| Salam, Mohon penjelasan tentang penggunaan pada dan kepada. Apakah yang berlaku pada air itu selepas dibiarkan selama sejam? atau Apakah yang berlaku kepada air itu selepas dibiarkan selama sejam? Terima kasih. | Kata sendi nama 'kepada' terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Kata sendi nama 'pada' pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Ayat yang betul ialah Apakah yang terjadi pada air itu selepas dibiarkan selama sejam? Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 272 hingga 276. | Tatabahasa | 31.03.2021 |
| Jika makanan itu dibiarkan, makanan itu akan basi. Saya mengesan imbuhan pasif dalam ayat ini yang menjadikannya ayat pasif. Bagaimanakah bentuk aktif untuk ayat tersebut? | Jika makanan itu dibiarkan, ia akan basi. (Ayat pasif) Jika anda membiarkannya, makanan itu akan basi. (Ayat aktif) | Tatabahasa | 11.06.2016 |
| Soalan 1. Yang manakah lebih gramatis: Langkah 1 hingga 3 diulang secara menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. ATAU Langkah 1 hingga 3 diulangi dengan menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. 2. Yang manakah lebih gramatis: Larutan dididihkan dan dibiarkan sejuk. ATAU Larutan dididihkan dan dibiarkan menyejuk. | 1. Langkah 1 hingga 3 diulang dengan menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. 2. Larutan dididihkan dan dibiarkan sejuk. | Tatabahasa | 15.10.2015 |
| perkataan seperti air milo, nescafe dan yang sepertinya, apakah perlu dieja sebagai air Milo, Nescafe? Atau dibiarkan huruf kecil? | Nama khas seperti Milo dan Nescafe hendaklah dieja menggunakan huruf besar , contoh : air Milo dan air Nescafe. | Ejaan | 25.02.2008 |
| Assalamualaikum, Ekoran pertanyaan saya berkaitan penggunaan -nya keada bukan manusia, bolehkan -nya digunakan untuk merujuk binatang atau tumbuhan. Contohnya dalam ayat yang berikut: a. Binatang: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkainya dibiarkan di tepi jalan. b. Tumbuhan 1. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harganya meningkat dengan mendadak. Terima kasih | Waalaikummussalam saudara Mohd Januri, Nya ialah kata ganti diri nama orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" merujuk kepada manusia bukannya merujuk kepada haiwan dan tumbuhan. Menerusi contoh ayat yang diberikan memadai sekiranya diganti dengan menggunakan perkataan di bawah: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkai anjing itu dibiarkan di tepi jalan. 2. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harga bawang meningkat dengan mendadak. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
| Adakah penggunaan perkataan eksesais dalam Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya tepat dan sesuai? Apakah cadangan perkataan lebih sesuai? Ada kerisauan jika dibiarkan suatu masa nanti perkataan itu akan diterima orang awam dan dimasukkan ke dalam kamus. Bukankah lebih elok guna perkataan yang telah sedia ada daripada meminjam bahasa luar? | Perkataan 'eksesais' adalah tidak sesuai serta tidak pernah terakam dalam mana-mana kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah exercise ialah latihan atau senaman. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 06.02.2025 |
| Apakah maksud dan asal-usul perkataan Toncit? Contoh ayat, "Jin pakai toncit". Terima kasih. | Kata "tonchet" telah terakam dalam Kamus Malay-English Dictionary (R.J Wilkinson, 1959) dengan maksud tuft or lock of hair; small queue; Hn. cf. kunchit, kunchir, kundai, chotet, konchet. Secara umumnya, makna "toncit" dalam ayat "Jin pakai toncit" bermaksud mempunyai secekak rambut yang dibiarkan panjang di kepala yang gondol atau botak, sama ada diikat tinggi atau berbentuk sanggul dan sebagainya. Dalam Kamus Dewan Perdana, terdapat kata "kuncit" yang bermaksud secekak rambut yang dibiarkan panjang di kepala yang gondol; kucir. Kata "kucir" pula bermakna secekak rambut yang dibiarkan tumbuh panjang di atas kepala yang botak; kuntung. Kata "kuntung" juga bermakna secekak rambut yang dibiarkan tumbuh panjang di atas kepala yang botak; kucir. Terdapat juga kata "tongset", kata berlabel kata klasik yang berasal daripada bahasa Cina (Kamus Dewan), dan bermaksud sanggul atau kundai. Kajian yang lebih lanjut adalah amat dialu-alukan. Bagi tujuan keselarasan ejaan, kata "toncet" atau "tuncit" adalah disarankan. | Lain-lain | 06.01.2022 |
| Selamat sejahtera, Bagaimanakah cara penulisan bagi nama perjanjian atau sebagainya yang menggunakan istilah Arab atau Inggeris? Misalnya, Perjanjian Hilfu al-Fudhul. Patutkah Hilfu al-Fudhul itu diitalikkan atau dibiarkan seperti biasa kerana ia merupakan nama khas? Terima kasih. | Perkataan yang berasal daripada bahasa Arab dieja mengikut sistem bahasa asalnya, kecuali yang telah diterima sebagai kata umum. Oleh itu, penggunaan huruf besar bagi perkataan Arab hanya digunakan pada permulaan setiap kata nama khas termasuk nama tempat, nama orang, nama institusi, nama perjanjian dan sebagainya. Berdasarkan pertanyaan tersebut, cadangan jawapan ialah "Perjanjian Hifu al-Fudhul" (tidak perlu italik). | Ejaan | 16.07.2021 |
| Encik Zainal dan isterinya berasa kecewa kerana anak mereka ,Roslan gagal masuk mana-mana universiti sebab keputusan peperiksaannya yang tidak cemerlang Beberapa orang penduduk kampung itu sedang berusaha tanah yang dibiarkan sebagai sahutan saranan kerajaan menghijaukan bumi. Dalam setiap ayat di bawah,terdapat beberapa kesalahan.“Mana-mana”sepatutnya jawaban yang betul ialah “mana” ya?Minta Puan/Tuan (Beliau )boleh membantu saya.Terima kasih | Ayat yang betul: 1. Encik Zainal dan isterinya berasa kecewa kerana anak mereka, iaitu Roslan gagal memasuki mana-mana universiti disebabkan keputusan peperiksaannya yang tidak cemerlang. 2. Beberapa orang penduduk kampung itu sedang mengusahakan tanah yang terbiar sebagai langkah menyahut saranan kerajaan supaya menghijaukan bumi. Untuk makluman, penggunaan perkataan “mana” tidak betul dalam contoh ayat yang diberikan. Walau bagaimanapun, perkataan “mana-mana” juga boleh ditiadakan atau digugurkan kerana teks “gagal memasuki universiti” sudah menunjukkan yang Roslan tidak dapat memasuki unversiti kerana keputusannya yang tidak cemerlang. | Tatabahasa | 15.01.2021 |
| Bagaimana cara penulisan bagi perkataan seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain lagi, adakah perlu dicondongkan? Selain itu, bagaimana kaedah penulisan bagi perkataan contohnya e-dagang yang berada pada awal ayat, adakah 'e-' ini perlu dibesarkan hurufnya atau dibiarkan menggunakan huruf kecil? | Facebook, Twitter dan Instagram ialah kata nama khas maka ejaannya tetap sama dan tidak perlu dicondongkan. Kaedah penulisan bagi perkataan contohnya e-dagang yang berada pada awal ayat perlu bermula dengan huruf besar (E-dagang) dan jika terletak pada tengah ayat maka dikekalkan ejaannya dengan penggunaan huruf kecil (e-dagang). | Ejaan | 28.07.2017 |