Pada 14 /11/12. Waktu berita utama TV3. Seorang tokoh politik yang sangat terkenal kononnya memperjuangkan Bahasa melayu/kebangsaan . Sempena meraikan sambutan hari devepavali beliau telah telah mengunakan imbuhan yang saya kurang pasti betul atau salah penggunaannya, iaitu berdeepavali dan bertahun baru. Ini bukan lah kali pertama beliau mengeluarkan perkataan yang pelik pelik. Bagi saya ini adalah satu pencemaran. | Penggunaan perkataan berdeepavali tersebut seolah-olah menyamakannya dengan perkataan berhari raya, iaitu merayakan hari raya. Namun pembentukan perkataan tersebut adalah tidak gramatis kerana kita juga tidak menggunakan ungkapan beraidilfitri dalam konteks merayakan hari raya Aidilfitri. | Tatabahasa | 15.11.2012 |
Assalamualaikum Adakah perkataan yang menggunakan partikel -lah, -kah, -tah tergolong dalam bentuk kata terbitan? Contohnya perkataan 'cukuplah'. Partikel -lah tidak merujuk kepada imbuhan. Mohon pencerahan.-Darayani. | Salam, Partikel -lah, -tah, -kah bertindak sebagai penegasan dalam ayat dan bukan membentuk kata terbitan. Terima kasih. | Lain-lain | 12.03.2015 |
Tuan/Puan, Saya maklum tentang kata nafi iaitu 'tidak' & 'bukan' dan cara penggunaan mereka yg betul dalam ayat. Soalan saya, bolehkah kehadiran 'bukan' dalam ayat, 'Bukan harganya begitu' memberi penekanan kepada predikat? (Sepatutnya ayat ini ditulis, "Harganya bukan begitu"). Saya juga maklum tentang kata penegas (cth : akhiran -lah, pun, juga, hanya), iaitu kewujudan kata penegas memberi penegasan kepada predikat dalam ayat. Namun, sesetengah ayat dalam penulisan sengaja ditulis dalam susunan yang luar biasa dan ia memberi lebih impak kepada pembaca. Adakah susunan 'Bukan harganya begitu' juga ditulis bertujuan untuk memberi penekanan terhadap 'harga'? Terima kasih. | Frasa yang gramatis ialah "Harganya bukan begitu..." lebih tepat digunakan dan menunjukkan penegasan kepada harga. | Tatabahasa | 07.06.2014 |
bagaimanakah ingin membezakan penggunaan kata penegas -tah dan -lah? Ayat manakah yang betul? i) Bilalah dia akan muncul? ii)Bilatah dia akan muncul? | Penggunaan kata penegas lah ialah partikel atau kata tugas yg digunakan utk menegaskan kata yg mendahuluinya serta terikat dgnnya: Makan~ kuih itu. Jangan~ kamu berasa segan. Manakala tah pula ialah partikel pd akhir kata (utk menyatakan pertanyaan pd diri sendiri), gerangan: apa~ ?; bukan~ ?; mana~ ?; mengapa~ ?. Ayat yang betul ialah (i) Bilalah dia akan muncul? | Lain-lain | 13.08.2010 |
Selamat pagi . Adakah ayat berikut betul ??? 1. Kita mestilah menghormati guru kita setiap masa. Soalannya: Perlukah saya mengajar murid saya meletak - lah di belakang perkataan kata bantu ??? Baru-baru ini saya mendapat maklumat bahawa dalam Ujian UPSR Bahagian C , jika murid menulis contohnya mestilah , patutlah , haruslah dikira salah . Adakah ini betul ??? Terima kasih . | Partikel -lah, -tah dan -kah merupakan kata penegas. Ia dirangkaikan dengan kata yang ingin ditegaskan dan mengalami proses pendepanan. Contoh: Itulah rumah idamanku, bukan : Rumah idamanku itulah. Ayat yang cikgu berikan adalah betul. Untuk menerangkan dengan lebih jelas lagi tentang penggunaan partikel -lah sebagai kata penegas, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 261. | Lain-lain | 31.07.2009 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai penambahan imbuhan (atau kata sambungan yang lain) kepada perkataan bukan Bahasa Melayu. Contoh yang kerap muncul dalam penulisan ialah: -Best-nya cerita ni! -Ter-over pulak! -Try-lah yang lain. -Tolong print-kan -Dia meng-italik-kan perkataan Jerman itu (dan lain-lain) Adakah wujud peraturan tatabahasa untuk kategori ini? Bagaimana sepatutnya ia ditulis? Adakah dengan meletakkan sengkang seperti di atas, atau perkataan itu dicondongkan dan disambung sahaja seperti perkataan Bahasa Melayu? Terima kasih atas maklum balas. | Untuk makluman perkataan yang menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak diterima sebagai bentuk yang rasmi dalam bahasa Melayu. Bentuk ini biasanya digunakan dalam bahasa percakapan seharian yang tidak mempunyai kaedah rasmi yang khusus untuk menulis perkataan tersebut. Perkataan seperti "best, over, try dan print" telah ada padanan bahasa Melayunya dan tidak perlu ditulis dalam bahasa Inggeris. | Tatabahasa | 28.01.2016 |
Siva Ramana 20 Disember 2015 SUN 10:28PM Siva Nama saya Siva Ramana. Walaupun saya bukan berbangsa melayu saya fasih berbahasa dan suka menonton drama melayu tak kira mana mana siaran. Sejak kebelakangan ini, banyak drama drama Sudah mula mencampuradukan penggunaan bahasa inggeris(BI) terlampau. Saya berusia 35 tahun saya menonton drama sejak kecil Lagi Dari cerita Opah zaman 80an hingga kini. Maka, saya tahu layar cerita dan cara penggunaan BM dulu dan kini. Saya memang tidak nafikan, untuk tujuan Pasaran dan gaya masa kini penggunaan BI dan BM Dalam tutur kata harian. Tetapi bila lihat drama kini penggunaan BI terlalu banyak Dalam satu seisi perbualan. Kalau Ada masa, Cuba tonton TV dan nilai sendiri. Tak salah kalau saya kata, tujuan saya menonton drama melayu untuk menghayati drama melayu, bukan untuk dengar BI.. Saya tidak Tahu sejauhmana balasan saya ini di ambilkira. Walaupun tak diambilkira saya masih tak Rugi yang sayangnya mingkin satu hari nanti kita lihat drama BM Dalam versi BI sepenuhnya kononnya itu lah trend pada masa itu." Sediakan payung sebelum hujan" " setitik nila rosak susu sebelangga". Buat lah sesuatu sebelum terlambat Terima kasih Daripada Insan bukan melayu yang Berjiwa melayu. | Terima kasih atas keprihatinan tuan. Untuk makluman, unit pemantauan di DBP juga telah membuat pemantauan tentang penggunaan bahasa dalam media elektronik dan dapatan dari pemantauan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Media Elektronik. Walau bagaimanapun kami juga sedar kecelaruan penggunaan bahasa dalam media elektronik ini masih belum diatasi dan kami amat mengharapkan sokongan semua pihak terutamanya pengamal media dan orang awam untuk kita bersama-sama memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam media elektronik dan bidang-bidang lain juga. Kami amat memuji sikap dan jati diri tuan dalam hal ini, semoga bahasa kebangsaan kita terus dimartabatkan di negara kita. | Lain-lain | 20.12.2015 |
contoh ayat majmuk,nafi,perintah,tunggal | Ayat majmuk: Ali bermain bola di padang bersama dengan kawan-kawannya. Ayat nafi: Itu bukan rumahnya. Mereka tidak datang semalam. Ayat perintah: Keluar dari bilik ini. Pergilah dari sini. (menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat) Ayat tunggal: Ali bermain bola di padang. Ali bermain bola bersama dengan kawan-kawannya. | Tatabahasa | 14.04.2009 |
minta maaf bila agaknya saya boleh dapat jawapannya?melalui? | Ayat majmuk: Ali bermain bola di padang bersama dengan kawan-kawannya. Ayat nafi: Itu bukan rumahnya. Mereka tidak datang semalam. Ayat perintah: Keluar dari bilik ini. Pergilah dari sini. (menggunakan partikel -lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat) Ayat tunggal: Ali bermain bola di padang. Ali bermain bola bersama dengan kawan-kawannya. | Tatabahasa | 14.04.2009 |
Saya ingin pastikan sama ada kata-kata berikut adalah sesuai untuk digunakan untuk poster besar pengiklanan. Dari segi tatabahasa dan kesesuaian. Terima Kasih " Nikmati-lah kemudahan servis waktu senja. Untuk tempahan servis, hubungi: 03- 5621 5566" | Sila buat visual poster tersebut dalam bentuk jpeg atau gif dan hantar semula melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP (bukan Khidmat Nasihat Bahasa). Untuk kali pertama tuan/perlu perlu mendaftar dahulu dan dapatkan kata laluan (password) yang dihantar kepada e-mel yang telah didaftarkan dan ikutilah tatacara yang seterusnya. | Lain-lain | 13.08.2014 |