Assalamualaikum. Di sini saya ada beberapa soalan ingin dikemukakan. 1) di kelilingi ATAU dikelilingi 2) kata-kata alu-aluan ATAU kata-kata aluan ATAU kata alu-aluan 3) mengesot-esot ATAU mengengsot-engsot 4) suasana himpit menghimpit ATAU suasana berhimpit-himpit 5) Pak Ali merupakan salah seorang saksi mujbir kepada peristiwa bersejarah itu, iaitu malam kemerdekaan. - apakah 'saksi mujbir' itu boleh digunakan? Atas segala perhatian pihak tuan, saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. | 1) dikelilingi 2) kata alu-aluan 3) mengengsot-engsot 4) suasana berhimpit-himpit 5) Mujbir ialah kata Arab yang bermaksud yang memaksa. Perkataan ini lazimnya digunakan dalam laras agama seperti wali mujbir, iaitu wali (bapa atau datuk sebelah bapa) yang boleh menikahkan anak atau cucu perempuannya yang masih dara tanpa persetujuan anak atau cucu tersebut. Untuk ayat umum, seperti "Pak Ali merupakan salah seorang saksi mujbir kepada peristiwa bersejarah itu, iaitu malam kemerdekaan." lebih baik kata mujbir digantikan dengan perkataan biasa yang memberi maksud yang dikehendaki, kerana mujbir dalam ayat ini tidak tepat maknanya seperti dalam frasa wali mujbir. | Tatabahasa | 15.06.2011 |
Adakah perkataan "Luagan" masih digunakan dalam Bahasa Melayu sekarang (moden)? | Selamat ptg. Luagan bermaksud kawasan takungan air yg dikelilingi daratan (kecil sedikit drpd tasik)- Kamus Dewan Edisi Keempat | Istilah | 18.08.2016 |
Yang manakah penggunaan kata yang tepat? Kepulauan Borneo atau Pulau Borneo. Terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan, kepulauan membawa maksud sekumpulan pulau, gugusan beberapa buah pulau, contoh: Kepulauan Borneo. Manakala perkataan pulau pula membawa maksud tanah atau daratan dikelilingi oleh air (di laut, di sungai, dll). Oleh itu, kedua-dua perkataan tersebut adalah betul dan boleh digunakan asalkan sesuai dengan konteks penggunaannya. | Penyemakan dan penterjemahan | 20.08.2018 |
Apakah maksud "Table mountain"? Adakah ia "gunung meja" atau "gunung datar"? Sebab ia mempunyai maksud yang sama dengan "mesa" dalam http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=mesa. Bagaimana pula dengan "Table (landform)"? | Mesa ialah istilah Sepanyol bagi bukit meja atau bukit datar terasing yang dikelilingi oleh cenuram. Mesa ialah bukit atau gunung yang terpencil kedudukannya dan mempunyai puncak rata dengan lereng yang curam seperti meja. Mesa terdapat di kawasan beriklim kering. Dalam data kami, Landform bermaksud bentuk bumi.
| Penyemakan dan penterjemahan | 29.05.2014 |
Apakah perbezaan antara tiga yang berikut? tinggi-tinggi belaka tinggi belaka tinggi-tinggi | Frasa yang betul ialah tinggi-tinggi belaka dan tinggi-tinggi bergantung pada konteks ayat yang digunakan seperti Pohon di taman itu tinggi-tinggi belaka dan Pejabat kami dikelilingi bangunan yang tinggi-tinggi. | Makna | 25.02.2012 |
Adakah struktur ayat-ayat dan ejaan berikut betul : 1) Kediaman impian yang dipenuhi ketenangan. 2) Gaya hidup selesa dan eksklusif di samping kawasan menghijau. 3)24 unit kediaman eksklusif dengan privasi tinggi. 4) Kediaman mesra alam. 5)Taman Desa Ros Residensi, dibina dengan visi yang ingin menawarkan kehidupan eksklusif, persendirian dan tanpa sempadan antara penghuni dan alam semula jadi. Terletak di tengah-tengah kawasan seluas 2.8 ekar, 24 unit rumah semi-D dua tingkat, dikelilingi lanskap kehijauan yang menenangkan | Sila buat permohonan untuk pengesahan sah bahasa iklan melalui http://dbpsahbahasa.my/ Terima kasih. | Tatabahasa | 27.07.2018 |
Bolehkah saya menterjemah "Nerd" sebagai "Budak Skema"? | Padanan bahasa Melayu bagi nerd ialah nerda. Nerda bermaksud seseorang yang pintar dari segi pengetahuan dan kemahiran teknikal tetapi tidak pandai bersosial. Imej seseorang nerda ialah seseorang yang memakai cermin mata tebal dan dikelilingi oleh tabung uji dan komputer. Bill Gates, pemilik syarikat Microsoft sering kali dianggap seorang nerda yang telah berjaya. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.07.2020 |