Apa beza konsep "Cerita Peribahasa Kanak-Kanak" dgn "Peribahasa dalam cerita kanak-kanak"? | Untuk makluman, "Cerita Peribahasa Kanak-kanak" menerangkan tentang peribahasa yang digunakan dalam buku tersebut. "Peribahasa dalam cerita kanak-kanak" pula lebih kepada persembahan penceritaan. Misalnya sebagai perbandingan atau perumpamaan dalam cerita. Bagi penjelasan lebih lanjut, tuan boleh menghubungi pegawai Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja melalui talian utama DBP, iaitu 03-2147 9000. | Sastera | 16.01.2025 |
Terdapat buku cerita kanak-kanak dipasaran yang bersuku kata berlainan suku katanya. Contohnya perkataan :- "Perempuan" Sukukata yang mana satu betul? adakah "Pe-rem-pu-an" atau "Pe-rem-puan". | Suku kata yang betul ialah pe-rem-puan. Untuk keterangan lanjut berkenaan suku kata, sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu Edisi Kedua (DBP, 2008). | Tatabahasa | 08.04.2010 |
Tuan, saya sedang cuba menyempurnakan tugasan menulis tentang tokoh penyair Wadi Leta SA , maksud saya menulis biografi ringkas. Saya cuba cari di internet namun tak banyak maklumat saya temui, kerana di samping beliau menulis puisi , saya ingin catatkan juga tentang hobinya pada seni lukis dan jua menulis buku cerita kanak-kanak. Saya di fahamkan penulisan cerita kanak-kanak pernah disiarkan melalui blog zoom A di bawah kelolaan Rosli Nikmat , tetapi saya tetap tidak ketemu di internet. Boleh kah pihak Tuan berikan laman web atau link tentang beliau menulis buku cerita kanak-kanak dan hobi melukis? Atau boleh nyatakan di mana boleh saya dapatkan info tersebut? | Salam sejahtera, Dewan Sastera terbitan November 2007 ada mengemukakan Wadi Leta S.A. sebagai karyawan dalam keluaran tersebut. Selain itu, saudara boleh membaca artikel "Wadi Leta berbakat melukis" dalam laman www.nib.com.my . | Lain-lain | 25.04.2012 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai kata ganti nama bagi haiwan. Saya ingin menulis cerita kanak-kanak. Bagi merujuk haiwan tersebut yang manakah lebih tepat penggunaanya ia atau dia. contoh ayat Sang kancil tinggal di dalam hutan. Ia sangat bijak dan cerdik. Yanglebih tepat ia atau dia. Mohon beri jawapan untuk soalan ini. Terima kasih. | Tidak ada kata ganti nama untuk binatang, sebaliknya nama binatang tersebut perlu diulangi setiap kali merujuk binatang tersebut atau diselang-selikan dengan nama lain yang sinonim dengan binatang tersebut seperti harimau/pak belang. | Tatabahasa | 31.10.2012 |
Mana yang lebih tepat, "Penulisan buku cerita kanak-kanak peribahasa" atau "Penulisan buku cerita peribahasa kanak-kanak"? Bagi merujuk penulisan bagi bacaan kanak-kanak yang menjadikan peribahasa sebagai jalan utama penceritaan. | Ayat yang betul ialah "Penulisan buku cerita peribahasa kanak-kanak." | Tatabahasa | 22.10.2024 |
Saya berminat untuk menulis buku cerita kanak-kanak. Bagaimana boleh saya dapatkan panduan menulis untuk penerbitan? | Alhamdulillah, sdr. berminat dalam bidang penulisan. Mudah-mudahan akan bertambah lagi penulis berbakat di tanah air pada masa akan datang. Dalam hal ini sdr. boleh mengasahkan bakat dalam bidang penulisan terutamanya dengan banyak membaca dan meneliti karya-karya pemenang sastera. Semua karya sdr. perlulah dihantar ke media cetak dan syarikat penerbit (akhbar, majalah, novel/buku dll.) serta media elektronik (radio dan tv) bagi tujuan penerbitan dan penyiaran. Sdr. juga digalakkan menyertai peraduan karya sastera (mengikut genre yang diminati) bagi menguji semangat, bakat dan keterampilan sdr. dalam bidang penulisan. Akhirnya, bagi mendapatkan pendedahan dan khidmat nasihat dalam bidang penulisan, sdr. bolehlan menghubungi pejabat DBP yang berhampiran. Untuk mendapatkan Khidmat Nasihat Berkarya secara dalam talian, saudari bolehlah melayari laman web DBP www.dbp.gov.my, dan klik menu perkhidmatan, saudari akan dapat khidmat bimbingan berkarya secara percuma. Untuk keterangan lanjut, sdr. bolehlah menghubungi Puan Hajah Zalila binti Sharif, Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA), Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur atau e-mel: zalila@dbp.gov.my. | Lain-lain | 16.07.2009 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya berminat untuk menulis buku cerita kanak-kanak. Bagaimana boleh saya dapatkan panduan untuk penulisan bagi tujuan penerbitan? Kepada pihak manakah perlu saya hantarkan karya yang saya hasilkan dan bagaimanakah cara untuk menghantarkan karya saya? | Salam, puan bolehlah berhubung dengan, Puan Azihani binti Md Mizan (Hajah), Perancang Bahasa di Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja di talian 03-21479293 atau e-mel azihani@dbp.gov.my untuk keterangan lanjut. Terima kasih. | Karya | 24.06.2015 |
Saya merujuk laman dbp ( http://rujukan.dbp.gov.my/index.php/pages/view/111) yang menyatakan cerpen merupakan cerita fakta yang dicampur imaginasi. dan antara cirinya panjang cerpen 5000 hingga 20000 patah perkataan. Jika cerita kurang dari 5000 patah perkataan boleh dikategorikan sebagai apa? Contoh buku cerita kanak-kanak yang hanya beberapa patah perkataan (tidak sampai 5000 patah perkataan) | Cerita kanak-kanak dan cerpen merupakan antara kategori penulisan di bawah 5000 patah perkataan. | Lain-lain | 03.09.2024 |
Assalamualaikum & Salam Sejahtera, NURUL FAREHAH JAAMAD 900521045508 Judul Manuskrip : Novel : 1.DUNIA AZIM. Buku Cerita Kanak-kanak : 2.PERSAHABATAN ANTARA SANG GAJAH, SANG KANCIL DAN SANG SEMUT. 3.KURA-KURA YANG RAJIN. 4.MARI DNEGAR CERITA KAKAK NURUL. Saya yang bernama di atas ingin bertanya, adakah pihak DBP menerima manuskrip saya? Saya inginkan jawapan yang jelas daripada pihak DBP. Bulan kelmarin pihak DBP ada menelefon saya menyatakan bahawa manuskrip saya akan di nilai dan diberi jawapan pada minggu hadapan. Tetapi tiada sebarang jawapan. Juga akan menghantar surat penerimaan manuskrip kepada saya tetapi tiada. Saya cuma ingin tahu sama ada manuskrip saya di terima atau tidak. Sekiranya tidak, saya mahu cuba memperbaiki manuskrip itu. Bolehkah pihak DBP memberikan saya jawapan yang pasti kepada saya? Boleh hubungi saya di 017-6665803 atau 06-2680260 | Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Saya telah menghubungi Puan Azihani di Bahagian Penerbitan Buku Kanak-kanak dan Remaja. Beliau memaklumkan bahawa manuskrip bertajuk Dunia Azim dan Persahabatan Antara Sang Gajah, Sang Kancil dan Sang Semut tidak sesuai untuk diterbitkan dan telah dipulangkan kepada saudari melalui pos. Sementara dua buah manuskrip lagi malangnya tidak ditemui semasa proses perpindahan ke tingkat 19. Namun, pihak beliau masih berusaha untuk mencarinya. Kami memohon jutaan kemaafan atas kejadian ini dan mencadangkan supaya saudari menghantarkan salinan manusikrip tersebut sekali lagi. Mohon maaf sekali lagi. | Lain-lain | 28.09.2010 |
khidmat nasihat sastera kanak-kanak dan remaja : 1)peringkat umur yang sebenar buku bacaan sastera kanak-kanak dan remaja di malaysia 2) maksud plot dan sudut pandangan sastera kanak-kanak dan remaja | Soalan 1: Peringkat umur sebenar buku bacaan kanak-kanak bergantung pada bentuk atau genre buku. Buku bergambar/buku konsep (0-3 tahun); buku cerita bergambar (5-9 tahun). Buku berilustrasi: novel(10-12 tahun);kumpulan cerpen (7-9;10-12 tahun);kumpulan puisi (7-9;10-12 tahun). Peringkat umur remaja awal (13-15 tahun); remaja pertengahan (16-18 tahun); remaja akhir (19-21 tahun)- untul pelbagai bentuk penerbitan buku seperti novel, puisi, cerpen dan genre lain. Soalan 2: Plot ialah rentetan peristiwa atau jalinan cerita yang direka oleh pengarang berdasarkan sebab dan akibat sesuatu peristiwa dalam cerita itu berlaku. Peristiwa dijalin dengan melibatkan pertikaian atau konflik yang di akhir cerita menemukan peleraiannya. Plot untuk cerita kanak-kanak sesuai disusun pengarang secara kronologi;berurutan peristiwanya dari awal hingga ke akhir cerita. Pengarang tidak perlu mencampuradukkan plot dengan imbas kembali, imbas muka sehingga menyukarkan pemahaman kanak-kanak. Plot cerita kanak-kanak terbina daripada urutan peristiwa yang bermula dengan pengenalan cerita, dikembangkan dalam pertengahan cerita dan diakhiri dengan peleraian cerita. Sudut Pandangan-pencerita sebagai sudut pandangan orang pertama ditandai dengan cerita yang menggunakan kata ganti nama pertama, watak aku atau saya, dan mungkin juga cerita menggunakan ganti nama kami. Teknik ini lebih mudah dan sesuai untuk penulis baru. Teknik ini membenarkan pengarang bertindak sebagai pencerita utama watak atau watak sampingan yang bercerita tentang watak utama. Sudut pandangan orang ketiga ditandai dengan penggunaan kata ganti nama orang ketiga, iaitu dia, atau memakai nama watak dalam cerita. Sudut pandangan orang ketiga beerti anda sebagai pengarang yang mempamerkan apa-apa yang dilihat dan dilakukan oleh watak-watak, malah berusaha menyelami setiap sudut perasaan watak. Hingga pembaca boleh mengetahui setiap yang difikirkan dan dirasakan oleh watak-watak dalam cerita. | Lain-lain | 02.05.2014 |