| Bagaimanakah penggunaan 'berapa' dan 'betapa' berbeza? Bolehkah 'how easily can you solve it' diterjemahkan sebagai 'berapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya?' atau adakah lebih betul jika kita menggunakan 'betapa'? Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan berapa bermaksud 1. kata tanya untuk menanyakan jumlah 2, sebanyak mana, sebesar apa 3. bagaimana, betapa, Perkataan betapa bermaksud 1. peri, alangkah 2. sesuai dengan,seperti 3. bagaimana,dengan cara apa. Ayat yang dikemukakan lebih sesuai diterjemahkan sebagai ' betapa mudahkah anda dapat menyelesaikannya? | Tatabahasa | 12.06.2008 |
| Berdasarkan halaman 57 Pedoman Pembentukan Ejaan tentang penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya". Mohon pengesahan, terima kasih. | Penggunaan tanda sempang untuk merangkaikan apa-apa kata lain yang dieja dalam huruf besar dengan apa-apa bentuk kata yang dalam huruf kecil, atau sebaliknya. Penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya" adalah betul. | Tatabahasa | 27.01.2023 |
| Adakah betul padanan bagi display dalam ayat di bawah ini "pempameranan" kerana semakan kami tidak menjumpai padanan sedemikian. Bagi perkataan "menyebut harga atau disebut harga" adakah ia sepatutnya dinyatakan sebagai "menyebutkan harga atau disebutkan harga"? Adakah imbuhan "-kan" perlu ditambahkan? Display of prices or charges to include government taxes, etc. 15. (1) Where in the course of a trade or business prescribed by the Minister, any person displays, advertises, publishes or quotes or causes to be displayed, advertised, published or quoted, in any manner, the prices of any goods or charges for any services, such person shall include in such prices or charges— Pempameranan harga atau caj termasuk cukai kerajaan, dsb. 15. (1) Jika dalam penjalanan perdagangan atau perniagaan yang ditetapkan oleh Menteri, mana-mana orang mempamerkan, mengiklankan, menyiarkan atau menyebut atau menyebabkan untuk dipamerkan, diiklankan, disiarkan atau disebut harga apa-apa barangan atau caj bagi apa-apa perkhidmatan, mengikut apa-apa cara, orang itu hendaklah memasukkan dalam harga atau caj itu— | Cadangan padanan terjemahan ialah Jika dalam keadaan apabila sesuatu perdagangan atau perniagaan yang telah ditetapkan oleh Menteri, mana-mana orang yang mempamerkan, mengiklankan atau menyebut atau menyebabkan dipamer, diiklan, disiar atau disebut dengan apa-apa cara, maka harga bagi apa-apa barangan atau caj bagi mana-mana perkhidmatan, hendaklah dimasukkan dalam harga atau caj tersebut. Untuk makluman puan, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan terjemahan. Puan boleh mendapatkan khidmat Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM) melalui telefon 03-92262506/0195448704 atau e-mel: terjemah1@gmail.com atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk membantu pihak puan.
| Penyemakan dan penterjemahan | 30.07.2021 |
| Perkataan “seal” dipadankan dengan“melak”. Kami bercadang untuk menggunakan padanan “mengelak”. Bolehkah padanan ini digunakan dan adakah ia teratur dari sudut tatabahasa? Sebagai contoh dalam konteks ini: (1) Jika seorang pegawai yang diberi kuasa telah mengambil atau selainnya mendapatkan suatu sampel makanan mengikut seksyen 5 Akta bagi maksud analisis fizikal atau kimia, dia hendaklah— (a) membahagikan sampel itu kepada tiga bahagian berasingan dan hendaklah menanda serta melak atau mengikat tiap-tiap bahagian dengan apa-apa cara yang boleh mengikut keadaannya.”. Terima kasih. | Padanan seal dalam bidang undang-undang ialah tutup; materi; mohor; kedap; dan anjing laut bergantung pada konteks penggunaannya. Berdasarkan konteks ayat yang diberi cadangan kami seal diterjemahkan kepada tutup/menutup - Jika seorang pegawai yang diberi kuasa telah mengambil atau selainnya mendapatkan suatu sampel makanan mengikut seksyen 5 Akta bagi maksud analisis fizikal atau kimia, dia hendaklah— (a) membahagikan sampel itu kepada tiga bahagian berasingan dan hendaklah menanda serta menutup atau mengikat tiap-tiap bahagian dengan apa-apa cara yang boleh mengikut keadaannya.
| Istilah | 28.05.2021 |
| Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera, Mohon pencerahan Bahagian Khidmat Nasihat DBP untuk penggunaan perkataan yang betul bagi imbuhan kepada perkataan akar "lak" atau dalam bahasa Inggeris iaitu "seize". Adakah "menglak" atau "mengelak" Struktur ayat adalah seperti berikut: Jika, oleh sebab sifat, saiz atau amaunnya, pemindahan apa-apa dokumen atau artikel tidak boleh dilaksanakan daripada atau melalui akses melalui premis, vesel atau kenderaan, pegawai diberi kuasa boleh dengan apa-apa cara MENGELAK/MENGLAK dokumen atau artikel itu. Sekian, terima kasih. | Kami mencadangkan padanan bahasa Melayu yang lebih sesuai untuk “lak” ialah “sita” atau “rampas”. Padanan ini bergantung pada konteks dan konsep penggunaannya. | Tatabahasa | 19.03.2024 |
| Assalamualaikum wr.wb. dan salam 1Malaysia, Tuan, Saya ada beberapa soalan. 1. Apakah maksud serta perbezaan kata berikut: -Pelan Strategi -Pelan Taktikal -Pelan Operasi -Pelan Tindakan 2. Apakah pula maksud serta perbezaan kata berikut: -Teknik -Cara-cara -Kaedah -Pendekatan 3. Apa pula perbezaan kata: -Rangkai kata -Sari kata -Kota kata 4. Apakah maksud 'keanekaragaman susuk ayat'? Mohon penjelasan dengan segera. Terima kasih. Wassalam Ahmad Nasrun Kudat Sabah 2. | 1. Pelan strategi bermaksud rancangan yg teratur (yg memperhitungkan pelbagai faktor) utk mencapai matlamat atau kejayaan. Pelan taktikal berkaitan dgn taktik yg digunakan utk menjayakan sesuatu rancangan atau mencapai tujuan. Pelan operasi berkait dengan perjalanan atau kegiatan yang dilaksanakan. Pelan tindakan ialah langkah-langkah tindakan yg diambil utk mencapai sesuatu tujuan. 2. Teknik - 1. pengetahuan yg berkaitan dgn pembuatan barang-barang hasil industri (spt jentera, kenderaan, bangunan, dll): kita sekarang hidup dlm zaman ~ dan sains; 2. kaedah mencipta sesuatu hasil seni (muzik, karang-mengarang, dll): ~ melukis sedikit sahaja diajar di sekolah rendah. Cara-cara - 1. berbagai-bagai cara; 2. aturan-aturan, contoh-contoh; 3. upacara. Kaedah - cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yg bersistem atau yg biasa); ~ mengajar cara mengajar (berdasarkan prinsip-prinsip tertentu). Pendekatan - 1. perihal (perbuatan dsb) mendekati atau mendekatkan: ~ diri kpd Allah; 2. kaedah (cara, langkah-langkah, dsb) yg diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas (mengatasi masalah dll): dlm beberapa aspek, mereka terpaksa berbalik semula kpd ~ yg digunakan ketika mereka mula berusaha meningkatkan pembangunan dan kemajuan negara mereka. 3. Rangkai kata ialah kelompok beberapa kata. Sari kata ialah terjemahan dialog dlm filem yg disiarkan serentak dgn tayangan filem berkenaan. Kota kata (yang tepat ialah mengotakan) bermaksud menepati (melaksanakan) janji dll. 4. Keanekaragaman susuk ayat bermaksud bentuk atau susunan ayat yg beraneka ragam. | Istilah | 02.03.2010 |
| Perbezaan penggunaan perkataan antara walau bagaimanapun dengan bagaimana | Bagaimana bermaksud: 1. kata tanya (menanyakan hal), betapa: ~ keadaan budak yg sakit itu sekarang? 2. dgn cara apa, dgn jalan apa: parlimen menjaga dan mengawal ~ wang orang ramai dipungut dan dibelanjakan; ~ juga bagaimanapun; Bagaimanapun bermaksud: biar apa pun yg terjadi; Kedua-dua perkataan tersebut berlainan maknanya dan sudah tentulah cara penggunaannya dalam ayat pun pasti berbeza. | Lain-lain | 21.08.2009 |
| Apakah kesalahan yang terdapat pada ayat di bawah?Mohon penjelasan daripada pihak tuan. 1) Atur cara majlis itu telah berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah. 2) Murid-murid menumpukan perhatian tentang ceramah yang disampaikan. 3) Karnival Bahasa itu akan diadakan pada 25 sehingga 28 Mei 2013. 4) Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Malaysia dan pasukan Chelsea akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Adakah perkataan memukuli dalam ayat di bawah sesuai digunakan?Mengapa? 1) Dia memukuli anjing yang cuba menerkamnya itu dengan sebatang besi. | 1) Majlis itu telah berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah. 2) Murid-murid menumpukan perhatian tentang ceramah yang disampaikan. 3) Karnival Bahasa itu telah diadakan pada 25 sehingga 28 Mei 2013. 4) Perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Malaysia dengan pasukan Chelsea akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. 5) Dia memukul anjing yang cuba menerkamnya itu dengan sebatang besi. Ayat pertama telah dibuang perkataan atur cara dan ayat kedua betul. Sila rujuk Kamus untuk melihat makna perkataan yang digunakan seperti memukul dengan memukuli. Rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk melihat Konteks penggunaan kata sendi nama yang betul. | Tatabahasa | 15.02.2015 |
| Adakah ayat berikut betul dan jika salah sila nyatakan alasannya dan ayat yang betul. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan bersabar menghadapi kanak-kanaka autistik ini dan mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah seperti ini memerlukan banyak perhatian dan ini mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Dari seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisma boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dari semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisma sering terdapat di kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisma. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses pendiagnosan. | Sdr. de miraz, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. berikut diberikan ayat yang telah dibaiki untuk perhatian Sdr. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan sabar menghadapi kanak-kanak autistik ini. Mereka perlu mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai bagi menghadapi masalah seperti ini. Oleh sebab banyak perhatian perlu diberikan kepada kanak-kanak seperti ini ia mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga sendiri anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Daripada seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisme boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi, walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisme sering terdapat dalam kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisme ialah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak yang mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan kanak-kanak yang menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering dijalankan tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses diagnosis. | Tatabahasa | 24.02.2009 |
| Assalamualaikum tuan/ puan, Mohon bertanya, bagaimanakah cara ataupun adakah apa-apa tip, bagi mengenal pasti sama ada konsonan pada satu-satu perkataan itu akan 'tenggelam' ataupun 'kekal wujud' apabila ditambahkan imbuhan di hadapannya. Contoh: 1. cinta = mencintai (huruf 'c' kekal wujud) 2. kagum = mengagumi (huruf 'k' tenggelam) Terima kasih. | Perkataan yang bermula dengan huruf p,t,k dan s akan mengalami pengguguran huruf pertama apabila menerima imbuhan peN- dan meN- seperti pinjam - peminjam, meminjam; tarik - penarik, menarik; korek - pengorek, mengorek; dan sapu - penyapu, menyapu. Perkataan yang bermula dengan huruf c tidak terikat dengan rumus yang tersebut, contohnya cinta - mencintai dan pencinta. | Tatabahasa | 27.02.2014 |