| apakah sumbangan yang dihulurkan oleh dbp untuk perkembangan BM sejak ditubuhkan? | Pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh DBP melalui program pembinaan dan pengembangan bahasa . Antaranya Pertandingan Forum, Peraduan Esei, Anugerah dan Hadiah Galakan untuk sektor swasta, Pertandingan pidato, Baca Puisi, Pertandingan Pantun dsb. Dalam bidang penerbitan pula buku dalam pelbagai bidang,kamus, kamus istilah, daftar dan glosari istilah dsb. diterbitkan.Selain itu, DBP menganggotai pelbagai jawatankuasa di peringkat kebangsaan,negeri, kementerian dan agensi awam dan swasta untuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. | Lain-lain | 18.04.2009 |
| tolong semak ayat saya... adakah ayat yang saya senaraikan ini mengandungi frasa kerja tak transitif? 1. lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu. 2. kelihatan di sedang menulis sesuatu di kertas iitu dan dihulurkan kepada lelaki itu. 3. lelaki itu membaca dan kemudian menggelengkan kepala. 4. perempuan itu merenung tajam ke arah lelaki itu. 5. dia diam seketika, sambil matanya terkelip-kelip memandang syiling wad yang kaku itu. 6. siang dan malam lelaki itu menunggu perempuan itu dengan tabah dan sabar. 7. anak di rumah, pandai-pandai sahaja unutk mengurus diri sendiri. 8. sambil tersenyum, dia menegurku mesra. 9. dia tidak sanggup meninggalkan isterinya tanpa ditemani walau sesaat pun. 10. dua belas tahun yang lalu di telah dibedah di Singapura. 11. aku sangat kagum dengan lelaki itu dan terkesan dengan kesabarannya melayani karenah isterinya yang pelbagai macam itu. 12. calang-calang suami tidak akan sanggup membelai isterinya yang terbujur di katil itu. 13. perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi di sisi katil isterinya. 14. saya gembira ibu melawat saya. 15. ketika akau melangkah pulang aku melihat bahawa dia masih tersenyum riang. 16. dia mencapai tanganku dan menciumnya. 17. hati kecilnya tidak putus-putus mendoakan semoga dia akan pulih. 18. kita janganlah lupa untuk terus beristighfar dan reda dengan apa-apa yang berlaku,. 19. aku terkesima dan kagum dengan ketabahan isterinya,. | Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah kata kerja tak transitif yang mesti diikuti oleh pelengkap, namun unsur ini bukanlah dianggap sebagai objek (tidak boleh dipasifkan), sementara yang lainnya tidak perlu diikuti oleh pelengkap. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap: beransur (pulih), tinggal (di bandar), menjadi (guru), berbuat (baik), ada (keluarga) dan berbantalkan (lengan) Contoh kata kerja tak transitif tak berpelengkap: bangun, tumbang, pulang, menangis, menjerit, berkibaran, berjalan, tersenyum, terpegun, menguning, melancong dan meninggi. Sebagai seorang bakal guru saudara perlu lebih mengenali pelbagai aspek tatabahasa termasuklah kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Merujuk ayat Lelaki itu menghulurkan sekeping kertas kosong kepada perempuan itu - menghulurkan ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek sebagai pelengkap. Untuk ayat yang seterusnya sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 88-90 dan halaman 385-394. | Tatabahasa | 24.03.2011 |
| Saudara, Saya harap saudara dapat membantu saya tentang fonologi dalam Bahasa Melayu. 1. Sebutan yang betul bagi perkataan 'elak' selepas ditambah imbuhan 'meng' disebut 'me+nge+lak' atau 'meng+e+lak'. 2. Bagaimana pula contoh-contoh kes yang sama bagi perkataan akar atau dasar lain yang bermula dengan vokal. Bantuan yang dihulurkan saya rakamkan ribuan terima kasih. | Sebutan yang betul ialah me.nge.lak dan me.nga.rah. Untuk makluman, kata terbitan dengan awalan meN- atau peN- (termasuk yang digunakan sebagai unsur apitan) dengan kata dasarnya yang bermula dengan bunyi vokal atau diftong dilafazkan menurut cara pemecahan suku kata ejaan juga. Contohnya: me.nga.rah, me.nge.dar, me.ngi.kut, pe.nga.rah, pe.nge.dar, pe.ngi.kut. | Ejaan | 19.09.2012 |
| 1.sata teramat gembira apabila ketahui khabar baik ini. adakah betul penyata ini? bolehkah teramat digunakan untuk bermaksud sangat? 2.dia melalui jalan itu atau dia lalu jalan itu? mengapa? 3.bahawa kegiatan samseng semakin berleluasa di sekolah adalah benar? adakah soalan ini salah dari segi ayat tergantung? 4.i)saya menghidangi tetamu makanan.(ii)saya menghidangkan makanann kepada tetamu. tetapi (iii) saya mengambilkan tetamu makanan. apakah beza ketiga-tiga ayat ini? apakah kontex kegunaan imbuhan me...i, me...kan? terima kasih atas bantuan yang dihulurkan | 1. Ayat itu betul, teramat gembira atau tersangat gembira. 2. Dia melalui jalan itu, kata kerja transitif perlu ada imbuhan me. 3. Ayat itu tidak lengkap. 4. Dua ayat itu betul, ayat ketiga sepatutnya Saya mengambilkan makanan untuk tetamu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191 dan 202. | Tatabahasa | 12.05.2010 |
| soalan: 1.perbezaan penggunaan pada dan kepada...tolong jelaskan... 2. contoh ayat:..., yang sesuai supaya anak-anak kita ini akan...(penggunaan yang sesuai:anak-anak kita atau anak kita)...tolong jelaskan... 3. Tiga 'ekor" ini semua banyak bantu saya.(semua banyak sesuaikah digunakan dalam ayat?mengapa kalau sesuai) 4. Bolehkah mengggunakan kata "dan" di awal ayat? jelaskan... TQ | Jawapan 1: Kata sendi nama "pada" menunjukkan keterangan waktu atau tempat seperti ... bermula pada hari ini .... , manakala kata sendi nama "kepada" untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 274. Jawapan 2: Penggunaan yang sesuai ialah "anak-anak kita" kerana perkataan "kita" merujuk kepada bilangan orang yang lebih daripada seorang. Jawapan 3: 3. Tiga 'ekor" ini semua banyak bantu saya.(semua banyak sesuaikah digunakan dalam ayat?mengapa kalau sesuai) Perkataan "semua banyak" ini sesuai digunakan kerana "semua" merujuk kepada "tiga ekor ini" manakala perkataan "banyak" merujuk kepada bentuk bantuan yang dihulurkan, iaitu "banyak membantu saya". Jawapan 4: Perkataan "dan" di awal ayat tidak sesuai digunakan bagi penulisan rasmi atau formal seperti surat rasmi. | Tatabahasa | 28.03.2013 |
| Selamat sejahtera, kenapa bahasa Melayu hari ini dilihat banyak menyempitkan makna perkataan? Contohnya dlm perkataan "salam". Dpt diperhatikan, kata "salam" hanyalah digunakan dlm golongan kata iaitu kata sifat dan kata nama semata-mata, padahal perkataan itu juga boleh diperluaskan dan digunakan dlm bentuk kata seru, tak salah sekiranya dipadankan dgn kata seru "helo", "hai" dan "selamat tinggal" memandangkan hal itu dpt dibuktikan dgn penggunaannya sehari-hari khususnya dlm masyarakat Nusantara ini sendiri yg byk menggunakannya sbg kata seruan. Contohnya ialah, "Salam, saya dari Johor!". Sekian. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1936) kata salam diberikan takrifan seperti yang berikut: salam1 سلام kata nama 1 ungkapan tertentu spt “assalamualaikum”, “selamat pagi” dan “salam sejahtera” yg diucapkan sbg tanda hormat kpd sso ketika bertemu, sebelum memulakan ucapan dsb: Dia langsung tidak menjawab salam yg kuberikan.◊Aku mengucapkan salam saat bertemu dengannya. 2 tangan yg dihulurkan utk berjabat dgn sso sbg tanda hormat ketika mula bertemu atau hendak berpisah: Dia tidak akan menghulurkan salam kpd perempuan yg bukan mahramnya. 3 ungkapan “assalamulaikum” yg disebut apb memalingkan muka ke kanan dan ke kiri sebelum mengakhiri solat; 4 digunakan dlm ucapan, surat dsb, utk menyatakan sst perasaan, meraikan sso atau sst peristiwa dll: Salam Aidilfitri buat ayahanda dan bonda di kampung.◊Terimalah salam sayang drp kami di perantauan. kata adjektif 5 aman damai atau sejahtera: suasana yg salam; salam kaut, salam keruk bahasa basahan perbuatan bersalaman sambil menghulurkan wang oleh tetamu kpd tuan rumah, terutamanya ketika kenduri kahwin: Salam kaut ini seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan. salam takzim ucapan salam sbg tanda hormat kpd sso atau sst pihak: Saya mengambil kesempatan ini utk menyampaikan salam takzim Yang Berhormat, yg tidak dapat hadir pd pagi ini. 2. Oleh sebab itu, salam dalam ayat "Salam, saya dari Johor!" masih berkelas kata nama, dan maknanya terkandung dalam pecahan makna keempat iaitu ungkapan yang digunakan dalam ucapan, surat dan sebagainya, untuk menyatakan sesuatu perasaan, meraikan seseorang atau sesuatu peristiwa dan lain-lain. 3. Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 255) menyatakan kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah: aduh, amboi, cis, oh, celaka, eh, wah, syabas, aduhai, wahai, dan sebagainya. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut: 44. Aduh, sakitnya kakiku! 45. Cis, terimalah tikamanku! 46. Celaka, habis tanamanku dimusnahkannya! 4. Dalam mana-mana bahasa, makna unit leksikal dalam lingkungan domain tunggal dapat dihubungkan dengan satu sama lain mengikut empat cara yang asas iaitu: perhubungan itu mungkin (1) menular, (2) bertindihan, (3) terkandung, dan (4) saling melengkapi. Kata ‘salam’ dikatakan berbeza daripada kata ‘hai’, ‘hello’ dan ‘selamat tinggal’ kerana fitur dalam domain tunggalnya tidak berhubung dengan kata-kata tersebut. Secara mudahnya, makna unit leksikal kata ‘salam’ tidak sepadan dengan makna kata ‘hai’, ‘helo’ dan ‘selamat tinggal’. Oleh hal demikian, kata ‘salam’ tidak dapat dikelaskan dalam golongan kata seru. 5. Dalam proses peminjaman kata, penyempitan makna atau peluasan makna berlaku dalam bahasa sasaran. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam proses pemberian makna sesuatu kata, khususnya dalam penganalisisan makna setiap kata yang dipinjam atau diserap. Contoh kata pinjaman yang mengalami perbezaan makna daripada bahasa asalnya ialah aljabar, amaun, beta, gahara dan grenad. Sila rujuk maklumat etimologi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 02.08.2022 |