| Gugusan pulau di Indonesia sentiasa diancam letusan gunung berapi. Munsyi, apakah kesalahan ayat ini? TK | Ayat tersebut tiada kesalahan. | Tatabahasa | 05.09.2012 |
| 1. Lalu lintas di kawasan rekreasi itu sesak kerana para pekerja sedang memperlebarkan jalan raya di kawasan itu. . 2. Walaupun tidur bertilamkan dengan surat khabar lama di kaki lima itu, namun pengemis itu kelihatan amat lena. 3. Selama tiga jam kami membincangkan tentang masalah itu di bilik mesyuarat utama. 4. Lukisan-lukisan yang sedang dipamerkan di galeri itu cantik-cantik belaka. 5. Dia senyum lebar kepada saya setelah mendengar berita yang menggembirakan itu. 6. Semasa bertemu dengan Mak Cik Salmah, kami ada bertanyakan tentang khabar Pak Cik Salleh. 7. Murid itu akan dikenakan denda kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan kepada guru pada semester baru-baru ini. 8. Semua murid-murid mesti berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. 9. Tuanku berkata,"Beta berharap agar rakyat di negara ini dapat mematuhi undang-undang yang dimaktubkan". 10. Walaupun ruang udara kita tidak diancam oleh jerebu, oleh itu kesedaran yang berterusan tentang kepentingan memelihara alam sekitar perlu terus dijadikan amalan. BOLEH TUAN MENYEMAK SAMA ADA AYAT DI ATAS ADALAH BETUL | 1. Lalu lintas di kawasan rekreasi itu sesak kerana kerja memperlebar jalan raya di kawasan itu sedang dijalankan. 2. Walaupun tidur bertilamkan surat khabar lama di kaki lima itu, namun pengemis itu kelihatan amat lena. 3. Selama tiga jam kami membincangkan masalah itu di dalam bilik mesyuarat utama. 4. Lukisan yang sedang dipamerkan di galeri itu cantik belaka. 5. Dia tersenyum lebar kepada saya setelah mendengar berita yang menggembirakan itu. 6. Semasa bertemu Mak Cik Salmah, kami ada bertanyakan habar Pak Cik Salleh. 7. Murid itu akan dikenakan denda kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru pada penggal ini. 8. Semua murid mesti berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. 9. Tuanku berkata,"Beta berharap rakyat di negara ini dapat mematuhi undang-undang yang termaktub". 10. Walaupun ruang udara kita tidak dicemari jerebu, amalan memelihara alam sekitar perlu diteruskan. | Tatabahasa | 07.05.2020 |