kebanyakan kanak-kanak tidak betapa berminat dalam membaca kerana banyak infrastruktur moden telah diciptakan. ayat ini betul?? | Kebanyakan kanak-kanak kurang minat membaca kerana ciptaan pelbagai alatan moden. | Tatabahasa | 26.07.2013 |
BERIKAN PENGERTIAN GURINDAM DAN ASAL-USUL SERTA CONTOH GURINDAM YANG BIASA DIPERDENGARKAN | Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu mempunyai pengaruh bahasa asing, namun bentuk gurindam itu diciptakan oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubah dalam bahasa yang indah untuk dinyanyikan bagi tujuan hiburan. Gurindam yang biasa diperkatakan dan dijadikan contoh terbaik sama ada dalam penciptaan atau didendangkan ialah Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji. | Lain-lain | 04.12.2008 |
Assalamualaikum, saya nak tanya pasal istilah ''hello'' iaitu istilah yang digunakan untuk menyapa, menegur atau menarik perhatian seseorang. Saya penat mencari istilah ''helo'' yang sesuai untuk bahasa Melayu dalam kamus-kamus, buku-buku dan sebagainya. Tapi hasilnya menghampakan dan mengecewakan. Saya tak jumpa istilah ''helo'' untuk bahasa Melayu. Tapi dalam kamus Melayu lama ada iaitu ''Amboi!'' tapi istilah itu jarang dipakai untuk menegur sebaliknya digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kasihan, kagum dan sebagainya. Dalam masa yang sama, saya rasa malu dengan bahasa Melayu kerana istilah ''helo'' juga dipinjam daripada bahasa Inggeris iaitu ''hello''. Padahal. boleh saja jikalau diperkayakan, diciptakan dan disesuai dengan istilah tempatan. Oleh kerana ucapan ''salam'' atau ''assalamualaikum'' sering digunakan. Jadi, apa salahkan digunakan ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dalam bahasa Inggeris sebab ''salam'' bermaksud ''sejahtera''. Jikalau para pakar DBP dan pakar bahasa Melayu menyesuaikan dan menggunakan istilah ''Sejahtera!'' untuk ''Hello!'' dan ''Hi!'' dalam bahasa Inggeris. Saya berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan segala cadangan saya untuk kemajuan, perkembangan dan keaslian bahasa Ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Semoga bahasa Melayu terus dimartabatkan dan dikekalkan keasliannya seperti apa yang diimpikan oleh pendeta Za'ba dan kita semua sebagai bangsa Melayu. Insya Allah, amin. | Kami ambil maklum pandangan tuan dan mengucapkan syabas atas keprihatinan tuan dalam hal ini. Satu lagi yang perlu kita fahami ialah praktikal penyusunan kamus. Kamus umum merakamkan penggunaan kata yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata "helo" apabila memulakan perbualan dalam telefon amat banyak digunakan, bukti yang jelas dapat dilihat melalui penggunaan perkataan "helo" dalam filem-filem lama era Tan Sri P. Ramlee. Berkemungkinan jika pada suatu masa dahulu, masyarakat penutur jati menggunakan perkataan "sejahtera" atau "salam", maka perkataan itulah yang akan diambil dalam penyususnan kamus. Walau bagaimanapun cadangan tuan ini akan kami panjangkan kepada Bahagian Perkamusan dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP untuk perhatian pihak mereka. | Istilah | 06.11.2015 |
1. Saya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai BAHASA BERIRAMA (salah satu puisi tradisional kita). 2. Bagaimanakah puisi tradisional ini didendangkan? 3. Semasa BAHASA BERIRAMA didendangkan apakah alat muzik yang sesuai digunakan? 4. Sertakan bersama contoh BAHASA BERIRAMA sekiranya ada? maz's Terima kasih | 1. Bahasa beirama ialah sejenis puisi lisan Melayu yang tertua. Bahasa berirama ini biasanya digunakan dalam cerita-cerita rakyat seperti cerita lipur lara atau cerita-cerita Kaba di Minangkabau. Bahasa berirama mengandung irama teratur dan kuat. dalam ungkapan ini irama sangat dipentingkan, diciptakan melalui susunan baris yang pendek. Lukisannya dulang-ulang dengan berbagai-bagai perumpamaan yang mengandung pengertian yang sama. 2. Sila dapatkan CD Roslan Madun, iaitu salah seorang aktivis dan penyanyi lagu rakyat. 3. Lazimnya alat muzik yang asas digunakan ialah gendang. 4. Sila rujuk buku Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman. | Lain-lain | 08.05.2008 |