Maksud yang tepat bagi perkataan-perkataan dibawah:- a.brochure b.pamplet c.banner d.catalog e.flyers f.bunting | a. Brochure (Brosur) : Buku kecil atau risalah yang diterbitkan bagi meningkatkan imej sesuatu organisasi atau kumpulan. Biasanya, buku ini mempunyai halaman hadapan yang menarik. b. pamphlet : risalah c. banner - kain rentang iaitu jaluran kain yang panjang, yang direntang melintang atau sepanjang jalan. d. catalog - katalog iaitu senarai atau daftar nama buku, barang dll dlm susunan tertentu (kadang-kadang terdapat harganya sekali). e. flyer - risalah iaitu surat edaran (siaran): siaran itu dikeluarkan dgn rasmi melalui akhbar-akhbar f. bunting - gegantung iaitu (rangkaian) jalur kain dsb yg digunakan utk menghebahkan sesuatu kegiatan, produk dll. Untuk makluman, saudara boleh terus membuat carian kata pada ruangan carian spesifik pada paparan utama semasa saudara melayari laman web DBP. Ini merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh DBP bagi membantu pengguna membuat carian kata dengan cepat dan mudah. Terima kasih. | Istilah | 17.02.2009 |
maksud perkataan "daftar" atau "pendaftaran" | Daftar ialah susunan (nama, barang, dll) yg ditulis menurut urutan angka atau abjad, atau senarai, manakala pendaftaran ialah perihal memasukkan (mencatatkan) dlm daftar | Makna | 02.09.2007 |
MAKSUD DAFTAR | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, daftar ialah susunan (nama, barang, dll) yg ditulis menurut urutan angka atau abjad, senarai. Untuk mengetahui makna sesuatu perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 14.04.2009 |
Dalam Daftar Ejaan Rumi-Jawi terbitan 1998 – 1999 perkataan parti dieja pa-alif-ra-ta-ya (ada alif). Dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (2008) perkataan parti dieja pa-ra-ta-ya (alif dipecat). 1. Ejaan manakah yang betul? 2. Apakah dasar perubahan itu? Terima kasih. | Seperti dalam Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi ejaan suku kata tertutup ke atas tidak dilambangkan dengan huruf alif dalam suku kata tersebut seperti yang ada dalam ejaan parti. Huruf alif dalam suku kata tertutup ke atas lazimnya digunakan bagi membezakan dua perkataan yang berlainan. Contohnya dan (sempat) dieja dal nun, manakala dan (kata sendi nama) dieja dal alif nun. | Ejaan | 14.04.2012 |
Assalamualaikum Saya ada 2 pertanyaan mengenai kata nama khas.Adakah nama penyakit seperti kanser kaposi sarkoma dan kandidiasis adalah kata nama khas? Kedua-buku daftra kata ejaan jawi- rumi yang berwarna kuning tersebut cetakan ke berapa? | Nama penyakit seperti kanser kaposi sarkoma dan kandidiasis bukan kata nama khas, Contoh lain demam denggi, batuk kering, demam kepialu ditulis dengan huruf kecil. Buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi merupakan cetakan pertama tahun 2001. | Ejaan | 12.03.2010 |
Apakah ejaan yang betul bagi 'kereta api'? 'Kereta api' atau 'keretapi'. Kebanyakan nama stesen kereta api di Malaysia menggunakan nama seperti Stesen Keretapi Gemas, Stesen Keretapi Pasir Mas, dan sebagainya. Setahu saya ejaan 'keretapi' adalah ejaan lama. | kereta api- dieja terpisah. Tetapi apabila sudah didaftarkan sebelum penyelarasan sistem ejaan baharu, Tetapi jika nama khas, apatah lagi nama yang digazetkan, walaupun ejaannya tidak mengikut Sistem Ejaan Rumi, hendaklah ditulis mengikut ejaannya yang telah digazetkan. Contohnya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Percanggahan ejaan berlaku disebabkan oleh faktor sejarah bahasa. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Kemudian, pada tahun 1975, DBP menerbitkan buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975) dan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Nama Keretapi Tanah Melayu (sejak 1948) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sejak Feb 1972) wujud sebelum 16 Ogos 1972, oleh itu tidak terikat dengan Sistem Ejaan Rumi Baharu BM. Nama-nama yang wujud terkemudian tetapi mengekalkan ejaan Bandaraya, misalnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Ipoh dll mungkin bertujuan untuk penyelarasan nama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sama juga dengan situasi nama stesen kereta api di Malaysia. | Ejaan | 14.09.2012 |
Ejaan dalam Daftar Kata BM: sallallahualaihiwasallam. Dalam Kamus Dewan E4: Sallallahualaihiwasallam. Manakah yang betul? Singkatannya pula saw atau SAW? | Sallallahualaihiwasallam ialah nama khas yang diambil daripada bahasa Arab, oleh itu ejaannya dimulakan dengan huruf besar dan kependekannya SAW. | Tatabahasa | 25.08.2011 |
Salam sejahtera, Saya rujuk jawapan yang diberikan pihak DBP, saya kutip: ["Hitam Putih" ialah istilah dan daftar istilah bahasa Melayu tidak memberi kelas kata setiap entri.]. Soalan saya: 1) Adakah ini bererti akan ada istilah dalam bahasa Melayu yang tidak dikenalpasti kelas katanya? 2) Sekiranya istilah itu dipinjam dari bahasa Inggeris (dalam konteks perkataan 'hitam putih'), dan asalnya mempunyai kelas kata dalam bahasa Inggeris, adakah ini bermakna bila menjadi istilah dalam bahasa Melayu, kelas kata asalnya tidak sama dalam konteks penggunaan dalam b.Melayu? Jika tidak sama, adakah bermakna ia menjadi kelas kata yang lain? 3) Apakah masalah/kesulitan yang DBP hadapi untuk memberikan kelas kata pada istilah yang tidak diberikan kelas kata dalam daftar istilah? Terima kasih. | Seperti yang kami jelaskan sebelum ini, Daftar Istilah Bahasa Melayu tidak memberi kelas kata bagi istilah yang dibina termasuklah istilah yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris. Lazimnya Istilah Bahasa Melayu terdiri daripada kata nama dan kata kerja bergantung pada konsep istilah tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan Dr. Fadilah binti Jasmani, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur atau e-mel fadilah@dbp.gov.my. | Istilah | 09.03.2012 |
Kemusykilan nama taman-taman perumahan, contohnya Taman Seri Gombak (mengikut daftar asal pemilik projek Hillcrest Sdn Bhd), kini lebih dikenali dengan Taman Sri Gombak (kebanyakan tanda awam dieja sebegini dengan meluas). Menurut Kamus Dewan, kedua-dua perkataan mempunyai perbezaan makna. Mohon pendapat, perbezaan perkataan 'SERI' dan 'SRI', yang manakah lebih sesuai digunakan? | Perkataan yang betul ialah seri yang bermaksud cahaya semarak atau kemuliaan. Tidak ada perkataan sri kecuali dalam gelaran Tan Sri dan Dato' Sri (bagi negeri Pahang). Dalam hal penamaan tempat kita perlu merujuk pihak berkuasa tempatan yang berkaitan kerana nama tempat telah diwartakan sedemikian. | Ejaan | 31.05.2012 |
Salam... Apakah kata ganti nama yang paling sesuai untuk perkataan Islami. Ini kerana beberapa atikel menggunakan perkataan tersebut ada dituliskan namun tiada kata seerti tersenarai di dalam sistem DBP. Adakah wajar perkataan ini terus digunakan jika belum diwartakan dalam daftar kata bahasa melayu. Sekian, terima kasih. | Perkataan Islami tidak terdapat dalam Kamus Dewan atau mana-mana sumber terbitan DBP. Mohon saudara nyatakan dalam artikel mana atau bagaimana penggunaan perkataan ini dalam artikel yang saudara baca bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam perkara ini. | Istilah | 27.06.2010 |