Benarkah cara menulis kata ganti diri bagi Tuhan adalah begini, kepada-Mu, pada-Nya, insya-Allah, masya-Allah dan sebagainya? Adakah salah jika tidak diletakkan sempang? | Ejaan yang betul ialah kepada-Mu, pada-Nya, insya-Allah dan masya-Allah. Salah dari aspek ejaan jika tidak meletak tanda sempang. | Ejaan | 29.10.2011 |
bagaimana cara nya untuk memohon biasiswa dari DBP | Untuk makluman puan pada masa ini DBP tidak lagi menyediakan kemudahan biasiswa untuk pengajian peringkat ijazah pertama. | Lain-lain | 07.08.2012 |
saya ingin membuat pengesahan ayat pada papan iklan untuk kilang tempat saya bekerja. Tujuannya untuk mohon lesen dari majlis bandaraya johor bahru. ayat nya ... ( kilang membuat tapak barang elektronik ) dalam bahasa inggeris STAMPING. sesuai atau tidak. Kalau tidak mohon DBP cadangkan nama yang sesuai | Kami cadangkan keterangan aktiviti syarikat tuan ialah "Kilang Acuan Barangan Elektronik". | Tatabahasa | 20.04.2012 |
Saya mendapat tahu bahawa Encik Abdul Jalil Haji Anuar dari DBP pernah membentangkan kertas kerja tentang perkataan ianya di sebuah universiti pada tahun 1999. Menurut beliau, berdasarkan data korpus, kata tersebut (ianya) semestinya telah tercatat dalam Kamus Dewan kerana kata tersebut telah digunakan dan terdapat dalam karya klasik. Mohon penjelasan. | Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan 'nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh disekalikan/digabungkan penggunaannya. | Tatabahasa | 19.09.2009 |
Tuan/Puan/Cik, Saya ingin meminta pendapat pakar-pakar di DBP tentang ejaan Jawi perkataan Inggeris "mingle" (bunyi fonetik: ˈmɪŋ.ɡəl). Kawan dari Abu Dhabi berkata bahawa ejaan nya adalah مينفل. Tetapi bunyi "ˈmɪŋ.ɡəl" dalam ejaan Jawi menggunakan huruf-huruf ڠ (nga) dan ڬ (ga) yang unik dalam abjad Jawi; misalnya "minggal" dieja ميڠڬل. Pada pendapat pihak DBP, apakah ejaan yang betul? | Ejaan Jawi yang betul bagi perkataan mingle ialah ميڠڬل. | Ejaan | 25.12.2019 |
Mohon pihak DBP memutuskan tentang penggunaan kata ganti nama "ia" secepat mungkin. Banyak pihak sedang "berkelahi" tentang kata ini. Ketepikan soal politik, perasaan "lebih pandai daripada yang lain" dan sebagainya. Buatlah suatu ketetapan dan minta semua orang (yang menyokong atau tidak menyokong) menghormati keputusan itu. Barulah Bahasa kita dipandang mulia dan dihormati orang. | Apakah isu yang dikaitkan dengan kata "ia", adakah isu kata ganti diri atau isu penggunaan "ia" kepada bukan manusia. Dalam hal ini buku Tatabahasa Dewan telah menjelaskan pada halaman 104, kata ganti nama diri orang ketiga termasuklah ia, dia, beliau mereka dan nya. Dari aspek makna, Kamus Dewan menakrifkan "ia" sebagai kata ganti nama diri orang ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. | Tatabahasa | 13.07.2012 |
Tuan/Puan, Tolong beri nasihat sama ada PENGGUNAAN "DI" DAN "DI ATAS" dalam ayat-ayat berikut (saya cari dari korpus DBP) masih dikira betul dari segi tatabahasa sekarang? 1.Strategik merupakan satu daripada aspek yang penting dalam menentukan kejayaan usahawan untuk mengembangkan perniagaan tersebut di masa hadapan. 2.Kertas So'alan ini akan termasok: (a) so'alan2 di-atas buku2 yang di-tetapkan. (243) 3.Lampu2 letrik yang terpasang di-atas kepala-nya itu pun terasa bagiru malap sa-kali, sa-hingga tidak dapat menolong chahaya yang menerpa masok ... 4.hari sa-makin gelap bintang2 mulai timbul berkelip2 di-atas langit, udara sejok mulai menyelaputi rumah yang baharu sa-bentar di-alami oleh keganasan tentera facis-timor itu. 5. Dia berada di atas kapal/ Dia berada di dalam kapal? Sekian,terima kasih. | Untuk mendapatkan contoh penggunaan ayat yang tepat hendaklah merujuk buku Tatabahasa Dewan atau buku Tatabahasa Dewan (Edisi Sekolah Rendah). Korpus ialah rakaman data termasuk data lama dan mengekalkan bentuk kata dan ayat yang digunakan. Penggunaan ejaan, kata sendi nama "di" dan frasa "di atas" dalam contoh yang diberikan tidak tepat. Ejaan dan ayat dalam contoh yang diberi telah diperbaiki: 1. Strategik merupakan satu daripada aspek yang penting dalam menentukan kejayaan usahawan untuk mengembangkan perniagaan tersebut pada masa hadapan. 2. Kertas Soalan ini akan mengandungi: (a) soalan daripada buku-buku yang ditetapkan. 3. Lampu elektrik yang terpasang di atas kepalanya itu pun terasa begitu malap sekali, sehingga tidak dapat menolong chahaya yang menerpa masuk. 4. Hari semakin gelap bintang mulai berkelip-kelip di udara. Udara sejuk mulai menyelaputi rumah yang baharu sebentar diserang oleh tentera facis-timur itu. 5. Dia berada di dalam kapal. | Tatabahasa | 17.08.2015 |
Salam 1Malaysia dan selamat sejahtera, selaku munsyi saya sering menemukan KKTttr 'berleluasa', misalnya kes ragut berleluasa, gejala hedonisme berleluasa dan sebagainya. Pada pengamatan saya, kata kerja ini disalahgunakan dari aspek morfologi dan semantik atau menyalahi hukum morfologi dan semantik bahasa Melayu. Yang betul ialah jenayah ragut berlaku dengan leluasanya dan gejala hedonisme berlaku dengan leluasanya. Hal ini saya katakan demikian kerana kata sendi nama 'dengan' seharusnya diikuti kata nama, yakni leluasa + nya, menjadi kata nama. Soalnya, adakah rumus tersebut betul? Sekian, terima kasih. Kay Seven Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Kami menerima dan bersetuju dengan pandangan tuan, ayat yang betul "jenayah ragut berlaku dengan leluasanya" dan "gejala hedonisme berlaku dengan leluasanya". Kedua-dua ayat ini dibina mengikut rumus yang betul. | Tatabahasa | 20.12.2016 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Apakah perbezaan/ cara penggunaan yang betul bagi kata - kata di bawah? 1) Di / Pada 2) Dalam / Di dalam 3) Antara / Di antara 4) Dari / Daripada 5) Ialah / Adalah 6) Memerikan / Memerihalkan Terima kasih didahulukan. | Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Kata sendi nama dalam hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan.Frasa sendi nama di antara digunakan apabila kata antara berfungsi sebagai kata nama. Frasa sendi nama di antara hanya dapat digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: 1. Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya 2. Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah... 3. Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. 4. Kata sendi nama antara boleh juga diikuti oleh bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh, seribu dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, dan kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, ketiga-tiga, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu jauh perbezaannya. 5. Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama diri seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara mereka, banyak persamaannya. Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama daripada hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan.Kata ialah dan adalah merupakan kata pemeri. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, memerihalkan bermaksud mengisahkan, menceritakan, menyatakan (tentang sesuatu) dengan jelas,menerangkan, menghuraikan. Memerikan bermaksud 1. mengatakan, menceritakan, mengisahkan, menggambarkan (sesuatu hal) 2. menerangkan, menghuraikan, menjelaskan; | Tatabahasa | 08.07.2016 |
boleh tak tolong perbetulkan puisi yang saya buat ini? aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya dibawah sinaran cahaya bulan dibawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakamlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahayasesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini... bantuan dari pihak tuan amat saya hargai... terima kasih | aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya di bawah sinaran cahaya bulan di bawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakanlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahaya sesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini Ulasan: Secara umum puisi yang dihasilkan oleh adik baik dan adik harus terus menulis lagi untuk memantapkan gaya penulisan. Selain itu, adik boleh merujuk atau membaca buku-buku puisi untuk menghayati dan mempelajari gaya penulis seseorang penyair. DBP berharap adik terus menulis. Sekian terima kasih.
| Lain-lain | 20.12.2008 |