Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ca.ha.ya] | چهاي

Definisi : 1. pancaran yg datangnya dr objek yg bersinar (matahari, lampu, api, dll) yg membolehkan sesuatu (objek, sekitaran, dll) dilihat, sinar: ~ bintang; 2. kilauan (emas, intan, berlian, dll): ~ permata; 3. seri, kejernihan (air muka); ~ mata a) kilau mata, sinar mata; b) kekasih, buah hati; c) anak; ~ muka a) rupa air muka; b) seri yg kelihatan pd muka; 4. penyuluh (kpd rohani), petunjuk: sesungguhnya telah datang kpd kamu ~ kebenaran drpd Allah; bercahaya memancarkan cahaya, bersinar, berkilat, berkilau, berseri, gilang-gemilang: bintang-bintang ~ dgn sangat terangnya; muka Tuan Bujang ~ spt bunga raya; mencahayai memberi cahaya kpd, mene­rangi, menyinari, menyuluh: bulan purnama ~ sekalian alam dgn sinarnya yg lembut; mencahayakan 1. mengeluarkan atau me­mancarkan cahaya, menyinarkan; 2. menjadi­kan bercahaya, mengilatkan, menyinarkan: berlian boleh dicuci utk ~nya; pencahayaan 1. perihal mencahayakan, penyinaran; 2. penggunaan alat, perkakas yg mengeluarkan cahaya dan penghasilan caha­ya yg sesuai bagi usaha pementasan atau peng­gambaran: seorang pereka set sentiasa menjadi orang rujukan kpd pereka-pereka kostum, ~ dan petugas-petugas teater yg lain. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ca.ha.ya] | چهاي

Definisi : 1 sesuatu (spt sinar matahari) yg dpt mewujudkan keadaan terang: ~ matahari. 2 kejernihan atau seri pd muka. 3 kilauan yg terdapat pd emas, intan, berlian dll. ~ mata a. sinar pd mata. b. orang yg dikasihi; buah hati. c. anak. ~ muka a. air muka. b. seri pd muka. bercahaya 1 ada atau terdapat cahayanya; memancarkan cahaya; berkilau: Bulan ~. 2 berseri; jernih: Mukanya ~. 3 bergemerlapan; bersinar-sinar: intan berlian yg ~. mencahayai memberi cahaya kpd; menerangi; menyinari: Bulan purnama ~ taman yg indah itu. mencahayakan 1 mengeluarkan cahaya; menyinarkan; memancarkan. 2 menjadikan bercahaya atau berkilat; mengilatkan: Batu berlian pd cincinnya dicuci utk ~nya. pencahaya­an 1 perihal, proses dsb mencahayai atau mencahayakan. 2 penggunaan peralatan atau perkakas bagi mengeluar­kan cahaya dan penghasilan cahaya yg sesuai bagi sesuatu pementasan, penggambaran dsb. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata cahaya

Puisi
 

Terang bulan dipancar cahaya,
     Budak-budak ramai bermain;
Kanda kupandang nampak cahaya,
     Hatiku tidak ke tempat lain.


Lihat selanjutnya...(34)
Peribahasa

Tembaga menunjukkan senam,
     besi menunjukkan karat,
keris menunjukkan pamur,
     manikam menunjukkan cahaya.

Bermaksud :

Baik orang mahupun barang mempunyai tanda-tanda atau sifat-sifatnya yang menunjukkan baik atau buruknya. pamur = baja putih.

 

Lihat selanjutnya...(2)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera Tuan/Puan, Bolehkah Tuan/Puan nyatakan ayat manakah yang gramatis? A1) Perhati dan lakarkan bagaimana alur cahaya itu difokuskan. A2) Perhatikan dan lakarkan bagaimana alur cahaya itu difokuskan. A3) Perhati dan lakarkan alur cahaya yang difokuskan itu. A4) Perhati dan lakar alur cahaya yang difokuskan itu. A5) Perhati dan lakar bagaimana alur cahaya itu difokuskan. Soalan: Adakah tanggapan saya betul bahawa sebarang kata kerja transitif seperti "lakarkan" harus diikuti dengan penyambut dalam bentuk kata nama atau kata ganti nama diri pertama, kedua atau ketiga? Sekian, terima kasih CKAyat yang betul Perhati dan lakar bagaimana alur cahaya itu difokuskan. Pendapat saudara betul, kata kerja transitif mesti diikuti objek yang menjadi penyambutnya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 183.Tatabahasa02.02.2012
Soalan Kata Hampir Sama Makna Cahaya lampu jalan yang _________ menyebabkan kami takut untuk meneruskan perjalanan. A. suram B. kelam C. muram D. pudar Saya berasa keliru akan penggunaan setiap perkataan di atas.Suram bermaksud tidak berapa terang (cahaya dan lain-lain) atau agak gelap. Kelam bermaksud tidak berapa terang (berkenaan cahaya, keadaan hari, dan lain-lain), atau agak gelap atau suram. Muram bermaksud tidak berapa terang (cahayanya), buram, guram, kelam, suram. Pudar bermaksud kurang cahayanya, tidak terang atau cerah, tidak berseri-seri, suram. Berdasarkan makna tersebut suram/kelam/muram/pudar boleh menjadi jawapan kepada soalan tersebut.Tatabahasa21.03.2012
'keindahan suasana malam yang dilimpahi cahaya neon menjadi daya tarikan 'ayat ini betul tak? terima kasihKeindahan suasana malam yang dilimpahi cahaya neon menjadi daya tarikan ... ayat ini betul.Tatabahasa06.07.2012
MAKSUD SURAMSuram bermaksud 1. tidak berapa terang (cahaya dll), agak gelap, kurang cahaya, redup (cuaca): di dlm kamar tidurnya itu hanya lampu tidur sahaja yg hidup, lampu kecil yg ~ cahayanya; petang yg ~; 2. tidak berkilauan atau bercahaya (barang emas, perak, dll), tidak bening (batu permata), buram: kalau beberapa hari tidak dicucinya, kereta itu kelihatan ~; 3. tidak berseri-seri (muka, mata, dll), kusam, kuyu, muram (kerana sedih dll): di ambang pintu terdiri Jenab dgn pakaian serba hitam, rambutnya tidak berdandan, mukanya ~; matanya ~; 4. kurang seronok (kehidupan dll), kurang berbahagia, susah (hati dll), sedih: sesekali guruh menderam di sebelah barat, di hati mereka ~, besok entahkan hujan!; kehidupan yg ~; Makna02.10.2010
Cahaya dan haba dari / daripada matahari dapat menghasilkan elektrik. Yang manakah kata sendi yg betul utk ayat di atas? Terima kasih.Kata sendi yang betul ialah daripada. Cahaya dan haba daripada matahari dapat menghasilkan elektrik.Tatabahasa30.05.2013
(1) Dia baharu mendapat cahaya mata. (2) Kemudian baharulah beliau mendapat ilham baharu dan memulakan kajian linguistik struktur. Adakah perkataan (1) baharu dan (2) baharulah dalam ayat (1) dan (2) perlu ditukar menjadi (1) baru dan (2) barulah?Yang betul ialah: Dia baru mendapat cahaya mata. Kemudian barulah beliau mendapat ilham baharu dan memulakan kajian linguistik struktur. Baru merujuk kepada tempoh masa, manakala baharu membawa maksud new dalam bahasa Melayu.Tatabahasa02.07.2007
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Jangan membaca buku dalam cahaya yang malap. 2. Jurulatih melatih kami dengan tegas. 3. Bahan yang mudah meletup mesti dijauhi daripada api. 4. Kerusi-kerusi di dalam dewan telah disusun memanjang. 5. Dia menamakan kucingnya Si Comel. 6. Para penjaja takut akan Mak Cik Aishah yang suka menawar. 7. Pekerja itu didapati berniat menderhaka kepada / terhadap majikannya. 8. Mereka mengasingkan buah catur putih daripada / dengan buah catur hitam. Terima kasih.Berikut merupakan ayat yang betul setelah pindaan dibuat.

1. Jangan membaca buku dalam cahaya yang malap.
2. Jurulatih melatih kami dengan tegas.
3. Bahan yang mudah meletup mesti dijauhi daripada api.
4. Kerusi-kerusi di dalam dewan telah disusun memanjang.
5. Dia menamai kucingnya Si Comel.
6. Para penjaja takut akan Mak Cik Aishah yang suka menawar.
7. Pekerja itu didapati berniat menderhaka terhadap majikannya.
8. Mereka mengasingkan buah catur putih dengan buah catur hitam.
Tatabahasa04.03.2013
Salam...terima kasih atas jawapan yang diberikan.mohon tuan berikan pencerahan tentang huruf "p" pada kata nama khas yang ditulis dengan huruf kecil untuk perkataan "pantai Teluk Kemang" bagaimana dengan Pantai Cahaya Bulan, Pantai Chenang?harap tuan dapat membantu.Kedua-dua perkataan pantai dieja dengan huruf kecil, pantai Cahaya Bulan dan pantai Chenang. Perkataan pantai merupakan kata nama am.Tatabahasa13.05.2013
Cara ini mengatasi masalah cahaya yang dipantulkan dari/daripada cermin mata.Kedua-duanya boleh digunakan, sama ada dari atau daripada. Jika merujuk tempat dan arah, kata sendi nama "dari" digunakan, dan jika menyatakan "punca", kata sendi nama "daripada" digunakan.Tatabahasa17.11.2011
boleh tak tolong perbetulkan puisi yang saya buat ini? aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya dibawah sinaran cahaya bulan dibawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakamlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahayasesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini... bantuan dari pihak tuan amat saya hargai... terima kasih

 

aduhai remaja

apalah erti dunia remajamu

tika tabir menebarkan sayapnya

di bawah sinaran cahaya bulan

di bawah debar kota

dalam alunan gelombang pura-pura

kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan

dihidu embun jantan

aduhai remaja

kembalilah kau pada seruan wahyu

bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan

memohon keampunan dan restu-Nya

aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu

yang kian hilang muliakanlah kasih yang diberi

tujuilah lorong bercahaya

sesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini

 Ulasan: Secara umum puisi yang dihasilkan oleh adik baik dan adik harus terus menulis lagi untuk memantapkan gaya penulisan. Selain itu, adik boleh merujuk atau membaca buku-buku puisi untuk menghayati dan mempelajari gaya penulis seseorang penyair. DBP berharap adik terus menulis. Sekian terima kasih.

Lain-lain20.12.2008
1234

Kembali ke atas