Cikgu, cikgu menyetujui pernyataan guru saya bahawa selepas "menanyakan" perlu meletakkan objek tidak bernyawa, tetapi cikgu mengatakan bahawa "menanyakan" bermaksud bertanya berkenaan sesuatu kepada, dan cikgu juga memberikan ayat contoh seperti yang berikut: "Ani menanyakan doktor tentang keseriusan penyakit ibunya". Tetapi cikgu bukan juga menyetujui pernyataan "selepas 'menanyakan' kena dihadiri sengan objek tidak bernyawa"? Akan tetapi dalam ayat cikgu, selepas menanyakan dihadiri dengan "doktor" iaitu objek bernyawa. Cikgu bukan mengatakan bahawa selepas "menanyai" kena meletakkan objek bernyawa, dan selepas "menanyakan" kena meletakkan objek tidak bernyawa? Nak ikut maksud yang mana, maksud yang pertama: "menanyakan" bermaksud bertanya sesuatu kepada", maksud yang kedua: selepas "menanyakan" dikehendaki meletakkan objek tidak bernyawa. | Dalam halaman 194 dan 200, buku Tatabahasa Dewan menjelaskan bahawa pada dasarnya kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-…-kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat aktif. Contohnya, Saya menanyakan dia tentang keadaan kesihatan ibunya. | Tatabahasa | 02.05.2014 |
(A) Belon yang kembung itu boleh meloyang. (B) Tindakan yang tegas harus diambil terhadap murid-murid yang mengguris kereta cikgu-cikgu sekolah. Untuk ayat (A), apakah maksud perkataan "meloyang"? Untuk ayat (B), apakah maksud perkataan "mengguris"? Saya tidak dapat mencari kedua-dua perkataan dalam kamus.Kalau kedua-dua perkataan itu tidak wujud dalam BM, apakah perkataan yang sesuai digantikan? | Perkataan meloyang dan mengguristidak ada dalam sumber rujukan kami. Perkataan yang betul seperti yang digariskan. (A) Belon yang kembung itu boleh melayang. (B) Tindakan yang tegas harus diambil terhadap murid-murid yang menggores kereta cikgu-cikgu sekolah.
| Tatabahasa | 03.11.2015 |
Cikgu, minta cikgu baca dokumen yang saya lampirkan dalam WordPad. Saya berpendapat bahawa ayat surat yang bermula dengan "Dimaklumkan bahawa..." betul, kerana ayat ini mempunyai subjek. Bagi mengetahui maklumat lanjut, sila klik fail yang saya sertakan. | Frasa "dimaklumkan bahawa" banyak ditemukan dalam data. Frasa ini betul dan telah mantap penggunaannya dalam kalangan pengguna bahasa. | Tatabahasa | 28.02.2015 |
Salam sejahtera Pertanyaan saya berkenaan penggunaan huruf besar bagi perkataan ‘cikgu’ bagi ayat berikut: “Maaf, Cikgu. Apa kata Cikgu tadi?” | Ejaan yang betul ialah "cikgu" kata nama am ditulis dengan huruf kecil: “Maaf, cikgu. Apa kata cikgu tadi?” | Ejaan | 29.04.2020 |
Salam sejahtera, 1. Cikgu Hong dan Cikgu Rosnah sedang mengawasi keselamatan murid / murid-murid di pintu utama sekolah. (kita patut guna murid atau murid-murid?) Terima kasih. | Menurut data kami, ayat yang sesuai ialah cikgu Hong dan cikgu Rosnah sedang mengawasi keselamatan murid-murid di pintu utama sekolah | Lain-lain | 25.07.2018 |
Salam Sejahtera, "Jia Le, tolong berikan kamus itu kepada Cikgu Jaya," pinta Cikgu Yanti. Adakah ayat tersebut betul ? Terima kasih. | Ayat yang diberikan adalah betul. ("Jia Le, tolong berikan kamus itu kepada Cikgu Jaya," pinta Cikgu Yanti.) | Tatabahasa | 20.07.2016 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Penggunaan huruf kecil atau besar untuk 'cikgu'. Contoh: '...di bawah bimbingan cikgu Hamid' atau '...di bawah bimbingan Cikgu Hamid'? | Alaikumussalam. Cara penulisan yang betul untuk soalan puan ialah: '.... bawah bimbingan Cikgu Hamid'. Jika perkataan "cikgu" itu umum, tidak diikuti dengan nama khas, ejaan "cikgu" kecil. Contoh: '...bawah bimbingan cikgu'. | Lain-lain | 13.12.2014 |
Tuan, adakah ayat di sebelah ini betul? 1. Saya minta maaf dengan cikgu. Saya merasakan ayat ini salah kerana kata sendi nama "dengan" digunakan. Berdasarkan maksud pertama "dengan", "dengan" bermaksud bersama-sama. Jadi, seluruh ayat (1) bermaksud saya minta maaf terhadap seseorang bersama-sama cikgu. "Seseorang" itu tidak dinyatakan. "Cikgu" menjadi teman "saya" minta maaf. Ayat ini salah, kerana "cikgu" bukan teman saya minta maaf, tetapi sasaran saya melakukan perbuatan "minta maaf". Oleh itu, untuk menyatakan sasaran manusia, kata sendi nama "kepada" dan "terhadap" lebih tepat. Ayat (1) patut dibetulkan menjadi: 2. Saya minta maaf kepada cikgu. ATAU 3. Saya minta maaf terhadap cikgu. Tetapi, saya ada satu soalan lagi. Bukankah "maaf" itu datang daripada "cikgu"? Jadi, "cikgu" ialah sumber "maaf". Sekarang, saya minta "maaf" daripada "cikgu", jadi, maaf itu datang daripada cikgu. Sekiranya anggapan ini betul, patutkah kata sendi nama "daripada" digunakan? Ayat berbentuk begini: 4. Saya minta maaf daripada cikgu. Antara beberapa ayat, ayat yang manakah paling jitu (tepat)? | Ayat yang gramatis ialah "Saya minta maaf kepada cikgu" kerana cikgu menjadi sasaran selepas kata sendi nama kepada. Ayat "Saya minta maaf dengan cikgu" lazimnya digunakan dalam percakapan. | Tatabahasa | 31.01.2015 |
Bolehkah tuan tolong terangkan perbezaan penggunaan perkataan"cikgu" dan "guru" dalam ayat. saya agak keliru tentang kedua-dua perkataan tersebut. 1. Cikgu/guru di sekolah saya baik-baik belaka. 2. Ali telah pengsan dan telah dihantar pulang oleh seorang cikgu/guru. 3. Cikgu/ guru memarahi murid -murid yang nakal. Walaupun saya tahu bahawa"ramai " digunakan dalam situasi yang riuh-rendah, meriah, tetapi saya masih keliru dengan penggunaannya dengan "banyak". 1. Banyak orang menghadiri majlis itu. Saya terbaca ayat contoh ini dari sebuah buku rujukan yang menerangkan penggunaan "ramai" dan "banyak". Saya hendak tanya mengapakah ayat tersebut gunakan "Banyak" dan bukan "ramai" bukankah "majlis" merupakan keadaan yang meriah dan riuh-rendah? Bolehkah tuan beri saya beberapa contoh untuk menerangkan penggunaan kedua-dua perkataan tersebut. terima kasih. | Saudara, Perkataan cikgu dan guru membawa maksud yang sama. Yang membezakan kedua-dua perkataan ini adalah dari segi penggunaannya. Perkataan guru lebih umum penggunaannya, contohnya guru bahasa Melayu. Perkataan cikgu biasanya digunakan sebagai gelaran dan diikuti dengan nama, contohnya, Cikgu Aminah. | Tatabahasa | 17.10.2009 |
salam sejahtera. 1. bagaimana hendak membezakan penggunaan kata cikgu dan guru? bolehkah perkataan cikgu dalam ayat digunapakai menggantikan perkataan guru? Contoh, seorang cikgu harus berperwatakan mulia. 2. Yang mana satu paling tepat, Pertandingan Cerita atau Pertandingan Bercerita. | Guru bermaksud orang yang mengajar,pendidik, pengajar,pengasuh. Cikgu bermaksud guru, panggilan bagi guru. Perkataan guru lebih digunakan secara umum manakala perkataan cikgu lebih khusus dan biasanya diikuti dengan nama khas seperti Cikgu Aminah bukan Guru Aminah. Contoh ayat: Seorang guru(bukan cikgu) harus berperwatakan mulia. Yang tepat ialah Pertandingan Bercerita(merujuk perbuatan bercerita) manakala Pertandingan Cerita boleh bermaksud pertandingan cerita pendek dll. | Lain-lain | 14.05.2008 |