| Salam sejahtera. Saya memerlukan sedikit pencerahan berkaitan istilah "preserve" yang digunakan untuk merujuk kawasan dipelihara alam semula jadinya untuk dilawati oleh pengunjung. Bolehkah dinamakan kawasan itu sebagai kawasan simpan? Adakah berbeza dengan kawasan yang dikatakan "reserve" yang juga membawa maksud "simpan", misalnya hutan simpan. Terima kasih. | Preserve membawa maksud memelihara sesuatu supaya dapat disimpan lama. 2. Melindungi sesuatu kawasan seperti hutan dan lain-lain daripada dirosakkan atau pupus. Istilah "preserve" biasanya digunakan untuk merujuk kepada "awet", manakala istilah "reserve" merujuk kepada "simpan". | Penyemakan dan penterjemahan | 20.01.2015 |
| Salam sejahtera dan terima kasih kerana membantu. Istilah "clickstream data" merujuk kepada maklumat mengenai aktiviti dalam talian seseorang pengguna. Maklumat ini menunjukkan tapak web yang dilawati oleh seseorang pengguna, laman mana yang telah dilihat olehnya pada tapak itu, berapa lama masa yang diluangkan pada setiap laman dan pautan seterusnya yang diklik olehnya. Apakah terjemahan yang sesuai bagi "clickstream data"? | Kami mencadangkan padanan istilah dalam bahasa Melayu seperti yang berikut: clickstream data - data penstriman klik Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaannya dalam sesuatu bidang tertentu. | Lain-lain | 26.07.2021 |
| Perbezaan antara pelawat, pengunjung dan pelancong. | Menurut Kamus Dewan, pelawat ditakrifkan sebagai orang yg melawat atau pengunjung.Pelancong pula ditakrifkan sebagai orang yg melancong. Contoh ayat :Kedua-dua bandar itu selalu dilawati pelancong kerana pemandangannya yg cantik. Pengunjung pula ditakrifkan sebagai orang yg mengunjungi sesuatu tempat, pelawat atau pelancong. Contoh ayat: Pemandangan di tempat tersebut demikian indahnya sehingga banyak para pengunjung datang ke sana. | Makna | 08.09.2007 |
| bolehkah ayat dalam karangan dimulai dengan ' antara'. cth: Antara kesan - kesan pencemaran....Bolehkan ayat dimulai dengan 'namun'. Cth: Namun, banyak pihak yang tidak mengendahkan... | Ayat boleh dimulai dengan perkataan antara, contohnya 'Antara tempat yang boleh dilawati di Sabah termasuklah ...'; dan kata namun boleh digunakan pada permulaan ayat sebagai menyambung wacana sebelumnya untuk menunjukkan perkaitan cerita dengan wacana seterusnya. | Tatabahasa | 20.01.2011 |
| Salam. Apakah terjemahan yang disarankan bagi istilah-istilah berikut? "Cryptominer" - skrip komputer yang diletakkan pada laman sesawang untuk menggunakan sumber komputer pengguna bagi mengumpul kriptowang tanpa diketahui oleh pengguna. "Fingerprinter" - Entiti yang mengumpul maklumat tentang pengguna pelayar Internet seperti konfigurasi dan maklumat tetapan komputer yang boleh dilihat oleh laman sesawang yang dilawati. Fingerprinter akan menggunakan maklumat ini bagi mencipta satu profil tentang sesuatu pengguna dengan menggunakan sejenis algoritma bagi tujuan komersial dan lain-lain. Fingerprinter ini tiada kaitan dengan cap jari biometrik, tetapi merujuk kepada 'device fingerprint' (https://en.wikipedia.org/wiki/Device_fingerprint). "Device Fingerprint" - (Seperti dinyatakan di atas) | Cadangan terjemahan yang sesuia bagi "Cryptominer" mengikut konteks yang diberikan ialah aplikasi pelombong krypto, manakala terjemahan bagi "Fingerprinter" masih belum ada dalam pangkalan data kami. Pihak kami akan membincangkan terlebih dahulu dalam jawatankuasa istilah kami bagi mendapatkan padanan yang sesuai mengikut konteks yang diberikan. | Makna | 28.11.2020 |
| Kata kerja 'melawat' tergolong sbg kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif? Saya dapati, kata kerja ini boleh berfungsi sbg kata kerja transitif, contoh 'melawat abangnya di hospital' (kata kerja melawat mesti diikuti objek) dan sebagai kata kerja tak transitif, contoh melawat ke Putrajaya. Benarkah pemahaman saya ini? Sekian, terima kasih. | Kata kerja 'melawat' tergolong sebagai kata kerja transitif, seperti dalam contoh ayat 'melawat abangnya di hospital' atau 'melawat Putrajaya'. Hal ini boleh dibuktikan apabila ayat ini dipasifkan (Kata kerja transitif boleh dipasifkan) menjadi 'abangnya di hospital dilawati' dan 'Putrajaya dilawati'. Walau bagaimanapun ada juga pendapat mengatakan 'melawat' ialah kata kerja tak transitif dan boleh diikuti dengan kata sendi 'ke' seperti dalam ayat 'melawat ke Putrajaya'. Hal inilah yang menjadikan bahasa kita indah dan kadang kala tidak semua rumus boleh diterapkan dalam setiap aspek tatabahasa. | Tatabahasa | 18.03.2011 |
| bagaimanakah hendak menggunakan perkataan mengenal dan mengenali dengan betul ? | Kedua-dua perkataan tersebut dapat dibezakan berdasarkan makna dan ayat contoh yang berikut: mengenal - dapat mengetahui atau mengecamkan (rupa seseorang atau sesuatu) yang sudah diketahui sebelumnya. Contoh: Semasa ia menyamar, tidak seorang pun yang mengenalnya. mengenali - mengetahui (seseorang atau sesuatu) dari segi sifat, rupa, dan sebagainya dengan lebih mendalam. Contoh: Saya mendapat kesempatan mengenali sistem pendidikan di negara-negara yang dilawati. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (2020). | Makna | 11.08.2025 |