baru-baru ni saya ada menghantar manuskrip kepada sebuah syarikat penerbit. sekarang saya berasa was-was mengenai hak cipta. sebenarnya, bagaimana cara untuk mendapatkan hak cipta terhadap hasil tulisan kita? adakah selepas kita menghantar kepada penerbit baru kita mendapat hak cipta? | Hak cipta wujud secara automatik sebaik sahaja sesuatu karya itu dicipta. Ia dimiliki oleh penciptanya iaitu pengkarya. Di Malaysia, tidak ada sistem pendaftaran hak cipta. Seseorang itu akan mendapat hak cipta bagi karyanya apabila semua keperluan yang dikehendaki oleh Akta Hak Cipta 1987 dipenuhi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang hal ini, sila rujuk buku Hak Cipta dan Hak Berkaitan karya Rohazar Wati Zuallcobley yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010. | Lain-lain | 29.09.2010 |
Assalamualaikum, Editor Tunas Cipta. Sebagai pembaca yang mengikuti perkembangan Tunas Cipta, bagaimanakah caranya untuk mengirim makalah atau esei kesusasteraan ke majalah Tunas Cipta? | Khay Barbara:saudara boleh e-mel karya ke alamat ini ghanig@dbp.gov.my atau sitinoorisa@dbp.gov.my | Lain-lain | 16.04.2012 |
Assalamualaikum... Saya ingin mengetahui tentang undang-undang hak cipta, terutamanya yang berkaitan dengan penterjemahan bahan. Terima kasih. | Akta Hak Cipta 1987 melindungi sesuatu karya daripada sebarang pengeluaran semula dalam apa bentuk atau versi sekalipun. Ini bermakna sebarang pengeluaran semula (termasuklah penterjemahan bahan tersebut) perlulah mendapat keizinan daripada tuan punya hak cipta karya tersebut terlebih dahulu sebelum sesuatu karya itu boleh diterjemah untuk apa tujuan sekalipun. Terima kasih. | Lain-lain | 11.11.2009 |
1. Cipta Nilai-Nilai Pelanggan Mari Berinovasi & Berkolaborasi ! 2. Cipta Nilai-Nilai Pelanggan Bersama Berinovasi & Berkolaborasi ! Terima Kasih. | Tiada soalan yang saudara kemukakan. Jika diminta pandangan kami tentang slogan tersebut, bagaimana kita mahu mencipta nilai untuk pelanggan kerana lazimnya pengeluar produk memberi jaminan tentang produk dan servis kepada pelanggan. | Tatabahasa | 25.04.2013 |
Boleh beri saya nama pengarah Unit Hak Cipta dan email beliau. Saya ingin bertanya tentang hak cipta buku saya. | Ketua Bahagian Harta Intelek ialah Puan Hajah Asiah binti Daud. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel asiah2@dbp.gov.my | Lain-lain | 09.11.2012 |
Mengikut Kamus Dewan, ejaan yang tepat ialah HAK CIPTA. Namun pihak MYiPO, menggunakan ejaan HAKCIPTA kerana menurut mereka itu istilah undang-undang. Jika demikian, tidak salahlah kalau stesen ASTRO dan kebanyakan laman sesawang mengeja HAKCIPTA TERPELIHARA. Jika tidak betul, pihak DBP seharusnya membetulkannya. Terima kasih. | Kata hak cipta tetap dieja sebagai dua perkataan termasuklah penggunaannya sebagai istilah undang-undang. Hak cipta dieja sebagai satu perkataan dalam nama khas sahaja seperti Kesatuan Hakcipta Berne. | Istilah | 13.07.2010 |
1. Bagaimana cara untuk saya mendapatkan 'hak cipta terpelihara' untuk karya saya? Saya tinggal di kelantan, mestikah saya pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkara tersebut? 2. Bolehkah saya mencetak buku sendiri tanpa penerbit mengikut undang-undang? 3. Di Kelantan, jumlah syarikat percetakan buku adalah terhad terutamanya bumiputera, tiadakah kursus percetakan untuk membimbing bumiputera di dalam perniagaan percetakan anjuran DBP atau mana-mana pihak? | 1. Untuk makluman saudara, hak cipta di Malaysia tidak perlu didaftarkan. Hak cipta lahir sebaik sahaja karya dilahirkan. Manuskrip lengkap atau tidak lengkjap tetap dilindungi oleh hak cipta. Secara amalannya hak cipta pertama dipegang oleh penulis sendiri. Ini disebut dalam Akta Hak Cipta Seksyen 26 (1), Hak cipta hendaklah terletak hak mula-mulanya pada penciptanya. Hak cipta kekal kepada penulis sehingga hak ini dipindah atau dilesenkan kepada pihak lain melalui Perjanjian bertulis. 2. Saudara boleh mencetak sendiri buku tetapi perlulah mendapat izin Kementerian Dalam Negeri terlebih dahulu. Selain itu, saudara perlu juga akur kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). 3. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi menganjurkan sebarang kursus tentang percetakan. Untuk sebarang kursus percetakan saudara bolehlah berhubung dengan Dawama Sdn. Bhd. dan juga Jabatan Percetakan Negara, Malaysia. | Lain-lain | 20.05.2009 |
Minta Tanya, adakah kesalahan tatabahasa? 1) Reka cipta adalah satu proses yang boleh...... 2) ... dikawal ketat oleh polis marine. 3) Pelbagai iktibar dilakukan untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar-pelajar. 4) Cara mengguna pisau adalah dengan memegang... Terima kasih! | 1. Reka cipta ialah satu proses yang boleh... 2. ...dikawal ketat oleh polis marin. 3. Penggunaan perkataan "iktibar" tidak sesuai; boleh diganti dengan perkataan yang lain seperti "langkah", "cara" dan lain-lain. 4. Cara menggunakan pisau adalah dengan memegang.. | Tatabahasa | 18.03.2013 |
Saya perlukan maklumat berkaitan: 1. Panduan penulisan buku 2. Hak cipta dan royalti. 3. Penyediaan manuskrip. 4. Proses penerbitan. | Soalan pertama saudara, iaitu mengenai panduan penulisan buku sebenarnya kurang jelas dan ia terlalu umum. Saudara perlu menyatakan secara khusus sama ada panduan penulisan karya fiksyen atau karya ilmiah. Walau bagaimanapun, apa yang boleh saya jelaskan ialah, sesebuah buku itu mestilah mengandungi binaan kulit buku yang terdiri daripada kulit depan, kulit belakang dan tulang. Binaan buku juga mengandungi bahagian awalan (contoh: hlm separa judul, hlm judul, hlm hak cipta, dedikasi, hlm kandungan, prakata), bahagian teks (pendahuluan/bab), dan bahagian akhiran ( lampiran, glosari, bibliografi, indeks, biodata penulis). Bagi soalan kedua, iaitu hak cipta dan royalti, saudara boleh membaca buku Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2010 atau menghubungi Ketua Bahagian Harta Intelek, DBP, Puan Asiah Daud di alamat e-mel asiah2@dbp.gov.my. Bagi soalan ketiga, iaitu penyediaan manuskrip, manuskrip hendaklah ditaip menggunakan perisian Microsoft Word dengan jarak langkau dua baris. Bahagikan manuskrip kepada beberapa fail yang mengandungi 30 halaman. Setiap manuskrip hendaklah dijilid kemas dan diberi judul pada bahagian kulit. Soalan keempat, iaitu proses penerbitan, ia terdiri daripada beberapa proses utama: Perancangan judul (perolehan manuskrip, penulisan), Editorial (penilaian, penyuntingan substantif, penyuntingan kopi, penyediaan manuskrip bersih), Pracetak ( reka letak, atur huruf, semakan pruf, naskhah sedia kamera), Percetakan, dan Penjualan/Pemasaran.Terima kasih. | Lain-lain | 13.10.2010 |
SAYA NAK MENERBITKAN SEBUAH BUKU DAN BAGAIMANA NAK MENDAPATKAN REKACIPTA AGAR TAK DITIRU PIHAK LAIN? | Hak cipta diperoleh secara automatik oleh penulis apabila bahannya diterbitkan. Jika ditiru oleh pihak lain, maka orang itu telah melakukan pelanggaran hak cipta dan dia boleh dikenakan denda jika terbukti bersalah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Akta HakCipta 1987 (Akta 332) & Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah. | Lain-lain | 29.07.2009 |