Manakah yang betul? 1. otak cair 2. cair otak Merujukkan kamus dewan edisi keempat, cair otak digunakan. | Berdasarkan kelaziman bentuk yang ada, frasa "otak cair" yang lebih tepat, contoh lain seperti "otak beku" dan "muka tembuk". | Tatabahasa | 28.04.2013 |
Wujudkah perkataan 'perleceh' yang bermaksud merendah-rendahkan atau mempersia-siakan? Terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Edsisi Keempat, leceh (lécéh) ialah; 1. meleleh dan melekat pada tempat yang dilaluinya (seperti lilin yangg cair dll); 2. ki kurang nilai (harga, mutu, dsb), tidak berguna, hina: memang engkau ~, apa yang engkau hendak, engkau sendiri tidak tahu; ~ budi tidak berbudi; perempuan ~ perempuan sundal; 3. ki cerewet lagi remeh (pekerjaan dll), lambat, lengah, rumit: pekerjaan yang ~; meleceh mengampu (ketua, majikan), bermuka-muka (dengan ketua dll); melecehkan tidak menghiraukan, memandang rendah (hina dll); perlecehan perihal hina; peleceh orang yang suka mengampu atau bermuka-muka (dengan ketua dll). | Tatabahasa | 10.09.2013 |
1. Ahli bomba memadamkan api dengan air. 2. Ahli bomba memadamkan api dengan hos. 3. Ahli bomba memadamkan api dengan saluran paip air. Adakah penggunaan "hos" dan "saluran paip air" boleh digunakan untuk ayat di atas. Mengikut kamus, hos bererti tiub untuk mengalirkan air dari paipnya. Adakah saluran yang digunakan oleh ahli bomba untuk memadamkan api ialah hos? | Tiub merujuk tiub yang dibuat daripada getah dan sebagainya untuk menyalurkan cecair atau gas; manakala saluran ialah sesuatu (seperti paip) yang digunakan untuk mengalirkan benda-benda cair. Merujuk maksud perkataan hos dan saluran tersebut ketiga-tiga contoh ayat tersebut boleh diterima. | Tatabahasa | 14.04.2010 |
1. Emak menghiris se ____ bawang merah. A. ulas B. ketul C. labu D. jambak. 2. Pemuda ____ minuman. A. menyedut B. menghirup Apakah jawapan yang betul dalam soalan 1 dan 2 ?Mengapakah ? 3. Lina tidak suka mengambil makanan yang (berat) seperti nasi terutamanya pada waktu malam. Perkataan "berat" boleh gunakan dalam ayat ini?Jika salah, apakah perkataan yang sesuai ? Terima kasih. | 1. Emak menghiris seulas bawang merah. Labu boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk bawang besar. Walaupun makna labu sebagai penjodoh bilangan tidak ada dalam kamus, tetapi korpus bahasa Melayu (boleh dilihat melalui laman web DBP www.dbp.gov.my) merakamkan penggunaan labu sebagai penjodoh bilangan untuk bawang besar dan bawang putih. 2. Dalam Kamus Dewan, menghirup bermaksud "menyedut dan menelan benda cair, meneguk". Menyedut pula bermaksud "menarik masuk (ke dalam) dengan kekuatan udara (dengan mulut , hidung dan lain-lain), menghirup, menghisap.' Berdasarkan maksud yang diberikan, kedua-dua perkataan "menghirup" dan "menyedut" boleh digunakan. 3. Makanan berat adalah betul dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 24.01.2013 |
Adakah penggunaan perkataan "kencang" dalam ayat di bawah sesuai atau tidak?Mohon penerangan yang lebih lanjut daripada pihak tuan sekiranya membuat ulasan. 1) Wanita itu merangkul bayinya dengan kencang agar tidak terjatuh ke lantai. 2) Salun kecantikan itu menawarkan perkhidmatan yang membolehkan pelanggan memiliki kulit muka yang kencang. Adakah penggunaan perkataan "larut" dalam ayat di bawah sesuai atau tidak?Mohon penerangan yang lebih lanjut daripada pihak tuan sekiranya membuat ulasan. - Gula-gula itu larut kerana terdedah kepada cahaya matahari. Adakah kedua-dua ayat di bawah mempunyai kesalahan dari segi struktur ayat?Jika ada mohon pihak tuan perbetulkan dan mengapa ayat tersebut salah(Jika ada). - Pesawat ringan yang para pemain naiki itu terhempas akibat cuaca buruk. | Ayat pertama dan kedua betul dari segi makna perkataan, tetapi lazimnya masyarakat tidak menggunakan perkataan "kencang" dalam ayat tersebut dan tidak sesuai digunakan. Dalam ayat pertama perkataan "erat" lebih sesuai digunakan kerana perkataan "erat" digunakan secara lazim dalam kehidupan seharian. Manakala dalam ayat kedua pula, perkataan tegang lebih sesuai digunakan berbanding perkataan kencang. Penggunaan perkataan larut tidak sesuai dalam ayat tersebut. Perkataan yang lebih tepat ialah cair. Ayat keempat adalah betul. | Tatabahasa | 02.07.2013 |
Salam sejahtera, mohon berikan cadangan terjemahan bagi "Privacy Policy" (polisi yang biasanya dinyatakan jika kita mengisi borang, untuk melindungi butir peribadi kita) dan sejenis warna, "medium green". Terima kasih | 1. Ruangan tersebut bukanlah suatu dasar, sebaliknya disebut "Maklumat Peribadi" yang perlu dilengkapkan apabila kita mengisi borang. 2. Medium bermaksud sederhana dan jika medium green diterjemahkan itulah warna hijau yang sebenarnya. Maka cukup sekadar kita menandakannya sebagai warna hijau kerana jika berlebihan hijaunya baharu disebut hijau pekat dan jika sebaliknya disebut hijau cair. | Istilah | 17.07.2012 |