1. Apakah perbezaan dari segi penggunaan ayat sejak dan semenjak. Sebagai contoh: Krisis kewangan global yang terburuk sejak Kemelesetan Besar ini telah dicetuskan oleh kebankrapan satu daripada bank pelaburan global terbesar di Amerika Syarikat. 2. Apakah terjemahan untuk "International Financial Architecture". Sekian, terima kasih. Ramlee | 1.Kedua-dua istilah ini, sejak dan semenjak boleh diguna pakai. 2. Kami mencadangkan terjemahan bagi International Financial Architecture ialah Seni Bina Kewangan Antarabangsa. Walau bagaimanapun, terjemahan ini bergantung pada konteks atau bidang. | Istilah | 08.10.2009 |
Saya nak bertanya, apa pendapat Dewan Bahasa & Pustaka terhadap penggunaan perkataan Bahasa Melayu yang telah digabungkan dengan nombor dan menjadi satu perkataan. Contoh BR1M, PR1MA, TR1MA, KAR1SMA, SK1M, KIR1M, KR1M, SL1M dan banyak lagi. contoh lain di sini : http://www.1malaysia.com.my/my-record/1-malaysia/. Contoh KAR1SMA sudah bukan lagi kata nama khas apabila ianya disebut seperti 'Karisma'. harap ada jawapan. | Untuk makluman, 1 Malaysia merupakan satu konsep yang dicetuskan oleh kerajaan. Penggunaan BR1M, KR1M dan pelbagai lagi program merupakan konsep yang wujud dalam konsep dan falsafah 1Malaysia. Ia merupakan konsep nama khas yang mempunyai dan menunjukkan identiti sesuatu.Konsep ini telah mempunyai maksud tersendiri. Contohnya, BR1M merupakan singkatan bagi Bantuan Rakyat Satu Malaysia yang merupakan kata nama khas sesuatu program. Khalayak perlu menyebutnya dengan tepat bukannya 1 dijadikan sebagai i. | Tatabahasa | 14.03.2013 |
Assalamualaikum 1. Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama lebih tinggi tahap efikasi berbanding guru yang lebih junior. Adakah frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai dengan digantikan dengan kata senior? Kenapa? 2. Guru yang memiliki efikasi kendiri dan efikasi mengajar menyumbang kepada perubahan tingkah laku positif murid. Adakah kata efikasi pada frasa efikasi mengajar perlu digugurkan? 3. Hiperaktif merupakan kategori masalah penyesuaian tingkah laku yang paling kerap dilakukan oleh kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun. Apakah tepat penggunaan kata dilakukan dalam konteks ayat di atas? Adakah kata ditimbulkan atau dicetuskan lebih tepat? Terima kasih | Wa alaikum salam. Jawapan bagi soalan 1: Daripada sudut tatabahasa, kedua-dua frasa iaitu "Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama" dan "senior" boleh digunakan dan betul penggunaannya. Walau bagaimanapun, daripada sudut kesopanan dan aspek semantik, frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai digunakan. Jawapan bagi soalan 2: Kekalkan frasa "efikasi mengajar" dalam ayat tersebut. Jawapan bagi soalan 3: Penggunaan kata "ditimbulkan" lebih tepat dalam konteks ayat tersebut.
| Makna | 31.05.2017 |