| Mohon DBP untuk mengusahakan/mencari penaja bagi pengambilan Munsyi Dewan 2018 (calon/peserta tidak dikenakan sebarang bayaran/kos). Ini sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada Munsyi Dewan dalam memartabatkan Bahasa Melayu. | Pihak tuan boleh terus mengemukakan pandangan dan saranan ini kepada pihak Akademi DBP. No. telefon: 03-2147 0201. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.02.2018 |
| Sharifah Nur Rasyidah Jul 8th, 10:51pm Assalamualaikum. Saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukuman yang dikenakan oleh pihak DBP kepada pencemar bahasa? Mohon pencerahan lanjut daripada pihak tua. Terima kasih. | Untuk makluman, sebagai badan perancangan bahasa, DBP hanya boleh memberikan nasihat dan bimbingan tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan indah tetapi DBP belum lagi diberikan kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik. | Lain-lain | 08.07.2014 |
| Adakah dewan bahasa telah menghentikan peraduan-peraduan mengarang yang boleh disertai orang awam? Jika belum bagaimana saya boleh mendapatkan senarai peraduan dan syarat yang dikenakan? | DBP masih menganjurkan pertandingan/peraduan sebagai sebahagian daripada usaha DBP memupuk bakat penulis muda. Setiap pertandingan akan kami uar-uarkan dalam laman web kami. | Lain-lain | 31.01.2011 |
| Bolehkah istilah 'self-pickup' atau 'self-collection' dipadankan dengan 'swapungut'? Contoh penggunaan, there will not be postal fees if the customer goes for self-pickup/self-collection at our outlets diterjemahkan sebagai Caj pengeposan tidak akan dikenakan jika pembeli memilih untuk swapungut di cawangan kami. | Perkataan swapungut boleh digunakan dalam bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkataan yang lebih sesuai untuk "self-pickup" atau "self-collection" ialah ambil atau pungut sendiri. | Istilah | 15.10.2018 |
| Saya ingin maklumat berkenaan penggunaan perkataan "yuran" yang bertepatan di dalam iklan. Sebagai contoh iklan terpapar : 'DIJEMPUT HADIR KE KURSUS SEHARI PENGURUSAN JENAZAH. YURAN RM 5 SEORANG. SIJIL DAN MAKAN DISEDIAKAN.' Mana satukah yang lebih tepat, YURAN atau PENDAFTARAN? Mohon dapat penjelasan atas kekeliruan ini. Terima kasih. | TUAN/PUAN DIPERSILAKAN HADIR KE KURSUS SEHARI PENGURUSAN JENAZAH. BAYARAN SEBANYAK RM5 DIKENAKAN UNTUK SETIAP PESERTA TERMASUKLAH MAKAN MINUM SEWAKTU BERKURSUS. SETIAP PESERTA AKAN DIBERIKAN SIJIL PENYERTAAN. | Tatabahasa | 07.04.2011 |
| ADAKAH MAKSUD DARJAT DAN MARTABAT ADALAH SAMA | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, darjat ditakrifkan sebagai 1. tingkatan atau taraf kedudukan dlm masyarakat (sebagaimana yg biasanya ditentukan atau dipengaruhi oleh asal keturunan, kekayaan dll), tingkatan kedudukan (dlm pengertian yg luas), martabat: ayahnya masih tetap mempertahankan ~ keturunannya; 2. ark taraf (besar kecilnya dll), darjah, tingkatan: denda yg dikenakan adalah mengikut ~ atau takrif kesalahan yg dilakukan; 3. Id darjah: sekolah yg sama ~nya dgn S.M.A; 4. Id unit ukuran (sudut, suhu): sudut 45 ~; 15 ~ C; 5. Id gelaran kpd pelajar yg lulus dlm peperiksaan peringkat universiti; manakala martabat pula bermaksud kedudukan pd mata masyarakat, darjat, pangkat, tingkat. Berdasarkan takrifan tersebut, darjat dan martabat membawa makna yang sama. | Istilah | 25.02.2009 |
| maksud kekangannya | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kekangan bermaksud 1. besi bergerigi yg dikenakan pd mulut kuda (utk mengendalikannya), kendali; 2. = tali ~ tali drpd kulit dll utk mengendalikan kuda; 3. ki sesuatu (spt undang-undang dll) yg digunakan utk mencegah keburukan (kejahatan dll), larangan: terdapat ~ yg akan menimpa perkembangan bahasa; ~ yg mengikat mereka sudah tidak ada lagi. Unsur "nya" yang ditambah pada perkataan kekangannya hanyalah berfungsi sebagai penekan. | Istilah | 15.03.2010 |
| Maaf, saya ingin bertanya tentang rantai pinakol. Adakah pihak DBP tiada sebarang maklumat tentang pinakol? Saya telah membuat carian di carian umum tetapi tidak dijumpai. Mohon pencerahan daripada pihak DBP. | Pinakol merujuk pada hiasan gubahan manik yang dipakai oleh masyarakat Rungus di utara Sabah, Kudat. Gubahan manik Pinakol telah menjadi warisan turun temurun dikalangan masyarakat Rungus di Kudat. Pinakol menjadi pusaka turun temurun dalam keluarga rungus di sebelah perempuan iaitu, peninggalan ibu kepada anak perempuannya. Pinakol terdiri daripada sepasang tali pinggang jenis selempang bermanik leper yang dikenakan melintang dada ke belakang bagi kegunaan hiasan biasa. Sejenis lagi biasanya dikenakan pada tradisi perkahwinan suku kaum Rungus di Kudat. Hasil kerja manik, warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan etnik Rungus dari etnik lain di Sabah dengan mudah. Ia sering dikenakan bersama pakaian tradisi masyarakat Rungus yang kebiasannya bewarna hitam. Selain itu, Manik jenis ini juga digunakan sebagai rantai leher untuk lelaki dan perempuan. | Lain-lain | 02.07.2020 |
| saya nak tanya macam mana saya nak meminjam atau memiliki bahan atau buku di dewan bahasa dan pustaka. | Terima kasih atas soalan anda. Pusat Dokumentasi Melayu,DBP memainkan peranan sebagai sebuah pusat maklumat atau perpustakaan yang menawarkan perbahanan dalam bidang bahasa,sastera dan budaya. Jika saudara berminat untuk mendapat bahan secara pinjaman di Pusat Dokumentasi Melayu,DBP saudara boleh mendaftar diri sebagai ahli RAKAN DEWAN. Yuran dikenakan sebanyak RM20 untuk keahlian setahun, RM30 yuran keahlian untuk 2 tahun dan RM35 yuran kehalian untuk 3 tahun. Dengan keahlian tersebut, saudara boleh meminjam buku dan menggunakan kemudahan di Pusat Dokumentasi Melayu. Sila datang ke Tingkat 3,Blok Podium, Menara DBP | Lain-lain | 20.07.2010 |
| Salam DBP. Saya keliru dengan perkataan Parkir. Perkataan ini kalau dibuat carian DBP online ada terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Maknanya perkataan ini diiktiraf sebagai perkataan Bahasa Melayu. Tapi kenapa dalam kategori Khidmat Nasihat, perkataan ini adalah perkataan Bahasa Indonesia dan tempat letak kereta adalah Bahasa Melayu. Kewujudan perkataan Parkir dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mengelirukan. Mungkin ini juga punca penggunaan perkataan Parkir banyak digunakan di Malaysia. Mohon pencerahan. Terima kasih. | Takrif parkir dalam kamus DBP: parkir tempat atau kawasan khas yang disediakan untuk meletakkan kereta, motosikal dan sebagainya untuk beberapa waktu, yang kadangkala dikenakan bayaran; tempat letak kereta (KDP 2020:1621) parkir IB; memarkir menghentikan (menyimpan) kereta: sebuah teksi diparkir; mobil saya diparkir di pinggir jalan; parkiran tempat menghentikan (menyimpan) kereta. (KD-4 2005: 1142) Perkataan parkir telah digunakan secara meluas oleh masyarakat dan banyak terdapat dalam bahan-bahan korpus bahasa Melayu. Dalam kamus bahasa Melayu terkini DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana kata parkir diberikan sinonim tempat letak kereta. Parkir dan tempat letak kereta telah sama banyak digunakan dalam korpus lisan mahupun tulisan. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang terbit pada tahun 2005, parkir diletakkan label IB kerana pada masa tersebut parkir merupakan kata serumpun (Indonesia/Belanda) yang masih belum banyak digunakan di negara ini dan belum diangkat sebagai bahasa Melayu baku. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan adalah betul. | Lain-lain | 18.02.2025 |