bolehkah "dengan menggunakan" diguna bersama? contohnya: a) Emak memotong daging dengan menggunakan pisau. b) Emak memotong daging dengan pisau. c) Emak memotong daging menggunakan pisau. ayat manakah yang betul? | Tuan, Rangkai kata “dengan menggunakan” boleh digunakan bersama-sama kerana perkataan “dengan” dalam contoh ayat yang diberikan merupakan kata sendi yang membawa maksud memakai atau menggunakan, iaitu sebagai alat. Sehubungan dengan itu, ketiga-tiga contoh ayat betul. | Tatabahasa | 15.04.2019 |
Salam 1 Malaysia 1. Ali jatuh sakit kerana dia bermain bola (pada hari hujan/semasa hujan). 2. Aiman menghantar emel kepada kawannya (dengan/menggunakan/dengan melayari/melalui) 3. Saya menggunakan mesin pencetak untuk mencetak gambar yang ditangkap (oleh/dengan/menggunakan) kamera digital. 4. Susanti memakai sari yang (dihadiahkan/dihadiahi) oleh ibunya. 5. Adakah "oleh" perlu diikuti dengan objek hidup? 6. Saya berenang (di dalam/di) air Terima kasih. | 1. Ali jatuh sakit kerana dia bermain bola semasa hujan. 2. Aiman menghantar e-mel kepada kawannya melalui ... 3. Saya menggunakan mesin pencetak untuk mencetak gambar yang ditangkap dengan/menggunakan kamera digital. 4. Susanti memakai sari yang dihadiahkan oleh ibunya. 5. Kata sendi nama oleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa beberapa maksud. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 283. 6. Saya berenang di dalam air. | Tatabahasa | 02.10.2012 |
saya agak keliru dengan penggunaan kata sendi nama - dengan. merujuk tatabahasa dewan m/s 280 dengtan bermaksud memakai atau menggunakan. Oleh itu, apabila kita menggunakan dengan, kita tidak akan bubuh perkataan menggunakan selepas perkataan dengan kerana dianggap lewah. Tetapi, apabila dengan berfungsi sebagai kata hubung keterangan cara (m/s: 518) Bolehkah kita gugurkan kata kerja selepas dengan Contoh: 1. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api Pemuda itu datang dengan kereta api 2. Dia membunuh ular itu dengan menggunakan buluh Dia membunuh gular itu dengan buluh Selain kata sendi nama "dengan" dan "untuk", apakah kata yang juga mempunyai peranan sebagai kata sendi nama dan kata hubung? | Sekiranya ayat tersebut ayat tunggal, iaitu bukan ayat majmuk, kedua-dua boleh digunakan. Contoh: 1. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api 2. Pemuda itu datang dengan kereta api. Tuan, apabila perkataan "dengan" berfungsi sebagai kata hubung keterangan cara, iaitu menghubungkan 2 ayat tunggal menjadi ayat majmuk, maka kata kerja selepas perkataan "dengan" (menggunakan) tidak boleh digugurkan. Contoh: Dia membunuh ular itu dengan menggunakan buluh. ( Dia membunuh ular itu.) + (Dia menggunakan buluh.) | Tatabahasa | 27.05.2015 |
Salam sejahtera, tuan. 1. Saya menghantar emel kepada kawan saya (dengan/menggunakan/dengan melayari/melalui) internet. 2. Perkataan "tiba", "sampai" dan "datang" diikuti dengan perkataan "di" atau "ke"? 3. Tidak lama kemudian, kereta polis pun (sampai/tiba/datang). 4. Saya berasa terkejut (dan/lalu) cepat masuk ke dalam rumah. 5. Pencuri itu (berasa/-) takut lalu terjatuh dari bumbung rumah jiran. Adakah perkataan "berasa" itu penting? Apakah perbezaan antara perkataan "berasa" dan "rasa"? 6. kakak minum teh di dalam rumah atau kafe? / kaka minum teh di dalam rumah atau di dalam kafe? 7. walalupun saya berenang di atas permukaan air, tetapi saya harus menulis "saya berenang di dalam air"? 8. Saya mencari maklumat DI DALAM BILIK menggunakan komputer pada setiap hari. / Saya mencari maklumat menggunakan komputer DI DALAM BILIK pada setiap hari. 9. Adakah turutan nama(N), aktiviti(A), tempat(T), benda(B) dan keterangan (K) itu penting? contohnya, saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok pada hari Ahad yang lalu. Terima kasih | 1. Saya menghantar emel kepada kawan saya. 2. Perkataan tiba/sampai/datang + di/ke bergantung pada konteks ayat tersebut. Contohnya apabila kereta api tiba di stesen itu ramai penumpang yg turun dan mereka sedia menerima sebarang bahaya yang akan tiba. 3. Tidak lama kemudian, kereta polis pun sampai/tiba/datang. 4. Saya berasa terkejut lalu cepat masuk ke dalam rumah. 5. Pencuri itu takut lalu terjatuh dari bumbung rumah jiran. Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=rasa dan http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=berasa untuk melihat perbezaan makna rasa dan berasa. 6. Kakak minum teh di dalam rumah atau di dalam kafe. 7. Walalupun saya berenang di dalam air. 8. Saya mencari maklumat menggunakan komputer DI DALAM BILIK pada setiap hari. 9. Dalam pembentukan ayat pola yang ada ialah Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Sendi Nama dan Frasa Nama + Frasa Adjektif. Walau bagaimanapun pola ini boleh berubah dalam ayat songsang. Contohnya ayat saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok pada hari Ahad yang lalu dan ayat pada hari Ahad yang lalu saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok, kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 03.10.2012 |
Salam sejahtera. Adakah perkataan video di bawah ini betul? Dia merakamkan persembahan dengan menggunakan video. Atau pun lebih sesuai ialah... Dia merakamkan persembahan dengan menggunakan alat video. Terima kasih. | Video: alat untuk merakamkan dan menayangkan filem dengan menggunakan pita video (disalurkan melalui peti televisyen); Tidak perlu menambah perkataan "alat" untuk video kerana makna video itu sendiri merupakan satu alat. | Tatabahasa | 02.01.2020 |
Ali tangkap gambar ibunya dengan menggunakan kamera Ali merakam gambar ibunya dengan meggunakan kamera Ali mengambik gambar ibunya dengan menggunakan kamera Yang mana betul? Tangkap, rakam, atau ambil? | Frasa yang selalu digunakan ialah menangkap gambar atau mengambil gambar. Jika hendak menggunakan frasa merakam gambar, frasa yang tepat ialah merakamkan gambar. Namun demikian, perkataan merakamkan lebih sesuai digunakan untuk frasa merakamkan video. Perkataan merakamkan lebih sesuai untuk video kerana video biasanya mempunyai bunyi dan gambar. Oleh itu, ayat yang betul ialah Ali menangkap gambar ibunya dengan menggunakan kamera, Ali mengambil gambar ibunya dengan menggunakan kamera.
| Lain-lain | 02.11.2020 |
Panduan pelaksanaan pdpr menggunakan routine tools atau panduan pelaksanaan pdpr dengan menggunakan routine tools sekiranya hendak menggunakan tajuk ini "Panduan komprehensif penggunaan routine tools", kalau nak masukkan juga perkataan pdpr, apakah bentuk ayat yang lebih sesuai? Terima kasih | Ayat yang betul: 1. Panduan pelaksanaan konsep pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan menggunakan peralatan rutin. 2. Panduan komprehensif konsep pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan menggunakan peralatan rutn. | Tatabahasa | 24.06.2021 |
salam Kita akan mendapat pelbagai manfaat -dalam- atau -dengan- menggunakan komputer. | Perkataan yang sesuai ialah dengan. | Tatabahasa | 27.07.2010 |
dengan menggunakan digunakan bersama atau pilih antara satu?contohnya,dengan dan menggunakan digunakan berasingan.Terima kasih | Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.) ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.) iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.) Berdasarkan penerangan pada nombor iii di atas, perkataan "dengan" tidak perlu digunakan bersama-sama dengan "menggunakan" keranan telah membawa maksud "menggunakan". | Tatabahasa | 02.03.2012 |
Salam sejahtera. Adakah perkataan video di bawah ini betul? Dia merakamkan persembahan dengan menggunakan video. Atau pun lebih sesuai ialah... Dia merakamkan persembahan dengan menggunakan alat video. Terima kasih. | Menurut data kami, rangkai kata yang betul ialah alat video | Lain-lain | 14.01.2020 |