Masa depannya kegelapan setelah terlibat dalam kes jenayah itu. (apakah kesalahan yang terdapat dalam ayat ini?) | Penggunaan imbuhan ke-...-an untuk kata adjektif 'gelap' dalam ayat tersebut kurang tepat, ayat yang tepat ialah Masa depannya gelap setelah terlibat dalam kes jenayah itu. | Tatabahasa | 20.02.2011 |
"undang-undang adat" dan "undang-undang rimba" adakah huruf depannya huruf besar? | Selamat pagi. Huruf awal/depan bagi "undang-undang adat" dan "undang-undang rimba" bergantung kepada ayat tersebut sama ada kata nama khas atau kata am. Contoh undang-undang adat diletak huruf kecil sebab bukan kata nama khas. Jika undang-undang adat perpatih diletak huruf besar, iaitu Undang-undang Adat Perpatih kerana merupakan kata nama khas. | Tatabahasa | 08.09.2016 |
Biasanya perkataan "akan" ini akan dipendekkan dan disambung pada kata adjektif yang di depannya, seperti: i.Wanita itu amat rindukan anaknya. ii. Saya amat sayangkan kamu. Daripada ditiadakan perkataan "akan", adalah lebih baik digantikan dengan perkataan "pada" atau "terhadap" (terutama antara kata diri pertama dan kedua). Mohon diperbetulkan jika ada kekhilafan daripada fakir yang kurang ilmu ini." | Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 20.08.2013 |
Salam dan selamat pagi, Saya nak tanya... Perlukah kita mengulang perkataan di bahagian depannya?Ayat contoh 1: Dia menanam bunga raya, bunga mawar, bunga orkid dan sebagainya. Ayat contoh 2: Dia menghasilkan kerepek ubi, kerepek pisang, kerepek kentang dan lain-lain. Sekian, terima kasih. | Tidak perlu diulangi kata nama tersebut pada setiap kali menyatakan jenisnya yang dinyatakan secara berurutan. | Tatabahasa | 25.01.2013 |
slm.. penggunaan penjodoh bilangan untuk murid,pelajar,pengawas dan sebagainya..perlukah disertakan dengan orang di depannya seperti (beberapa orang pengawas/ beberapa orang murid) atau di tulis begini (beberapa murid,beberapa pengawas,beberapa pekerja) terima kasih | Penggunaan penjodoh bilangan bergantung pada konteks penggunaannya. Lihat perbezaannya dalam ayat berikut: Beberapa orang pengawas sedang bertugas di pintu sekolah dan Penggunaan alat bantu mengajar diharapkan dapat membantu mengatasi rasa bosan para pelajar. | Tatabahasa | 09.03.2012 |
Salam, sy nak tanya..perkataan 'mainan' dan 'permainan' sudah tidak perlu ditambah dengan perkataan 'alat' atau 'barang' di depannya ya?jika dilihat dlm kamus dewan, tidak perlu. Tetapi, jika dicari dalam PRPM, istilah 'alat permainan' terdapat di bahagian takrif bagi perkataan 'gasing'.Jadi, yang manakah adalah betul dan boleh diguna pakai? Terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan mainan dan permainan bermaksud sesuatu yang digunakan untuk bermain. Berdasarkan huraian tersebut kata mainan dan permainan telah membawa maksud alat tersebut, maka tidak perlu lagi kata alat hadir sebelum permainan. Walau bagaimanapun penggunaan frasa alat permainan telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 21.01.2013 |
apakah cara penulisan yang betul apabila merujuk kepada jabatan/agensi/bahagian di bawah kementerian, adakah menggunakan huruf besar di depannya seperti Jabatan/Agensi/Bahagian di bawah Kementerian atau mengguna huruf kecil sahaja. Contoh ayat "Senarai maklumat sedia ada telah diedarkan kepada Jabatan/Agensi/Bahagian di bawah Kementerian untuk tindakan." | Jabatan/agensi/bahagian ialah kata nama khas yang ditulis dengan huruf kecil, kecuali ada frasa yang berkaitan menjadikannya kata nama khas seperti Jabatan Penerbitan dan Bahagian Penguatkuasaan. | Tatabahasa | 17.04.2012 |
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya mengenai perkataan kau, mu dan ku. Adakah perkataan 'kau' boleh disambung bersama kata kerja dibelakang atau di depannya seperti kaumakan dan pergikau? Bagi 'mu' dan 'ku' pula, bolehkan ia bersambung bersama perkataan selepas atau sebelumnya sebagai contoh, kumilikmu? Bagaimana pula dengan kuberikankau? Terima kasih, Wassalam. | W'salam Unsur klitik seperti 'mu', 'ku' 'kau' tidak boleh berdiri sendiri, perlu digandingkan dengan perkataan di hadapan atau di belakangnya. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 16.06.2016 |
Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Baju lama dan baju baharu itu telah (asing). (b) Masa depannya (kecil) kerana gagal dalam peperiksaan. (c) Kejadian itu sangat (balik). (d) Rumah itu (hangat) kerana baru dibaiki oleh mereka. (e) (Hangat) sungguh sauh kapal layar itu. (f) Lorong (lalu) itu gelap dan sunyi pada waktu malam. (g) Paras air yang tidak (tepat) menyebabkan banjir. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
Saya nak bertanya berkenaan ejaan akronim MARA. Semua huruf besar atau dieja seperti ini : Mara. Hal ini kerana merujuk buku yang saya pelajari yang melibatkan suku kata dieja huruf depannya sahaja huruf besar sekuranya ia kata nama khas. Terima kasih. | Kata nama akronim yang terhasil daripada cantuman huruf dan suku kata sejumlah perkataan akan membentuk kata nama khas. Oleh itu, ejaannya bermula dengan huruf besar. Contohnya: Mara – Majlis Amanah Rakyat Proton – Perusahaan Otomobil Nasional Walau bagaimanapun, kata nama akronim yang dibentuk melalui percantuman huruf awal beberapa perkataan yang kebanyakannya terdiri daripada nama khas, dieja dengan huruf besar keseluruhannya, contohnya, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 105 - 106. | Tatabahasa | 04.02.2025 |