Salam sejahtera. Minta tukarkan ayat aktif ini kepada ayat pasif 1. Penduduk kampung itu menjual buah-buahan kepada peraih. Adakah boleh tulis begini, iaitu:- 1. Buah-buahan dijual oleh penduduk kampung kepada peraih. 2. Buah-buahan dijual oleh penduduk kampung itu kepada peraih. Terima kasih. | Ayat aktif 1. Penduduk kampung itu menjual buah-buahan kepada peraih. Ayat pasif 1. Buah-buahan dijual oleh penduduk kampung itu kepada peraih. | Tatabahasa | 17.07.2013 |
1. Pelbagai buah-buahan 2. Banyak buah-buahan betul? | Penggunaan yang tepat ialah pelbagai/banyak jenis buah, sungguhpun begitu masih banyak yang menggunakan pelbagai jenis/banyak jenis buah-buahan. Penggunaan frasa ini menunjukkan penggunaan bahasa yang lewah atau pembaziran dalam penulisan . Oleh itu, saya mencadangkan saudara menggunakan frasa yang paling tepat, iaitu pelbagai/banyak jenis buah. | Tatabahasa | 21.06.2014 |
Yang mana satu jawapan yang paling tepat dan sebab 1- musim buah-buahan Di kampung saya 2- musim buah-buahan di kampung saya | Jika sebagai tajuk karangan ejaan yang betul ialah "Musim Buah-buahan di Kampung Saya" dan jika sebagai ayat biasa "musim buah-buahan di kampung saya", di ialah kata sendi nama dan mesti ditulis dengan huruf kecil. | Ejaan | 28.02.2010 |
Salam sejahtera, Yang manakah antara ayat ini betul: 1. Ali meletakkan buah-buahan di atas meja. @ 2. Ali meletakkan buah-buahan ke atas meja. | Ayat yang betul ialah "Ali meletakkan buah-buahan di atas meja". | Tatabahasa | 20.04.2014 |
1) Perkataan berganda contoh ( Buah-buahan Tempatan Malaysia ) atau ( Buah-Buahan Tempatan Malaysia ) - sama ada huruf b yang kedua itu ( b - huruf kecil atau B huruf besar) - sama juga seperti Penasihat Undang-Undang. huruf u yang kedua itu huruf besar atau huruf kecil. 2) Perkataan negeri. di tulis dengan huruf kecil atau besar. - Kalau Negeri Melaka. perkataan negeri itu di tulis dengan huruf besar. - kalau negeri sahaja tanpa diikuti dengan nama khas. Adakah ia juga ditulis dengan huruf kecil atau huruf besar. terima kasih. (Rusli Kamaruddin) PA YB. Dato' Speaker Merangkap Ketua Pelapor Perbahasan Dewan Undangan Negeri PULAU PINANG. 04-2611955 | 1) Perkataan kedua dalam kata ganda ditulis dengan huruf kecil seperti contoh Buah-buahan Tempatan Malaysia, begitu juga dengan Penasihat Undang-undang. 2) Perkataan negeri ditulis dengan huruf kecil seperti negeri-negeri di Malaysia dan negeri Melaka kecuali nama yang telah diwartakan seperti Negeri-Negeri selat (kata gandanya hururf besar dan negeripun huruf besar). | Ejaan | 24.12.2011 |
1. Adakah kata 'buruk' digunakan untuk menggambarkan buah-buahan? 2. Adakah 'meningkatkan harga' digunakan untuk menunjukkan kenaikan harga? | 1. Antara frasa adjektif yang boleh digunakan untuk menggambarkan keadaan buah-buahan ialah busuk dan rosak. Kata adjektif buruk tidak sesuai untuk menggambarkan sifat/keadaan buah-buahan. 2. Dalam Kamus Dewan Edisi Empat, meningkatkan bermaksud meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat: daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi; kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi. Manakala menaikkan pula bermaksud menjadikan naik; meletakkan di tempat yang tinggi; meninggikan: ~ bendera. 2 meletakkan barang ke atas kereta, kapal dll: Kuli sedang sibuk ~ barang-barang ke kapal. 3 menjadikan lebih tinggi (pangkat, taraf hidup dsb). 4 menjadikan bertambah kuat (bkn semangat, kemarahan dan sebagainya): Kejayaan abangnya telah ~ semangat Amin untuk belajar bersungguh-sungguh. 5 menjadikan naik (berkenaan adunan kuih); mengembangkan: Serbuk penaik dicampurkan sedikit untuk ~ adunan itu. ~ gaji meninggikan gaji. ~ harga meninggikan harga. Frasa yang lebih sesuai ialah menaikkan harga yang menunjukkan kenaikan harga barg/meninggikan harga. | Tatabahasa | 13.02.2015 |
Selamat pagi, saya ingin bertanyakan tentang soalan berdasarkan buku teks Bahasa Malaysia Tahun 1 iaitu: Saya sawi. Makanlah saya untuk mendapatkan vitamin. Saya buah-buahan. Makanlah saya untuk mencegah penyakit. Di sini lampirkan soalan peperiksaan iaitu soalan 3: sayur-sayuran boleh mencegah penyakit@sayur-sayuran banyak mengandungi vitamin. Soalan 5: Buah-buahan boleh mencegah penyakit@Buah-buahan banyak mengandungi vitamin. Adakah kedua-dua jawapan ini boleh diterima sedangkan buku teks hanya menyatakan buah-buahan mencegah penyakit manakala sayur-sayuran mengandungi banyak vitamin. Sekian,terima kasih. | Salam. Sayur dan buah, sememangnya kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kelebihan yang sama. Dalam buku teks, berkemungkinan bertujuan untuk menguji kepekaan dan kemahiran berfikir kanak-kanak tersebut. Oleh itu, penggunaan kedua-dua jawapan untuk no.3 dan 5 adalah tidak salah, malahan guru digalakkan menggunakan kepelbagaian kreativiti untuk merangsang minda kanak-kanak, selagi tidak menyalahi fungsi dan penggunaannya dalam bahasa. | Makna | 22.05.2017 |
Kami akan menerbitkan sebuah buku. Judul yang dicadangkan ialah "114 Spesies Buah-Buahan yang Boleh Dimakan". Soalan saya ialah: 1. Adakah judul tersebut betul? 2. Bolehkah nombor dijadikan judul buku atau perlu dieja (Seratus Empat Belas ...) 3. 114 Spesies Buah-Buahan atau "114 Spesies Buah"? kerana 114 dah menunjukkan banyak? Terima kasih di atas khidmat nasihat pihak DBP. | Judul yang betul ialah "114 Spesies Buah-buahan yang Boleh Dimakan". Untuk makluman, nombor 10 ke atas boleh dicetak dengan angka. | Ejaan | 02.01.2014 |
Selamat sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Ibu menapis jus buah-buahan itu sebelum minum. 2. Mentol itu sudah rosak terbakar. 3. Dia menuduh syarikat itu atas masalah kontrak. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Ibu menapis jus buah-buahan itu sebelum diminum. 2. Mentol itu sudah rosak. 3. Dia memfailkan saman terhadap syarikat itu atas masalah kontrak. | Tatabahasa | 29.08.2012 |
Selamat sejahtera, Saya ada beberapa ayat yang hendak dikemukakan untuk mengetahui ayat-ayat itu betul ataupun tidak. 1. Berguni-guni kampit pasir diletakkan di persisiran pantai untuk menghalang hakisan ombak. 2. Buah-buahan tempatan mempunyai banyak khasiat. atau Buah-buahan tempatan banyak mempunyai khasiat. 3. Mukanya yang masam itu alamat dia sedang marah atau Mukanya yang masam itu mengalamatkan dia sedang marah. Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Berguni-guni kampit pasir diletakkan di persisiran pantai untuk menghalang hakisan ombak. 2. Buah-buahan tempatan mempunyai banyak khasiat. 3. Mukanya yang masam itu alamat dia sedang marah. | Tatabahasa | 11.01.2012 |