Adakah rangkai kata "dikupas dan dibugar" dalam ayat "Langkah tersebut akan dikupas dan dibugar dengan lebih terperinci lagi dalam perbincangan seterusnya" betul penggunaannya? | Perkataan dibugar tidak sesuai digunakan kerana perkataan tersebut bermaksud sangat sihat; kebugaran 1. hal subur (tentang tumbuhan): benih itu lebih besar dan akan tumbuh sebagai pokok-pokok yang rendah dan penuh ~; 2. hal sihat dan segar (tentang tubuh manusia). (Kamus Dewan Edisi Keempat) | Lain-lain | 01.02.2018 |
Salam, Bolehkah saya menggunakan perkataan 'berkupas' untuk menunjukkan kulit buah yang sudah dikupas? Terima kasih. | Merujuk Tatabahasa Dewan, imbuhan beR- juga boleh memberikan pengertian suatu keadaan yang sudah sedia berlaku. Contohnya, kupas – berkupas (sedia dikupas). Sila rujuk Tatabahasa Dewan berkaitan dengan aspek makna beR-. | Tatabahasa | 28.08.2014 |
Seperti yang pernah dikupas, kata tanya seperti "di mana" tidak boleh digunakan dalam ayat penyata bagi menterjemahkan perkataan "where/which" yang digunakan dalam BI. Bagaimana pula bagi penulisan akademik? Sebagai contoh semasa hendak mentakrifkan sebutan dalam rumus, "..where y is.." yang sering diterjemahkan kepada "..di mana y adalah..". Apakah kata sendi yang sesuai digunakan? Terima kasih. | Sila berikan contoh ayat yang lengkap untuk diterjemahkan. Perkataan terjemahan berbeza mengikut konteks ayat. | Makna | 08.05.2018 |
Salam sejahtera pada pihak DBP, apakah isu yang sesuai dan boleh dikupas untuk saya kaji di dalam Hikayat Indera Nata? Dan apakah buku-buku rujukan yang boleh saya gunakan dalam kajian saya? Saya masih buntu dalam mencari tajuk kajian saya. | Hikayat Indera Nata digolongkan dibahagikan dalam zaman peralihan Hindu-Islam. Secara umum, pelbagai perkara boleh dikaji daripada teks tersebut. Di antara kajian tersebut ialah seperti berikut: Pemikiran dalam teks tersebut Teknik Naratif/penceritaan teks zaman peralihan Gaya Bahasa teks zaman peralihan Unsur-unsur Mitos, Dongeng, Fantasi dan sebagainya Konsep Wira dalam teks tersebut Konsep Kuasa dalam teks tersebut Unsur-unsur Islam dalam teks tersebut dll
Sekian, terima kasih | Lain-lain | 06.07.2009 |
apakah penjodoh bilangan untuk satu jering? apakah pula penjodoh bilangan untuk beberapa petai yang telah dikupas? | Seulas jering dan beberapa ulas petai. | Makna | 03.05.2009 |
Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan pantun. 1) Apakah kriteria yang dinilai dalam pertandingan pantun kebangsaan? 2) Sekiranya tema yang diberikan ialah adat dan budaya masyarakat, sejauh manakah tema itu harus diolah/dikupas? adakah ianya secara umum atau seharusnya spesifik kepada aspek-aspek tertentu, misalnya adat perkahwinan, budaya membaca dan sebagainya? | Untuk makluman saudara, mereka yang menyertai pertandingan pantun sama ada peringkat kebangsaan atau IPTA, pantun yang dijual/beli akan dinilai berdasarkan isi, bahasa dan persembahan. Dari segi isi, penekanan kepada: 1. Ketepatan soalan/jawapan: jelas dan sesuai dengan tema 2. Pantun yang dijual mempunyai soalan 3. Jualan/belian pantun yang terkeluar daripada tema yang ditetapkan atau pantun yang berupa pelarian tidak mendapat markah. Dari segi bahasa pula, seorang pemantun hendaklah bijaksana memilih , 1. Pola rima dan suku kata 2. Terdapat kesinambungan/hubungan antara baris 1 dan 2( Keindahan unsur alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 3. Kemunasabahan pembayang maksud 3. Pemilihan kata( Keindahan alam, kerenah manusia dan unsur sejarah) 4. Sebutan yang jelas Dari segi persembahan pula, penyampaian seorang pemantun akan dinilai melalui, 1. Gaya persembahan seimbang dengan pantun 2. Intonansi( nada pemisah antara pembayang dan maksud) 3. Jeda( nada/hentian sebentar pada dua patah perkataan awal setiap baris) 4. Kelancaran( tanpa kegagapan dan pengulangan) Untuk makluman saudara juga , setiap rangkap pantun yang dijual atau dibeli hendaklah menepati tema yang telah ditetapkan dan kalau boleh biarlah spesifik. | Lain-lain | 18.11.2010 |
saya Afnanee Panae sedang belajar bahasa Melayu Dasar,dipusat bahasa antarabangsa,uiy.Ingin bertanya DBP,Apakah cara mula menuulis karangan bahasa Melayu.Terimakasih. | Untuk permulaan untuk menghasilkan karangan yang baik, puan disarankan supaya membaca banyak bahan bacaan ilmiah. Dalam karangan bahasa Melayu, terdapat beberapa aspek utama, iaitu pendahuluan, isi dan penutup. Karangan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Puan juga boleh merujuk bahan ini : 1. Seni mengarang (penulisan karangan KBSM, popular, ilmiah : Panduan untuk pelajar, guru, mahasiswa, wartawan, editor, pekerja) Sulaiman Masri Karisma Publications 2004 . 2. Perlakuan dan proses menulis karangan bahasa Melayu Marohaini Yusoff Penerbit Universiti Malaya 2004. | Lain-lain | 24.10.2013 |
Bahasa yang sesuai untuk forum. Mohon jasa baik pihak DBP untuk membantu kami yang mempunyai pertanyaan untuk forum. | Forum merupakan program rasmi atau separa rasmi yang memerlukan penggunaan bahasa Melayu yang standard dan jelas bagi membincangkan sesuatu isu atau topik yang terbuka kepada beberapa orang ahli panel dan seorang pengerusi atau moderator. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Melayu yang standard (baku) amat digalakkan dalam sesuatu sesi forum bagi memastikan maklumat dan isu dapat disampaikan dan dikupas dengan jelas dan terarah. Tuan/Puan boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) dan pangkalan data prpm.dbp.gov.my untuk menyemak aspek tatabahasa dan penggunaan istilah yang betul. | Lain-lain | 29.07.2024 |
Soalan lain beritan dengan karangan Bagaimanakah menulis karangan yang lebih menarik? Bolehkah saya tahu akan beberapa tip menulis karangan yang menarik? | Untuk menghasilkan karangan yang lebih menarik, puan disarankan supaya membaca lebih banyak bahan bacaan ilmiah dan kerap membuat latihan menulis karangan. Dalam karangan bahasa Melayu, terdapat beberapa aspek utama, iaitu pendahuluan, isi dan penutup. Karangan yang menarik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah, disokong dengan pembentukan ayat yang kreatif dan berkesan melalui kosa kata yang tepat, serta mempunyai pengetahuan tentang frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan kata-kata hikmah. Puan juga boleh merujuk buku berkaitan penulisan karangan seperti buku Petua Pintar Karangan Cemerlang, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017; buku Siri Pendidikan Bahasa: Cara Terbaik Menulis Karangan SPM, Abdul Ghalib Yunus, ALex Leong Jun Wei, Wong Hooi Mun, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2019; Seni mengarang (penulisan karangan KBSM, popular, ilmiah: Panduan untuk pelajar, guru, mahasiswa, wartawan, editor, pekerja) Sulaiman Masri Karisma, Publications 2004; buku Perlakuan dan proses menulis karangan bahasa Melayu, Marohaini Yusoff, Penerbit Universiti Malaya 2004.
| Lain-lain | 14.01.2021 |
Saya Huda Samea sedang belajar bahasa melayu dasar di universiti Fatani Thailand, ingin bertanya, apakah langkah dasar dalam bermula tulis karangan bahasa Melayu ? Terima Kasih. | Untuk permulaan menghasilkan karangan yang baik, puan disarankan supaya membaca banyak bahan bacaan ilmiah. Dalam karangan bahasa Melayu, terdapat beberapa aspek utama, iaitu pendahuluan, isi dan penutup. Karangan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Puan juga boleh merujuk bahan ini : 1. Seni mengarang (penulisan karangan KBSM, popular, ilmiah : Panduan untuk pelajar, guru, mahasiswa, wartawan, editor, pekerja) Sulaiman Masri Karisma Publications 2004 . 2. Perlakuan dan proses menulis karangan bahasa Melayu Marohaini Yusoff Penerbit Universiti Malaya 2004. | Lain-lain | 24.10.2013 |