| Tuan, apakah kelainan antara "terbahagi" dengan "dibahagikan"? Contoh: 1. Sistem pemerintahan negara itu terbahagi kepada dua bentuk: pemerintahan pusat dan pemerintahan negeri. 2. Sistem pemerintahan negara itu dibahagikan kepada dua bentuk: pemerintahan pusat dan pemerintahan negeri. Ayat (1) menggunakan kata "terbahagi", manakala ayat (2) memakai kata "dibahagikan". Apakah beza? | Lihat entri dalam Kamus, terbahagi sama maksudnya dengan dibahagikan. Oleh itu, dalam konteks ayat tersebut kedua-dua kata boleh digunakan. | Tatabahasa | 14.03.2015 |
| kepada tuan/puan, Persoalan tentang pembahagian golongan kata dalam bahasa Malaysia.. Dalam Bahasa Melayu biasanya golongan kata dibahagikan kepada 4 golongan iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata tugas. tetapi dalam bahasa english golongan kata dibahagikan kepada 8 golongan iaitu, kata nama, kata ganti nama, kata kerja, kata adverba, kata adjektif, kata sendi nama, kata gabungan dan kata seru. selain itu terdapat bahasa-bahasa lain juga dibahagikan kepada lebih daripada 8 golongan. Persoalan saya ialah mengapa penggolongan kata dalam bahasa melayu dibahagikan kepada 4 golongan yang berdasarkan kriteria endosentrik(kata nama, kerja, adjektif) dan eksosentrik(kata tugas)?. bahasa-bahasa lain seperti dalam bahasa english dan bahasa korea, soalan endosentrik dan eksosentrik juga wujud tetapi mereka masih membahagikan golongan kata mengikut fungsi-fungsi tertentu berdasarkan faktor sintaksis. Disebabkan kata-kata tugas mempunyai fungsi-fungsi yang tersendiri, dalam pengajian kita tidak seharusnya menganggapnya sebagai dalam satu golongan. tetapi dalam kebanyakan buku tatabahsa golongan kata terbahagi seperti ini. ini menyebabkan kewujudan satu pertanyaan dalam fikiran saya. Dengan terlebih dahulu mengucapkan terima kasih atas balasan surat yang akan datang. sekian terima kasih have a nice day^^ | Perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu boleh digolongkan kepada empat golongan, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Frasa endosentrik ialah frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif kerana frasa-frasa ini mempunyai satu unsur ini yang dapat menjadi wakil bagi frasanya, manakala frasa eksosentrik ialah frasa yang tidak terdapa unsur inti yang boleh mewakili keseluruhan frasanya, contoh frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 81 dan artikel bertajuk "Konsep Endosentrik dan Eksosentrik" dalam akhbar Berita Harian, 31 Julai 2000 yang ditulis oleh Nik Safiah Karim. | Tatabahasa | 05.06.2009 |
| Tuan.. bagaimana nak tahu golongan kata dan jenis kata ? Adakah DBP ada ruangan berkenaan contoh golongan kata dan bentuk kata ? | Bentuk kata dibahagikan kepada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Golongan kata pula dibahagikan kepada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Untuk maklumat lanjut, tuan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga dan buku Tesaurus Bahasa Melayu mengklasifikasikan kata mengikut golongan kata. | Tatabahasa | 16.12.2015 |
| sila semak: 1.sel yang dibelah itu mendua 2. Emak menduai pisang itu agar boleh dibahagikan sama rata 3. Zali menduakan isterinya 4. Wang yang dicuri itu diperdua untuk diberi kepada orang bawahannya | Ayat yang betul ialah "emak membahagikan pisang itu kepada dua agar boleh dibahagikan sama rat". Ayat yang lainnya adalah betul. Harap maklum. | Tatabahasa | 24.09.2007 |
| Yang manakah penggunaan ayat yang tepat? 1. Pelajar dibahagi kepada... 2. Pelajar dibahagikan kepada... Tolong terangkan mengapakah penggunaan ayat tersebut lebih sesuai digunakan. | Kedua-dua betul jika sesuai dengan konteks ayat. Rumusnya: Awalan di- biasanya digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif yang ayat subjeknya terdiri daripada pelaku orang ketiga (Tatabahasa Dewan:hlm 175). Ayat yang diberikan tiada pelakunya. Oleh itu, ayat tersebut betul jika: 1. Pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan.(dipecahkan, dikelompokkan) oleh ... 2. Pelajar dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing. (diberikan, diserahkan) oleh... Dibahagi biasanya digunakan dalam Matematik misalnya empat dibahagi dua..(rujuk makna membahagi dlm Kamus Dewan Edisi ke-4). | Tatabahasa | 07.03.2016 |
| Bagaimana satu abad dibahagikan kepada fasa awal abad, fasa pertengahan abad, dan fasa akhir abad? | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP 2021), halaman 1, maksud abad ialah jangka masa seratus tahun yang berturutan. Untuk pembahagian fasa abad, perlu ditentukan tempoh masa yang dipenggalkan atau maklumat yang tepat.
| Lain-lain | 09.02.2024 |
| kata nama khas dibahagikan kepada berapa golongan. Hari, dan bulan ditulis dengan huruf besar. Jika begitu, bulan dan hari di bawah golongan apa. terima kasih | Hari dan bulan seperti Isnin, Selasa, Mac dan April tergolong dalam kata nama khas tak hidup. | Tatabahasa | 05.04.2011 |
| Salam 1Bahasa Tanah pusaka itu telah dibahagikan kepada satu perlapan atau satu per lapan ... Terima kasih DBP. | satu perlapan... Ejaan dirapatkan. | Tatabahasa | 22.10.2012 |
| contoh artikel bagi kata nama am dan kata ganti nama.. | Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang umum sifatnya. Ia boleh dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil berdasarkan ciri makna perkataannya, iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, institusi atau bukan institusi, konkrit atau abstrak, berbilang atau tak berbilang, dan seumpamanya. Contoh kata nama am ialah seperti pegawai, penyanyi, bayi, bidadari, semut, rumput, pejabat, sawah, dunia, laut, senyuman, rancangan, keburukan, roh, hawa, ajaran, dan lain-lain. Kata ganti nama (KGN)- yang menjadi pengganti kata nama khas dan am. KGN boleh dibahagikan lagi kepada dua golongan kecil, KGN tunjuk dan KGN diri. (Sila rujuk Tatabahasa Dewan hal. 86 untuk keterangan lanjut) | Tatabahasa | 04.01.2010 |
| apakah sejarah bahasa melayu? | Bahasa Melayu ialah bahasa Melayu - Polesia daripada rumpun bahasa - Austronesia. Dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu bahasa Melayu kuno, klasik dan moden. Tahap pertama dari abad 7 hingga abad 13, iatu pada zaman kerajaan Srivijaya sebagai bahasa lingua-franca dan pentadbiran. Terdapat pengaruh bahasa Sankrit. menggunakan tulisan Pallawa. Tahap kedua dari abad 13 hingga abad 19. Terdapat pada batu bersurat Pagar Ruyung (Minangkabau), Minye tujuh (Acheh) dan Kuala Berang (Terengganu). Tulisan Jawi. Perkembangan tiga tahap,iaitu zaman Melaka, Acheh, dan Johor-Riau. Seterusnya, zaman moden bermula pada abad 19. Sebelum kedatangan British, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan dan pengantar sekolah agama Islam. Pada zaman pemerintahan British, bahasa Melayu dipinggirkan. Selepas merdeka, bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Pusat Dokumentasi Melayu (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia. | Lain-lain | 14.12.2007 |