Salam sejahtera, 1.Buah-buahan dan sayur-sayuran berkhasiat dan bervitamin. 2.Buah-buahan dan sayur-sayuran berkhasiat untuk manusia. 3.Buah-buahan dan sayur-sayuran berkhasiat kepada manusia. 4.Buah-buahan dan sayur-sayuran berkhasiat kepada kita. Adakah ayat-ayat ini betul?Terima kasih. | Semua contoh ayat yang diberikan betul dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 04.07.2024 |
Salam sejahtera. Antara berikut, yang mana lebih tepat digunakan dalam ayat? Mengapa? 1. Saya dan ibu bapa / Ibu bapa dan saya 2. Saya dan Fatimah / Fatimah dan saya | Keempat-empat contoh yang diberikan boleh digunakan. | Tatabahasa | 20.06.2025 |
Assalamualaikum. Apakah perbezaan penggunaan "antara ...dengan" dan "antara...dan"? Adakah ayat yang melibatkan 2 perkara menggunakan "antara ... dengan"? Yang manakah ayat yang betul: (1) Persahabatan antara Ali dengan Abu...(2)Persahabatan antara Ali dan Abu... Terima kasih. | Penggunaan ayat betul "antara ...dengan...". Contohnya, “Persahabatan antara Ali dengan Abu …” Untuk makluman, perkataan “antara” ialah kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Kata sendi nama “antara” boleh digunakan pada awal ayat bagi menerangkan: · Perbandingan · Merujuk dua atau beberapa orang, benda, keadaan dan sebagainya yang dibuat perbandingan · Terbatas kepada · Sementara · Kira-kira atau lebih kurang Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 284 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 114. | Tatabahasa | 28.05.2025 |
Perbezaan “menyakiti hati” dan menyakitkan hati”? | Menurut Kamus Dewan Perdana, menyakiti bermaksud menyebabkan seseorang berasa sakit dan berkenaan dengan kata-kata dan perbuatan menyebabkan hati dan perasaan berasa sakit. Menyakitkan adalah menjadikan atau menimbulkan rasa sakit pada sesuatu. Menyakitkan hati bermaksud menyebabkan seseorang berasa sangat tersinggung, geram dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara atau hal. Oleh yang demikian, menyakiti hati dan menyakitkan hati membawa maksud yang sama dan boleh digunakan mengikut konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1932-1933. | Tatabahasa | 04.12.2024 |
Apa beza baharu dan baru | Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "Dia baru sampai dari kampung." dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "DBP menerbitkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu". | Ejaan | 20.04.2025 |
Apakah beza baharu dan baru? | Baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanpun, buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Untuk menghasilkan penggunaan yang gramtis, baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "Dia baru sampai dari kampung." dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "DBP menerbitkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu". | Ejaan | 20.04.2025 |
Manakah yang betul, dan perbezaan antara “pesolek” dan “penyolek”? | Salam sejahtera. Kedua-dua perkataan tersebut betul dan mempunyai makna yang berbeza mengikut konteks. Pesolek ialah orang yang suka bersolek, manakala penyolek ialah orang yang menyolek seseorang. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya yang menjalankan amanah, Fauziah binti Hassan | Makna | 13.03.2025 |
Selamat sejahtera, mohon pencerahan tentang 2 soalan: 1) Apakah beza konkrit "Hingga" dan "Sehingga" ? Adakah Hingga hanya untuk batasan had jelas seperti masa dan harga. Dan Sehingga untuk batasan seperti apa? 2) Apakah padanan perkataan BM yang sesuai untuk "Browse" - contohnya seperti "Browse our products". Adakah "Lihat produk kami" atau ada padanan lain? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 775, sehingga merupakan kata sendi nama yang bermaksud sampai menjadi atau sampai pada sesuatu keadaan; hingga; hinggakan. Oleh itu, hingga dan sehingga mendukung makna yang sama. Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat. Contoh: Pegawai itu berjaga hingga pagi. Manakala, sehingga digunakan sama maksud dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Contoh: Kami akan bersama-sama sehingga akhir hayat. | Tatabahasa | 11.07.2024 |
Adakah perkataan adab dan peradaban membawa maksud yang sama?sekiranya tidak, apakah perbezaan keduanya. | Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk memperoleh makna dan maklumat berkaitan adab dan peradaban secara ringkas. Untuk memperoleh perbezaan antara kedua-duanya, sila ikuti pengajian Falsafah dan Tamadun atau Sosiologi dan Antropologi untuk mendalami falsafah dan konsep yang terkandung di dalamnya secara terperinci. | Makna | 11.12.2024 |
Beribu orang berkunjung ke pameran sains dan teknologi. Adakah penggunaan ayat di atas betul atau salah? | Ayat yang betul ialah “Beribu orang berkunjung ke pameran sains dan teknologi” dan “Beribu-ribu orang berkunjung ke pameran sains dan teknologi”. | Tatabahasa | 21.07.2024 |