Ayat di bawah betul? 1.Bangunan itu dibina pada tahun bila? 2.Bangunan itu dibina pada tahun berapa? 3.Bangunan itu dibina bila? | Ketiga-tiga ayat tersebut betul, namun begitu ayat-ayat itu merupakan bentuk bahasa lisan. Bagi bentuk bahasa tulisan, ayat tersebut diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: 1. Pada tahun bilakah bangunan itu dibina? 2. Pada tahun berapakah bangunan itu dibina? 3. Bilakah bangunan itu dibina? Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat tanya, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 441-448. | Tatabahasa | 22.07.2025 |
manakah ayat yang betul.. 1. saya menyarankan agar dibina kompleks pelajar 2. saya menyarankan agar kompleks pelajar dibina soalan 2 1. di masa hadapan 2. pada masa hadapan | 1. Saya menyarankan agar kompleks pelajar dibina. 2. pada masa hadapan. | Tatabahasa | 22.07.2013 |
1) Titi itu dibina (pada) lapan belas tahun yang lalu. 2) Titi itu dibina (sejak) lapan belas tahun yang lalu. Penggunaan kata sendi nama yang manakah lebih tepat?Pada atau sejak? Mohon pencerahan pihak tuan. Saya dahului dengan ucapan terima kasih. | Penggunaan kata sendi nama yang betul dalam contoh ayat yang diberikan ialah sejak. Sejak merupakan kata sendi nama yang bertugas membawa maksud penanda waktu atau masa dan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh ayat, Titi itu dibina sejak 18 tahun yang lalu. Manakala kata sendi pada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat serta digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh ayat, Bas bertolak pada pukul 7.00 pagi, Tulis nama pada kertas itu dan Wang itu ada pada ibu. | Tatabahasa | 10.03.2021 |
Salam. Mana satu adalah betul? 1. Sungguh tinggi bangunan yang baru dibina itu. ATAU 2. Tinggi sungguh bangunan yang baru dibina itu. | Kedua-dua ayat tersebut boleh digunakan. Perkataan sungguh ialah kata penguat bebas yang boleh hadir di hadapan atau belakang kata adjektif. | Tatabahasa | 26.09.2013 |
Kedua-dua ayat di bawah dibina oleh anak saya: 1) Ali membuat kerja rumah dengan rajin. 2) Saya akan mengikut nasihat nenek. Guru sekolah telah menanda salah untuk kedua-dua ayat itu dan beri pembetulan seperti yang berikut. 1) Ali rajin membuat kerja rumah. 2) Saya akan mendengar nasihat nenek. Saya rasa ayat yang dibina oleh anak saya juga betul. Adakah ayat yang dibina oleh anak saya salah? Apakah kesalahan ayat-ayat itu? | 1) Ali membuat kerja rumah dengan rajin. - Ayat tersebut tidak tepat. Hal ini disebabkan dengan merupakan kata sendi nama. Perkataan dengan perlu diikuti dengan kata nama atau frasa nama. Dalam contoh ayat yang diberikan, perkataan dengan diikuti dengan perkataan rajin. Rajin merupakan kata adjektif. 2) Saya akan mengikut nasihat nenek/ Saya akan mendengar nasihat nenek. - Jika mengikut makna dalam Kamus Dewan, ayat yang dibuat oleh anak puan tidak terdapat kesalahan, begitu juga dengan ayat yang diberikan oleh guru anak puan. Akan tetapi, kemungkinan para guru mempunyai skema jawapan tersendiri dalam penandaan soalan. | Tatabahasa | 08.10.2015 |
yang mana panggunaan yang betul; 1) berpunca daripada / berpunca pada 2)di kalangan / dalam kalangan 3) rumah itu terbina pada..../ rumah itu dibina pada..... 3)rumah itu terjejas teruk / rumah itu teruk terjejas | Panggunaan yang betul ialah berpunca daripada, dalam kalangan, rumah itu dibina pada... dan rumah itu terjejas teruk. | Tatabahasa | 27.04.2007 |
Saya inginkan kepastian mengenai istilah terjemahan 'coping'. Mengapa apabila kita terjemahkan ke dalam Bahasa ia adalah 'daya tindak'? Kenapa tidak 'berdaya tindak'. Mohon penjelasan mengenainya. Terima kasih. :) | Istilah dibina oleh Jawatankuasa Istilah yang terdiri daripada kalangan pakar dalam bidang berkenaan. Contohnya istilah coping mechanism walaupun boleh diterjemahkan kepada mekanisme berdaya tindak tetapi istilah yang dibina ialah mekanisme daya tindak. Tambahan maklumat, kebanyakan istilah yang dibina dalam bentuk kata nama. | Istilah | 29.06.2012 |
Ayat majmuk yang hendak dipisahkan ialah 'Bangunan Gedung Raja Abdullah yang dibina berdekatan Sungai Klang terdiri daripada satu blok dua tingkat'. Ayat majmuk ini hendak dipisahakan kepada dua ayat tunggal. Saya tak pasti sama ada ayat majmuk itu sendiri betul atau salah. Terima kasih. | Saudara, Dua ayat tunggal tersebut adalah seperti yang berikut: i. Bangunan Gedung raja Abdullah dibina berdekatan Sungai Klang. ii. Bangunan Gedung Raja Abdullah terdiri daripada satu blok dua tingkat. | Tatabahasa | 09.09.2009 |
Tuan/Puan, Salam Sejahtera! Saya ingin tanya transliterasi di bawah ini betul ke atau tidak? Jika tidak betul, saya ingin minta pertolongan Tuan/Puan untuk membetulkannya. Terowong Kuantan Dibina oleh xxx تروووڠ کوانتان دبينا اوليه Di atas bantuan pihak Tuan/Puan, saya mengucapkan terima kasih terlebih dahulu. Sekian. | 1. Terowong Kuantan dibina oleh xxx تروووڠ کوانتان دبينا اوليه 2. Atas bantuan pihak tuan/puan, terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih. | Tatabahasa | 01.11.2018 |
Adakah ayat-ayat berikut dibina dengan betul: "Ibunya selalu menolong Hasanah membuat kerja rumah." "Datuk saya menghantar saya yang hendak ke Tanah Suci." Terima Kasih. | Jawapan: 1. "Ibunya selalu menolong Hasanah membuat kerja rumah." - betul 2. "Datuk menghantar saya yang hendak ke Tanah Suci." - 'saya' tidak perlu diulang. | Tatabahasa | 04.11.2015 |