Salam, Bagaimanakah cara penulisan/penggunaan huruf besar dalam pantun popular ini? Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanag, Budi yang baik dikenang juga. Frasa 'Pulau Pandan' dan 'Gunung Daik dijadikan nama khas atau sepatutnya masing-masing ditulis Pulau pandan dan Gunung daik? Terima kasih. | Ejaan yang betul ialah Pulau Pandan dan Gunung Daik. | Tatabahasa | 04.09.2014 |
Apakaah yang dimaksudkan tentang bahasa kebangsaan?, ciri-ciri, konsep penting dan semua fakta utama dan sampingan tentang bahasa kebangsaan. | Bahasa kebangsaan ialah bahasa rasmi sesebuah negara. Peruntukan ini diwartakan dan dikandung dalam Perlembagaan negara. Contoh, bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Ciri-cirinya antara lain termasuklah bahasa majoriti, bahasa asal, menjadi bahasa perpaduan, bahasa komunikasi sosial dan bahasa ilmu. | Makna | 25.01.2007 |
Salam sejahtera. Saya keliru akan penggunaan kata hubung "selagi" dan "asalkan". Ayat manakah yang tepat - "Saya akan menjaga awak selagi saya masih sayangkan awak" ataupun "Saya akan menjaga awak asalkan saya masih sayangkan awak"? Apakah perbezaan antara penggunaan "asalkan" dan "selagi"? | Mengikut Kamus Dewan perkataan ‘asalkan’ sama maksud dengan frasa ‘dengan syarat’. Contoh penggunaan ‘asalkan’ dalam ayat ialah “Kau boleh pulang, asalkan pekerjaanmu sudah selesai”. Perkataan ‘selagi’ dalam konteks perbandingan dengan perkataan ‘asalkan’ seperti yang dikemukakan dalam pertanyaan pula bermaksud ‘selama atau sementara masih’. Contoh penggunaan dalam ayat ialah “Selagi hayat dikandung badan, aku tetap setia kepadamu”. Merujuk pada ayat yang dikemukakan, ayat yang betul ialah “Saya akan menjaga awak selagi saya masih sayangkan awak”. | Makna | 06.02.2019 |
Pertanyaan tentang "berbadan dua" : 1. Apakah asal usul frasa ini? Kebanyakan bahasa lain seperti Inggeris (pregnant) dan Arab (hamil) tiada perkataan "dua" badan/jiwa untuk ini. Setahu saya, cuma Bahasa Georgia (orsuli) dan Mandarin sahaja yang ada konsep berbadan dua seperti Bahasa Malaysia. 2. Jikalau "triplets" atau "quadruplets", apakah pendirian Dewan Bahasa dan Pustaka? Adakah ia menjadi berbadan tiga atau berbadan empat? Terima kasih | berbadan dua bh hamil: Aktor tersebut bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi apabila isterinya disahkan berbadan dua. (KDP 2020:169) Frasa berbadan dua dalam Kamus Dewan Perdana bermaksud hamil. Frasa ini diletakkan label bh (bahasa halus), iaitu bahasa atau kata-kata yang lebih lembut dan sopan yang digunakan dalam pertuturan atau tulisan supaya lebih beradab dan tidak menyentuh perasaan sesiapa, contoh lain ialah perkataan meninggal dunia utk mati. Frasa berbadan dua wujud daripada gambaran fizikal seorang wanita hamil. Semasa kehamilan perut wanita membesar, memberikan gambaran seolah-olah wanita tersebut memiliki "badan" tambahan. Ungkapan “berbadan dua” secara kiasan menggambarkan keadaan ini, iaitu memiliki "dua badan", badan sendiri dan badan bayi yang dikandung. Frasa berbadan dua telah menjadi ungkapan yang umum digunakan dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada hamil dan dianggap sebagai ungkapan yang sopan dan diterima secara meluas. Frasa berbadan tiga, berbadan empat dan seterusnya masih belum terakam dalam kamus DBP. Perakaman kata dan mana baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat. | Makna | 04.02.2025 |