| Bolehkah dimulakan ayat begini dalam surat rasmi' 'Seperti mana pihak tuan sedia maklum, pihak universiti telah meluluskan peruntukan.... | Lazimnya permulaan ayat berbunyi "Sukacita dimaklumkan bahawa pihak universiti telah meluluskan peruntukan ... dan tidak ada dalam pangkalan data kami ayat yang bermula dengan perkataan sepertimana. | Tatabahasa | 21.06.2012 |
| Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan terutamanya? | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 2490, perkataan “terutama” merupakan kata adjektif terbitan yang bermaksud paling utama; mula-mula sekali; lebih baik; lebih-lebih lagi. Dalam penulisan, perkataan “terutama” digunakan sebagai penanda wacana, iaitu unsur yang menghubungkan atau mengaitkan pelbagai entiti dalam sesuatu wacana. Perkataan “terutama” atau “terutamanya” digunakan untuk menjelaskan atau menekankan tentang suatu hal atau aspek yang memiliki tingkat penting atau keutamaan yang lebih tinggi daripada yang lain dalam suatu konteks tertentu pada ayat. Oleh yang demikian, perkataan “terutamanya” digunakan pada bahagian tengah ayat dan tidak digunakan pada awal ayat. Contoh ayat: - Coklat merupakan manisan yang disukai ramai terutama kanak-kanak.
- Persembahan tablo biasanya dijadikan selingan terutamanya pada setiap akhir adegan dalam sesebuah drama.
Untuk maklumat lanjut berkenaan contoh penggunaan perkataan “terutama” atau “terutamanya”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) atau laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP melalui https://prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
| perkataan diraja dimulakan dengan huruf besar atau huruf kecil ? | Perkataan diraja dieja dengan huruf kecil. Perlu ditukar ke huruf Besar jika ia adalah nama Khas seperti Klang Bandar Diraja. | Tatabahasa | 29.02.2016 |
| Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan 'Dengan' ? Terima kasih. | Kata sendi nama/kata hubung "dengan" boleh digunakan pada pangkal ayat asal sahaja ada ayat utama atau ayat induk yang lengkap... subjek dan predikatnya. Contohnya: Dengan hormatnya saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut. | Istilah | 02.12.2015 |
| Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan "Ini""? | Ini tidak boleh digunakan di depan sesuatu ayat kerana ia merupakan kata penunjuk. Hendaklah diletakkan perkataan lain seperti 'hal ini...' atau 'perkara ini/itu...' di depannya. | Penyemakan dan penterjemahan | 31.07.2015 |
| Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan dengan. | Kata sendi nama/kata hubung "dengan" boleh digunakan pada pangkal ayat asal sahaja ada ayat utama atau ayat induk yang lengkap... subjek dan predikatnya. Contohnya: Dengan hormatnya saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut. | Tatabahasa | 26.05.2011 |
| 1. Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan 'Yakni' ? | Yakni tidak boleh dimulakan di permulaan ayat. | Makna | 15.11.2007 |
| 1. Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan 'atas'? Contoh: Atas kerjasama tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Dan kalau ayat itu betul, dalam situasi yang manakah, ayat menjadi salah jika dimulakan dengan 'atas'? 2. Kata kerja transitif mesti diikuti dengan objek. Contoh: Ali menceritakan kisah itu. Ayat itu menjadi salah jika ayat begini: Ali menceritakan tentang kisah itu. Menjadi kekeliruan jika kata kerja transitif begini boleh pula dibenarkan. Contohnya: Dia menerangkan bahawa... ATAU Dia mencadangkan supaya.... | Saudara, 1. Ayat ini betul. Ayat ini salah apabila dimulakan dengan di atas. 2. Dalam ayat transitif kata kerja transitif diikuti oleh objek, seperti dalam ayat 'Dia menceritakan kisah itu'. Dalam ayat 'Dia menerangkan bahawa murid itu telah pulang ' , bahawa murid itu telah pulang merupakan objek kepada kata kerja transitif 'menerangkan' dan ayat bahawa murid itu telah pulang seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 13.11.2009 |
| Bolehkah ayat dimulakan dengan "Di"? Contoh: Di mana baju saya? Apakah contoh yang betul jika ayat di atas salah? | Ayat boleh dimulakan dengan perkataan "Di". Contoh ayat yang diberi juga betul. | Lain-lain | 30.08.2020 |
| Yang manakah betul? Majlis sambutan Hari Kanak-kanak dimulakan dengan ( menyanyikan / nyanyian ) lagu Negaraku. | Majlis sambutan Hari Kanak-kanak dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. | Tatabahasa | 17.10.2011 |