diterima dalam paparan awam, seperti iklan kerana iklan merupakan urusan rasmi, di samping mendidik masyarakat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Oleh yang demikian, kami mencadangkan agar pihak tuan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam permohonan iklan tuan. Contohnya, PROMOSI HEBAT HARI RAYA! Permohonan pengesahan bahasa Melayu dalam iklan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my. Sila rujuk Panduan Pelanggan. | Tatabahasa | 22.01.2026 |
| Bolehkah frasa "seseorang daripada kamu" dalam bahasa Melayu? Betul ke dari segi tatabahasa? | Frasa “seseorang daripada kamu” betul dari segi tatabahasa. Walau bagaimanapun, frasa tersebut kurang sesuai sebagai pilihan terbaik dalam penulisan rasmi. Dalam laras rasmi, frasa ini dianggap kurang lazim dan sedikit janggal kerana “seseorang” lazimnya berdiri sendiri tanpa penentuan kumpulan yang khusus. Oleh itu, frasa yang lebih tepat untuk laras rasmi ialah “salah seorang daripada kamu”. | Tatabahasa | 10.12.2025 |
| Bolehkah menggunakan perkataan Imersif bagi menggantikan Immersion? Ianya bagi tujuan penjenamaan semula nama program ke Bahasa Melayu | Berdasarkan data daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, padanan bagi istilah immersive dalam bahasa Melayu ialah imersif, manakala padanan bagi istilah immersion dalam bahasa Melayu ialah rendaman. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. Perkataan "imersif" tidak sesuai untuk dipadankan dengan istilah sumber "immersion" kerana kedua-dua perkataan ini membawa konsep dan konteks yang berbeza. | Istilah | 03.11.2025 |
| Bolehkah kita gunakan frasa orang-orang kampung dalam ayat yang bermaksud penduduk kampung. | Frasa yang lebih tepat ialah orang kampung atau penduduk kampung. Frasa nama orang-orang lebih sesuai untuk merujuk kepada patung yang menyerupai orang yang diletakkan di tengah-tengah sawah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 546, 1562 dan 1565. | Tatabahasa | 08.10.2025 |
| Bolehkah saya mendapatkan terjemahan bagi perkataan di bawah? Berikut merupakan istilah yang sering digunakan dalam konteks agronomi. Nutrient pool Buffered release Buffering effect Statistical grouping Nutrient flush Trajectory Terima kasih saya dahulukan. | Untuk makluman tuan/puan, DBP tidak menyediakan khidmat penterjemahan. Bagi mendapatkan khidmat penterjemahan, tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-92262506 atau e-mel: terjemah1@gmail.com dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melalui talian 03-41451942 atau e-mel: info@itbm.com.my. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.09.2025 |
| Bolehkah gunakan ayat dalam tulisan jawi untuk banner? | Teks tulisan Jawi boleh digunakan dalam visual papan iklan, kain rentang, poster dan lain-lain. | Lain-lain | 26.05.2025 |
| bolehkah imbuhan se- digunakan untuk kata dasar jiran. Jadi kata terbitannya ialah sejiran. | Imbuhan se- boleh digunakan untuk kata dasar jiran yang menghasilkan kata terbitan sejiran. Contoh ayat: Skuad bola sepak negeri Kelantan dan Pahang menentang skuad sejiran, iaitu Terengganu, selang sehari. Untuk makluman lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 907. | Istilah | 28.04.2025 |
| Bolehkah kita menyimpulkan bahawa “ialah” juga boleh diikuti “kata kerja”? | Penggunaan kata pemeri “ialah” hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri “ialah” tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 263 - 264
| Lain-lain | 23.02.2025 |