salam sejahtera tuan. Soalan berikut patut menggunakan 'dari' atau daripada': 1. Dia baru pulang dari / daripada lawatan ke Jepun. sekian, terima kasih | Yang betul ialah Dia baru pulang dari lawatan ke Jepun. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, waktu dan masa, manakala kata sendi nama "daripada" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca, sumber atau asal kejadian dan sebagainya. | Tatabahasa | 17.02.2012 |
Saudara, Saya harap saudara dapat membantu saya tentang fonologi dalam Bahasa Melayu. 1. Sebutan yang betul bagi perkataan 'elak' selepas ditambah imbuhan 'meng' disebut 'me+nge+lak' atau 'meng+e+lak'. 2. Bagaimana pula contoh-contoh kes yang sama bagi perkataan akar atau dasar lain yang bermula dengan vokal. Bantuan yang dihulurkan saya rakamkan ribuan terima kasih. | Sebutan yang betul ialah me.nge.lak dan me.nga.rah. Untuk makluman, kata terbitan dengan awalan meN- atau peN- (termasuk yang digunakan sebagai unsur apitan) dengan kata dasarnya yang bermula dengan bunyi vokal atau diftong dilafazkan menurut cara pemecahan suku kata ejaan juga. Contohnya: me.nga.rah, me.nge.dar, me.ngi.kut, pe.nga.rah, pe.nge.dar, pe.ngi.kut. | Ejaan | 19.09.2012 |