Apakah padanan bahasa Melayu untuk istilah rock shed? Rock shed ialah binaan berbentuk terowong jalan raya yang dibina sepanjang cerun bukit untuk menangani kejadian tanah runtuh. (Sumber istilah: https://www.kkr.gov.my/ms/pembinaan-cerun-kaedah-rock-shed-di-laluan-ft185) | Padanan bahasa Melayu bagi istilah rock shed ialah pelindung batu. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 30.11.2023 |
Apakah penterjemahan yang tepat bagi ayat ‘He cycled down the slope?’. Adakah jawapan ‘Dia mengayuh basikalnya turun dari cerun itu’ boleh diterima? | Terjemahan yang betul ialah Dia berbasikal menuruni lereng bukit. | Penyemakan dan penterjemahan | 20.02.2021 |
1. Apakah penggunan yang betul untuk "sebagai contoh" atau "sebagai contohnya" di permulaan ayat? Sebagai contohnya, kawasan dalam jarak sepuluh meter dari tebing sungai dijadikan kawasan rizab. 2. Ayat yang sesuai untuk penggunaan "contoh" dan "contohnya". 3. Adakah senarai sesuatu perkara perlu dimulakan dengan huruf besar dan diakhiri dengan noktah. Contoh: Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Sekian. Terima kasih. | 1. Penggunaan frasa "sebagai contoh" lebih tepat kerana "nya" ialah kata ganti nama dan tidak perlu hadir dalam frasa tersebut. Dan begitu juga dalam perkataan contoh, tidak perlu contohnya. 3. Langkah-langkah untuk mengatasi hakisan cerun bukit adalah seperti yang berikut: (a) Menanam tanaman litup bumi. (b) Membina benteng daripada simen. (c) Membina sistem saliran. Penggunaan tanda baca dalam ayat contoh yang diberikan, betul. | Tatabahasa | 19.11.2012 |
Adakah tanah runtuh merupakan kata majmuk? | "Tanah runtuh" ialah kata majmuk. Kata majmuk merupakan bentuk kata yang wujud, apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna tertentu. Makna kedua-dua perkataan tersebut adalah seperti yang berikut: i. Tanah - permukaan bumi ii. Runtuh - jatuh atau roboh Apabila kedua-dua perkataan tersebut digabungkan, maka wujudnya kata majmuk, "tanah runtuh", iaitu merujuk kepada fenomena geologi yang melibatkan tanah atau batuan runtuh dari cerun atau kawasan tinggi – satu makna yang khusus, berbeza daripada makna perkataan asal secara berasingan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 48 - 49. | Tatabahasa | 06.09.2025 |